Sunday, November 15, 2015

Penuaan di Eropah







Satu ayat yang diungkapkan oleh seorang wanita warga emas dan menjadi popular dalam kalangan pengiklan alat bantu perubatan sekitar tahun 1990-an telah menyedarkan masyarakat Eropah terhadap penuaan penduduk di benua itu.

Di sebalik pemulihan ekonomi Amerika Syarikat yang perlahan, analisis di setiap spektrum politik melihat ruang kecil untuk berasa gembira. Golongan optimis melihat ekonomi di rantau itu berkembang sekitar satu peratus pada 2015. Deflasi berpanjangan, produktiviti rendah dan kadar pengangguran yang tinggi menjadi petunjuk yang mudah difahami manakala Jerman menjadi negara paling makmur membolehkannya membantu negara-negara Eropah yang lemah.

Apakah yang diperlukan oleh benua itu?

Kebanyakan pakar ekonomi memberi tumpuan terhadap dasar kewangan dan fiskal di samping reformasi buruh-pasaran. Berhadapan dengan pembuat polisi dan insentif ekonomi yang tepat, mungkinkah Eropah dapat mengelak daripada berhadapan dengan krisis yang lebih besar?

Mungkin tidak.

Seperti mana pentingnya dasar ekonomi yang berkesan, ia tidak akan menyelesaikan masalah teras Eropah iaitu demografi, bukannya ekonomi. Hal inilah yang dinyatakan oleh Pope Francis kepada Parlimen Eropah; “Dalam kebanyakan tahun-tahun kebelakangan, kita menghadapi pandangan umum tentang keletihan yang melampau dan penuaan, yang mana Eropah dikenali sebagai ‘nenek’ yang tidak lagi subur dan bertenaga”.

Berdasarkan Biro Bancian Data Antarabangsa Amerika Syarikat, hampir seorang daripada lima orang Eropah Barat berumur 65 tahun atau lebih tua pada tahun 2014. Keadaan ini amat sukar untuk dikekalkan dalam sistem yang menggunakan kaedah memberi pencen pada awal persaraan dan sistem persaraan “pay-as-you-go”. Namun, pada tahun 2030, keadaan ini akan meningkat kepada seorang daripada empat orang.  Seterusnya bilangan pengundi yang berumur akan meningkat dan pelaburan terhadap keperluan generasi masa hadapan akan berkurangan.

Organization for Economic Cooperation and Development (OECD) menjangkakan kadar kesuburan akan terus jatuh di Eropah. Pada 2016, bilangan purata kanak-kanak per wanita adalah 1.6. Keadaan ini menjadikan kebanyakan penduduk tidak mempunyai abang, kakak, sepupu atau pakcik. Di situlah hala tuju Eropah ketika ini.

Terakhir, fikirkan pekerjaan. Tahun 2014 mencatatkan 62.7 peratus orang dewasa yang mencari kerja atau bekerja di Amerika Syarikat. Angka ini jauh lebih tinggi daripada sesetengah negara Eropah. Data daripada Bank Dunia mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh di Kesatuan Eropah pada 2003 adalah 57.5 peratus yang mana Perancis mencatatkan 55.9 peratus dan Italy 49.1 peratus.

Sepanyol merupakan negara Eropah yang sedang menghadapi masalah demografi. Dalam tempoh separuh abad, kadar kesuburan turun melebihi 50 peratus kepada 1.4 kanak-kanak per wanita, menjadikannya antara negara yang mempunyai kadar kesuburan paling rendah di dunia. Kesannya ialah industri menjadi pasif dan kehadiran pelabur luar amat dinanti-nantikan.

Tidak seperti Sweden atau Jerman, Sepanyol tidak boleh bergantung kepada penghijrah untuk menampung kekurangan penduduk dan terus menjana ekonomi. Walaupun hampir 450,000 penghijrah tiba di negara itu setiap tahun, lebih 580,000 penduduk negara itu berhijrah ke Eropah Utara dan Amerika Latin.

Institut Statistik Kebangsaan meramalkan Sepanyol akan hilang sejuta penduduk dalam dekad yang akan datang. Jumlah 47 juta orang sedia ada akan berkurangan dua juta pada tahun 2021. Pada tahun 2060, Sepanyol hanya mempunyai 36 juta penduduk.

Jika trend ini berterusan, pengundi yang sudah berumur bakal memberi tekanan kepada ahli politik untuk membuat polisi berkaitan persaraan, potongan cukai dan memenuhi permintaan pihak swasta. Ketika ini pengundi tua yang layak sudah pun mencapai 30 peratus dan pada tahun 2050, mereka akan menjadi kelompok pengundi majoriti. Tanpa perubahan dasar yang berkaitan perumahan dan cukai, Sepanyol akan mengulangi pengalaman abad ke-17 dan ke-18 apabila negara-negara Eropah yang menakluk dunia hilang status mereka sebagai kuasa penjajah dan hanya berbangga dalam puisi dan syair yang dibacakan serta menjadi tontonan yang menghibur hati di muzium.

Salah satu penyelesaian kepada kemerosotan penduduk di Sepanyol dan negara-negara Eropah yang lainnya adalah penghijrahan. Pada 2012, umur purata populasi kebangsaan di Eropah ialah 41.9 tahun, manakala umur purata penghijrah yang tingal di sana ialah 34.7 tahun.

Adakah Eropah bersedia menerima penghijrah ini untuk bekerja dan membayar cukai apabila penduduk tempatan bersara kelak?

Tidak semudah itu.

Sentimen anti imigran sedang meningkat. Pergerakan anti imigran menunjukkan peningkatan aktiviti dan meraih sokongan yang berterusan dalam pilihan raya Eropah tahun lepas. 

Benua itu perlukan kepimpinan berwawasan dan pergerakan sosial berstrategi supaya dapat menjadikan penduduk mereka sebagai aset untuk pembangunan. Jika tidak, Eropah akan hilang daya kompetitif.


No comments:

Post a Comment