Tuesday, November 24, 2015

Kampung Morten pemangkin pembangunan sektor pelancongan di Melaka








1.0 Pengenalan

Pembangunan dapat ditakrifkan sebagai suatu kebaikan yang membawa kepada kualiti kehidupan yang lebih baik kepada individu dan masyarakat. Pembangunan juga sering kali dilihat sebagai satu fenomena ekonomi namun ianya bukan sahaja terbatas kepada hal-hal ekonomi, tetapi juga meliputi semua bidang kehidupan sosial dan masyarakat. Menurut Maimunah Ismail (1989), pembangunan adalah satu proses perubahan yang berlaku secara berterusan dan menyeluruh, merangkumi unsur-unsur seperti pembangunan ekonomi, sosial dan kemanusiaan. Proses perbandaran yang semakin pesat di kawasan bandar telah mewujudkan ketidakseimbangan corak pembangunan serta tekanan pembangunan terhadap kampung-kampung terutama di kawasan bandar. Selaras dengan dasar pembangunan negara, peningkatan kualiti hidup dan pembangunan yang mapan perlu diberi perhatian yang sewajarnya dalam setiap pembangunan yang dilaksanakan.

Sehubungan dengan itu, bermula tahun 2009 sehingga tahun 2010, Kajian Pelan Induk Kampung Tradisional dan Petempatan Tersusun di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah dijalankan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT). Kajian Pelan Induk Kampung Tradisional dan Petempatan Tersusun (KPIKTPT) di dalam kawasan PBT disediakan bagi mendapatkan maklumat asas kampung serta profil kampung yang berada dalam kawasan pentadbiran PBT di Semenanjung Malaysia. Bahkan, menurut Tok Sidang Abdullah, KPIKTPT juga bertanggungjawab untuk  mengenal pasti klasifikasi kesejahteraan kampung yang akan menjadi panduan kepada agensi pelaksana dalam merangka pembangunan terutama yang melibatkan kampung tradisional dan petempatan tersusun.

Salah satu kampung yang tersenarai dalam pelan kajian ini ialah Kampung Morten yang terletak di tengah Bandar Melaka. Kampung ini telah diwartakan sebagai kampung tradisional Melayu kerana penduduk di situ kesemuanya terdiri daripada komuniti Melayu sahaja. Komuniti Melayu Kampung Morten merupakan sebuah komuniti kecil yang begitu aktif dengan kegiatan sosioekonomi berkaitan sektor pelancongan. Komuniti Melayu ini merupakan sebuah komuniti yang gigih dan terawal membuka minda untuk membangunkan sektor ini setelah melihat prospek yang baik daripada sambutan dan kedatangan pelancong, terutama dari luar negara yang datang melawat Melaka. Mereka bermula tanpa sebarang bantuan, tunjuk ajar mahupun kursus, namun kesungguhan melalui kesukaran untuk maju, kesediaan menghadapi risiko, tekun belajar daripada pengalaman serta dorongan rakan, seterusnya pemilikan tanah warisan, telah membuktikan pada hari ini bahawa merekalah pencetus dan pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan di negeri Melaka. Agensi–agensi kerajaan turut sama merencana pembangunan di Kampung Morten dalam sektor pelancongan khususnya kerana diketahui umum bahawa industri ini mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan juga dapat meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti tempatan. Secara tuntasnya, pelancongan boleh dianggap sebagai satu industri yang berpotensi, memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, menyumbang kepada pendapatan hasil cukai yang tinggi dan juga dapat mempelbagaikan ekonomi penduduk tempatan.

1.1  Objektif Kajian

Antara objektif yang terdapat dalam kajian ini adalah mengetahui latar belakang Kampung Morten, mengenal pasti isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh komuniti Kampung Morten dalam membangunkan Kampung Morten sebagai destinasi pelancongan, menghuraikan kepentingan kegiatan sosioekonomi di Kampung Morten serta mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan kegiatan sosioekonomi di Kampung Morten.

1.2  Kaedah Kajian

Antara kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah melalui lawatan dengan melawat lokasi kajian untuk mendapatkan maklumat melalui temu ramah, menemu ramah Tok Sidang Abdullah bin Tamby Husin dan penjaga Villa Sentosa, melalui kajian ilmiah mengumpul bahan-bahan rujukan seperti kajian-kajian terdahulu, tesis, jurnal dan lain- lain bahan cetakan dan melalui medium elektronik dengan mengumpul bahan-bahan, video dan segala yang berkaitan dengan kajian.


2.0 Sorotan Literatur

Kampung Morten merupakan satu-satunya perkampungan Melayu yang terletak di tengah-tengah bandar raya Melaka dan di pinggir Sungai Melaka. Kampung ini mempunyai sejarah yang tersendiri dan bertepatan dengan negeri Melaka yang bersejarah. Menurut Tok Sidang Abdullah (Ketua Kampung Morten), perkampungan ini wujud dari tahun 1920-an dan merupakan sebuah paya pada masa dahulu. Kampung ini dikenali sebagai Kampung Baru pada mulanya kerana kebanyakan penduduknya pada masa itu berpindah dari Kampung Jawa. Pengasasnya adalah Datuk Othman Mat Nor dan Datuk Demang Haji Abdul Ghani. Nama kampung ini diubah bersempena mengambil nama Joseph Frederik Morten yang pernah bertugas sebagai Pesuruhjaya Tanah Inggeris suatu ketika dahulu di Melaka yang telah mencari kawasan yang sesuai untuk penduduk tempatan yang terpaksa dipindahkan dari Kampung Jawa oleh kerajaan jajahan British. Kampung Morten mempunyai gelaran tersendiri iaitu “muzium hidup” disebabkan ramai penduduknya masih mengamalkan cara hidup yang tidak banyak berubah selain daripada mempamerkan keunikan reka bentuk rekaan rumah mereka terutamanya Villa Sentosa.

Kampung Morten ini dianggarkan mempunyai lebih kurang 600 penduduk dengan keluasan 5.02 hektar. Selain itu, Kampung Morten merupakan sebuah kampung yang masih mengekalkan identiti tersendiri yang tidak terpengaruh dengan peredaran masa. Kampung ini masih mengekalkan seni reka bentuk rumahnya, landskap dan cara menghias rumah. Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu berciri bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin. Tangga batu antara ciri utama di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah pula dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga. Disebabkan keunikan identiti Kampung Morten ini ramai pengunjung dari dalam negara mahupun luar negara melawati kampung ini.


Perjanjian J.F Morten menyatakan tanah Kampung Morten hanya boleh dijual kepada orang Melayu dan sehingga ke hari ini kampung ini didiami oleh seratus peratus orang Melayu yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional Melayu.

Rajah 1: Carta organisasi pentadbiran Kampung Morten

Negeri Melaka telah menyasarkan kedatangan pelancongan sebanyak 20 juta pelancong pada tahun 2020. Hal ini berdasarkan perkembangan pertambahan bilangan pelancong sebanyak 10 peratus daripada yang disasarkan pada setiap tahun. Pada tahun 2010 kerajaan negeri menyasarkan 10 juta pelancong, tetapi meningkat kepada 10.3 juta orang, diikuti tahun 2011 dengan 12.2 juta pelancong berbanding sasaran 12 juta.

Rajah 2: Statistik kedatangan pelancong ke Melaka

Menurut Tok  Sidang  Abdullah,  ketua Kampung Morten, hampir 60% daripada pelancong-pelancong yang melancong di Melaka akan datang melawat dan mengunjungi Kampung Morten ini. Hal ini kerana kedudukan dan lokasi kampung ini yang terletak di tengah-tengah Bandar  Melaka di samping keunikan dan tarikan yang ada di kampung itu sendiri.

Oleh itu, secara kasarnya lebih daripada separuh pelancong yang datang ke Melaka akan singgah di Kampung Morten.

Rajah 3: Anggaran jumlah pelancong yang datang ke Kampung Morten sepanjang tiga tahun kebelakangan ini

Kekuatan kampung ini dalam menarik pelancong mengunjunginya adalah melalui keunikan budaya tradisionalnya. Peningkatan bilangan pelancong yang mengunjungi kampung ini adalah disebabkan oleh keinginan untuk mendekati corak hidup dan kebudayaan masyarakat setempat.


3.0 Dapatan Kajian
  
Kampung Morten yang terletak di tengah Bandaraya Melaka merupakan salah sebuah kampung yang terkenal sebagai destinasi pelancongan menarik kerana keunikan budaya tradisionalnya. Kampung ini dianggap sebagai muzium hidup memandangkan ramai penduduknya masih mengamalkan cara hidup yang tidak banyak berubah selain daripada mempamerkan keunikan rekaan reka bentuk rumah mereka. Ramai pelancong yang melawat Kampung Morten menganggap kampung tradisional Melayu ini sebagai “muzium hidup”. Ini menjadikan Kampung Morten begitu istimewa dan berupaya menarik pelancong dalam dan luar negara. Pengunjung akan berpeluang melihat semua deretan rumah tradisional yang tersusun dari segi bentuk bumbung, tangga dan hiasan dalaman. Ia seolah-olah membawa pengunjung kembali kepada zaman kerajaan Melayu Melaka. Justeru, Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong.

Hasil pemerhatian semasa lawatan ke Kampung Morten,  didapati  penglibatan komuniti Kampung Morten dalam industri pelancongan merupakan pelengkap ke arah ketulenan yang dicari oleh para pelancong. Kebanyakan pelancong juga mahu mencari budaya pelancongan yang semula jadi. Jadi, mereka perlu menghormati penduduk tempatan, sedar dan rasa hormat terhadap budaya tempatan, nilai-nilai sosial dan persekitaran semula jadi. Dengan ini, pelancong akan lebih menghargai alam sekitar dan penduduk tempatan. Mereka juga ingin melihat seolah-olah tidak ada sumber yang diperbaharui kecuali wujudnya pembangunan yang dirancang, terurus dan dikawal dengan baik. Salah satu perkara yang bersifat motivasi dalam pembangunan industri pelancongan hari ini ialah isu pengabaian komuniti tempatan dalam ekonomi pelancongan, iaitu penglibatan peringkat akar umbi atau penduduk tempatan di kawasan destinasi pelancong.

Pelancong datang dan pergi tetapi penduduk tempatan tetap tinggal di persekitaran yang perlu disesuaikan untuk meneruskan hidup. Pelancong hanya melawat dan melancong ke sesebuah tempat untuk sementara waktu. Berlainan dengan penduduk tempatan, “kawasan destinasi pelancong” merupakan tempat yang dipanggil rumah di mana mereka hidup, bekerja, bermain, berehat dan berkeluarga. Oleh yang demikian, penduduk tempatan perlu terlibat sama dan menjadi sebahagian daripada pengalaman pelancong. Mereka perlu rasa berupaya untuk memberikan khidmat kepada pelancong, bekerjasama ke arah pembangunan pelancongan dan menunjukkan cara hidup mereka yang sebenar. Dari segi ekonomi, keuntungan ini disalurkan kepada penduduk tempatan dengan tujuan untuk menaikkan kualiti hidup mereka. Namun dalam usaha membangunkan sesebuah tempat sebagai destinasi pelancongan, setiap komuniti perlu berusaha menjadi eksklusif dan unik dalam pelbagai perkara

Berbekalkan kepercayaan bahawa sesuatu perubahan boleh dilakukan, dengan input teknologi canggih dan kemajuan terkini yang digabung dengan alam semulajadi, dan juga daya usaha komuniti tempatan, ia akan menjadi pengorak langkah ke arah perubahan yang positif dan lebih moden bagi negara-negara sedang membangun dan kurang maju. Sebagai kesannya, komoditi pelancongan yang dihasilkan akan menggambarkan keunikan masyarakat yang terlibat.

Menurut Tok Sidang Dollah, komuniti Melayu di Kampung Morten adalah berbeza dengan komuniti yang terdapat di destinasi pelancongan lain di Malaysia. Para pelancong yang datang akan dapat merasai persekitaran dan pengalaman yang cukup menarik kerana mereka dapat tinggal di homestay yang terdapat di kawasan yang sama dengan penduduk kampung. Oleh itu, hubungan di antara pelancong dan penduduk kampung menjadi lebih rapat dan mesra. Tambahan pula, menurut Tok Sidang Dollah, 100% daripada pengusaha homestay adalah orang tempatan dan mereka dibantu oleh kaum keluarga atau penduduk tempatan. Penduduk tempatan sudah menerima industri pelancongan sebagai industri penting dalam hidup mereka. Kebanyakan mereka sangat peramah dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelancong dengan mesra. Berbekalkan pengalaman ini, mereka dapat menarik dan tidak kekok bersama pelancong. Jadi, tidak hairanlah apabila ramai penduduk Kampung Morten dapat berbahasa Inggeris dengan baik kerana pergaulan rapat dengan para pelancong asing, walaupun mereka tidak berpendidikan tinggi. 

Aktiviti pelancongan di kampung tersebut boleh dikira sebagai salah satu faktor yang mendidik masyarakat tempatan mempelajari bahasa Inggeris, cara berkomunikasi dan memahami budaya pelancong. Ini kerana mereka mempunyai hubungan dan pendedahan aktiviti secara langsung dengan pelancong. Proses sosiolisasi bersama dengan pelancong juga telah menyebabkan penduduk tempatan menyerapkan budaya pelancong ke dalam budaya tempatan dan juga sebaliknya.

Hasil temu ramah dengan Tok Sidang Dollah dan beberapa penduduk kampung, secara tuntasnya dapat disimpulkan bahawa majoriti penduduk tempatan berusaha kuat untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Hal ini kerana saiz penempatan yang kecil dan keluasan tanah yangg sangat terhad menyebabkan tiada pembangunan yang berasaskan produktiviti penduduk. Justeru, bagi penduduk yang ingin menceburi bidang keusahawanan berasaskan pelancongan, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri. Walau bagaimanapun, tanpa pendidikan yang tinggi, perancangan dan bimbingan yang betul, adalah mustahil bagi mereka untuk merealisasikan impian itu. Sekiranya mereka diberi bimbingan dan tunjuk ajar, mereka sebenarnya mampu untuk lebih aktif dalam membangunkan industri ini. Namun apa yang dapat diperhatikan, kesungguhan penduduk tempatan terlibat sama dalam pembangunan ini hanyalah pada peringkat permulaan projek, tetapi selepas itu mereka tidak berupaya bersaing lagi dan ini boleh dianggap menggangu pertumbuhan sektor pelancongan itu sendiri seterusnya akan menghadkan peluang mereka untuk memperbaiki taraf sosioekonomi serta menceburi bidang keusahawanan di kampung ini.

Urbanisasi dan modenisasi yang kian pesat di Malaysia amnya dan Melaka khususnya pada masa kini menyebabkan budaya tradisi Melayu yang diturunkan sejak turun-temurun semakin pudar dalam minda masyarakat. Selain itu, ramai warga desa yang telah berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari nafkah. Penghijrahan ini menyebabkan mereka semakin lupa akan tradisi mereka.

Walaupun kampung tradisi seperti Kampung Morten ini telah ditubuhkan, ramai masyarakat yang masih tidak mengetahui tentang kewujudan kampung ini dan walaupun kampung ini terkenal dan masyhur di peringkat antarabangsa, masih ada juga penduduk tempatan yang tidak tahu akan perkara-perkara atau aktiviti-aktiviti yang terdapat di kampung ini. Apabila tiba musim perayaan atau persekolahan, mereka lebih cenderung untuk melancong ke luar negara atau kawasan pelancongan yang melibatkan belanja yang tinggi daripada berkunjung ke kampung-kampung tradisional Melayu seperti Kampung Morten ini.

Seterusnya, penggunaan teknologi maklumat dan teknologi jalur tanpa wayar menyebabkan remaja masa kini meluangkan kebanyakan masa lapang mereka melayari internet dan bermain permainan komputer sahaja. Mereka bagaikan lupa akan pepatah, “masa itu emas”. Oleh itu, para remaja sepatutnya menghabiskan masa mereka dengan mempelajari budaya tradisi Melayu atau terlibat dengan program berkaitan dengan tradisi Melayu.

Menurut Tok Sidang Dollah, kebanyakan penduduk kampung bekerja secara sara diri. Oleh itu, wang yang ada hanya cukup untuk kegunaan hidup seharian dan tidak mempunyai modal yang lebih untuk memajukan kampung ini. Satu perkara yang amat membimbangkan adalah apabila ada segelintir daripada pihak swasta yang berniat untuk campur tangan dan akan mengakibatkan kampung ini dibangunkan mengikut kehendak mereka atau dalam erti kata lain, bangunan baru akan didirikan dan rumah tradisional Melayu ini akan dirobohkan. Jika hal ini terjadi, maka lenyaplah satu per satu aset masyarakat Melayu yang berharga, iaitu kekayaan kesenian Melayu tradisional. Selain itu, tanpa modal yang mencukupi, kampung ini menghadapi kesulitan dalam memberikan penempatan yang selesa bagi kegunaan pelancong. Hal ini boleh mendatangkan impak negatif yang mana menyebabkan peratusan kunjungan pelancong pada masa hadapan dikhuatiri akan menurun.

Kekurangan promosi merupakan salah satu masalah yang dihadapi oleh Kampung Morten ini. Pelancong-pelancong tidak didedahkan tentang kewujudan kampung ini di kawasan destinasi pelancongan mereka. Hal ini sepatutnya tidak berlaku kerana kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan seni warisan peninggalan nenek moyang kita yang unik dan seharusnya berusaha untuk menonjolkan keunikan dan kekayaan kesenian warisan tradisional Melayu ini. Contohnya, agensi pelancongan yang bertanggungjawab dalam hal pengiklanan boleh memaparkan iklan tentang aktiviti yang disediakan oleh penduduk kampung. Iklan ini boleh dipaparkan di stesen televisyen utama atau di sepanjang jalan utama dalam sesuatu kawasan itu.

Memang tidak dinafikan bahawa pandangan masyarakat terhadap industri desa amat dingin kerana pendapatan yang kurang menggalakkan. Industri ini juga dianggap tidak menjamin masa depan yang cerah kepada golongan yang terlibat. Salah satu contoh cabaran daripada segi sikap penduduk ialah mengubah pemikiran masyarakat kampung tentang pemberian subsidi bagi tujuan memajukan kampung. Mereka berpendapat jika sesuatu pembangunan hendak dilaksanakan di kampung, tentulah pembangunan itu akan dirancang oleh kerajaan bermula dari peringkat  perancangannya hingga pelaksanaannya. Pembangunan yang digambarkan bersifat top down. Sebaliknya, pembangunan sesuatu kampung yang disarankan oleh pihak kerajaan adalah bersifat bottom up, iaitu pembangunan yang berasaskan  cetusan idea masyarakat kampung itu sendiri. Dalam erti kata lain, penduduk kampung bertanggungjawab sepenuhnya dalam melaksanakannya sehingga berjaya.

Kampung Morten merupakan salah satu kampung tradisional Melayu yang masih mengekalkan ciri-ciri Warisan Melayu tradisional. Kampung ini amat kaya dengan peninggalan atau warisan  yang tidak ternilai harganya. Kesedaran mengenai kepentingan memelihara dan memulihara warisan Melayu di Kampung Morten adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat terutamanya masyarakat disekelilingnya dan remaja masa kini. Ini adalah penting supaya warisan turun-temurun ini tidak ditelan oleh masa kini.

Pengiktirafan Kampung Morten sebagai kampung tradisional Melayu atau  kampung warisan Melayu memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung. Contohnya, penduduk kampung terlibat dalam aktiviti pelancongan kampung seperti program Homestay yang memerlukan penduduk kampung sendiri mengendalikan pengurusan program tersebut. Tambahan pula, penduduk kampung turut menyediakan perkhidmatan catering untuk setiap kali rombongan-rombongan pelajar mengunjungi ke Kampung Morten.

Selain itu, menurut Tok Sidang Dollah, penduduk-penduduk kampung turut diberikan kursus (inap desa) homestay oleh pihak kerajaan Negeri Melaka untuk mengendalikan perusahaan program homestay mereka. Oleh itu, penduduk Kampung Morten telah menerima pelbagai pengetahuan untuk memajukan perusahaan dan kampung mereka. Malahan, menurut Tok Sidang Abdullah mereka telah menerima dana sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka sebanyak RM30,000 setahun untuk membantu menaik taraf infrastruktur kampung.

Seterusnya, Kampung Morten juga mampu menjana sektor pelancongan negara. Kampung Morten mempunyai potensi yang tinggi dalam memajukan industri pelancongan negara di mana kampungnya masih mengekalkan ciri-ciri asal sebuah perkampungan Melayu tradisional. Ciri-ciri ini boleh menarik minat ramai pelancong tempatan dan pelancong asing untuk mengunjungi dan menghayati keunikan seni bina dan sejarah serta warisan budaya Melayu yang terdapat dalam kampung ini. Kebudayaan dan kesenian dibangunkan di kampung ini menawarkan produk dan perkhidmatan yang luas untuk menyokong pertumbuhan industri pelancongan negara. Industri yang berkaitan dengan kebudayaan, kesenian dan warisan terutamanya kraftangan telah didirikan di kampung ini. Industri kraftangan kampung ini diharapkan dapat diperkembangkan lagi ke peringkat global untuk meningkatkan pendapatan negara daripada industri kraftangan. Ini secara tidak langsung dapat memmperkenalkan tradisi masyarakat Melayu kepada masyarakat dunia.

Tambahan pula, selain meningkatkan ekonomi negara melalui industri kraftangan, penglibatan Kampung Morten dalam pelbagai pertandingan peringkat kebangsaan membolehkan masyarakat tempatan dan masyarakat luar mengetahui betapa aktif dan tinggi keyakinan penduduk masyarakat kampung warisan Melayu dalam persaingan untuk mendapatkan kedudukan terbaik. Ini boleh dijadikan contoh kerana penduduk Kampung Morten berani menyahut cabaran. Dengan ini, nama baik negara kita dapat ditingkatkan di mata dunia dan dapat mengharumkan nama negara.
               
Terdapat beberapa cadangan untuk penambah baikan seperti aspek promosi. Agensi pelancongan seharusnya meletakkan risalah dan papan iklan di kaunter pertanyaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kewujudan kampung ini. Selain itu, meletakkan Kampung Morten sebagai salah satu destinasi dalam pelan pelancongan untuk meningkatkan bilangan pelancong ke kampung ini turut membantu menaikkan lagi industri pelancongan di Malaysia khususnya. Bahkan, kampung ini seharusnya dijadikan cadangan kepada pelancong untuk dilawati di negeri Melaka oleh pemandu pelancong sebagai destinasi pelancongan yang sesuai untuk merehatkan minda dan bagi mengenali seni kebudayaan tradisional Melayu dengan lebih dalam lagi.

Seterusnya, promosi perlu dimulakan dengan menggalakkan para pelajar mengunjungi kampung yang bercorak tradisional seperti Kampung Morten ini bersama keluarga pada musim cuti persekolahan. Pihak sekolah juga seharusnya memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai murni dan patriotisme dalam kalangan pelajar tentang kepentingan memelihara khazanah warisan negara dengan menjadikan kampung ini sebagai salah satu destinasi lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Lawatan para pelajar ke kampung ini dapat memberi banyak manfaat berkaitan kepentingan kampung-kampung seperti Kampung Morten ini dan mereka turut diberi peluang mengunjungi kampung tersebut secara percuma.

Pemuda-pemudi kampung juga digalakkan terlibat dalam industri yang berteraskan tradisional Melayu seperti kraftangan, pertanian kesenian, silat dan dalam konteks kampung Morten sendiri, beca. Hal ini dapat mengurangkan kos mengupah orang luar bagi menjalankan aktiviti-aktiviti di kampung ini. Ini secara langsung membolehkan warisan Melayu tradisional dapat diturunkan kepada generasi akan datang dan kelangsungannya dapat dipelihara.

Pemuda-pemudi kampung juga dapat memperoleh pendapatan tambahan melalui kegiatan ekonomi desa melalui penjualan cenderamata, kraftangan dan sebagainya. Tambahan pula, pemuda-pemudi kampung digalakkan mempelajari bahasa asing seperti bahasa Jepun, Korea, Cina, Jerman, Perancis dan lain-lain lagi memandangkan kampung ini sering dilawati oleh pelancong-pelancong dari seluruh dunia. Tidak dilupakan mereka juga perlu fasih berbahasa Melayu sebagai identiti masyarakat Melayu dan Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa perantaraan dunia. Justeru,  boleh menjimatkan kos kerana khidmat jurubahasa asing tidak diperlukan untuk memberi penerangan tentang sejarah kampung ini dan menjawab pertanyaan  yang dikemukakan oleh pelancong sama ada tempatan mahupun luar negara.

Konsep Program Inap Desa ini merangkumi pelbagai aspek seni budaya dan alam semulajadi bagi tujuan menarik lebih ramai pelancong asing mahupun dalam negara. Program ini menawarkan kepada pelancong suatu gaya penginapan yang berlainan dan istimewa dengan penekanan terhadap layanan mesra tuan rumah di samping menikmati keindahan desa yang kaya dengan khazanah alam semula jadi serta aktiviti kebudayaan tradisional setempat.

Dalam konsep ini, pelancong bukan sahaja datang untuk menginap, malah juga terlibat dengan pelbagai aktiviti harian bersama komuniti tempatan seperti bercucuk tanam dan mengutip hasil tanaman.  Konsep ini telah banyak membantu Kampung Morten dalam mencari dana untuk membangunkan kampung dan juga mempromosikan kampung ini. Antara faktor kejayaan program ini di Kampung Morten ialah kerjasama penduduk kampung. Contohnya, menurut Tok Sidang Dollah, para penduduk kampung telah bergotong-royong membaiki rumah tradisional Melayu di kampung mereka untuk penginapan para pelancong. Selain itu, lokasi kampung ini yang strategik di dalam kawasan pelancongan negeri Melaka menjadikan kampung ini sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik.


4.0 Kesimpulan

Kampung Morten yang merupakan sebuah kampung yang kaya dengan adat dan tradisi Melayu seharusnya dipelihara kerana ianya merupakan khazanah yang sangat bernilai untuk tatapan generasi akan datang. Keunikannya telah menyebabkan kampung ini menjadi tarikan kedatangan pelancong ke Melaka.

Industri pelancongan banyak menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi penduduk setempat terutamanya yang terlibat secara langsung dengan keusahawanan pelancongan. Manakala daripada segi sosiobudaya, kebanyakan penduduk sudah berfikiran terbuka terhadap adat dan budaya hidup tradisional mereka selama ini malah mengalu-alukan industri pelancongan. Pembangunan yang menganjurkan fasa transformasi dari segi dimensi sosiobudaya sebenarnya sudah bersedia untuk menganjurkan satu persepsi baru dalam kalangan penduduk tempatan. Transformasi ini berhubung kait dengan hubungan yang rapat dengan pelancong dan pendedahan kepada persekitaran pelancongan yang telah berlaku sejak beberapa tahun dahulu. Keadaan ini menunjukkan mereka sentiasa menyambut baik sektor pelancongan. Rata-rata mereka tidak menganggap bahawa industri pelancongan membawa kemusnahan kepada budaya setempat tetapi mereka hanya perlu menyesuaikan diri dengan nilai-nilai yang baru dan pada masa yang sama memelihara budaya dan adat Melayu.

Hasil kajian menunjukkan majoriti penduduk tempatan berusaha kuat untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Walau bagaimanapun, tanpa pendidikan yang tinggi, perancangan dan bimbingan yang betul, adalah mustahil bagi mereka untuk merealisasikan impian itu. Sekiranya mereka diberi bimbingan dan tunjuk ajar, mereka sebenarnya mampu untuk lebih aktif dalam membangunkan industri ini. Namun apa yang dapat diperhatikan, kesungguhan penduduk tempatan terlibat sama dalam pembangunan ini hanyalah pada peringkat permulaan projek, tetapi selepas itu mereka tidak berupaya bersaing lagi, dan ini boleh dianggap menggangu pertumbuhan sektor pelancongan itu sendiri seterusnya akan menghadkan peluang mereka untuk memperbaiki taraf sosioekonomi serta menceburi bidang keusahawanan di kampung ini.

Bagaimanapun, atas dasar kemahuan untuk berubah, di kala peluang yang terbuka luas, meskipun dengan kemampuan yang terbatas, tanpa sebarang pengalaman, tunjuk ajar mahupun bantuan, terdapat juga segelintir daripada mereka pada hari ini yang boleh dibanggakan sebagai usahawan tempatan yang  berjaya. Namun begitu, faktor persaingan dengan para usahawan luar yang mempunyai pelbagai kelebihan, dasar dan peraturan yang tidak memihak kepada mereka, dan juga kealpaan pihak-pihak tertentu yang sepatutnya mengambil tanggungjawab menjaga kepentingan usahawan tempatan, ia memungkinkan masa depan dunia keusahawanan di kalangan komuniti Melayu tempatan menjadi kabur serta tidak menentu, seterusnya akan mengembalikan mereka ke alam kerjaya lama (sebagai nelayan) yang telah cuba ditinggalkan ataupun sekadar menjadi kuli di sektor baru.

Justeru, komuniti ini perlu diberi penerangan tentang perancangan pembangunan dan kesan positif serta kesan negatif daripada pembangunan tersebut seawal mungkin supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapinya pada masa akan datang. Integrasi di antara kepentingan komuniti tempatan dan perancangan pembangunan sangat penting untuk memastikan pertumbuhan positif di kedua-dua belah pihak. Perkongsian keuntungan hasil daripada pembangunan juga perlu diwujudkan tanpa mengorbankan nilai tradisional mereka. Apa yang pasti, kaedah ini adalah penting untuk dimasukkan bersama dalam rancangan pembangunan sejak awal-awal lagi.


Rujukan

http://www.melaka.gov.my/index.php/bm/pelancongan.html
http://www.melaka.gov.my/index.php/bm/japerun-a-jkkk.html
http://ejkt.kpkt.gov.my/kgtrad/ekonomi.php
http://diarikikbm.blogspot.com/2011/12/melaka-jadi-peneraju-industri-homestay.html
http://journalarticle.ukm.my/2965/1/1.pdf
http://elib.uum.edu.my/kip/Record/u274946
http://www.hmetro.com.my/articles/Pengalamanwaktumalamlebihistimewa/Article



MZ Zainudin, Muhammad Hilmi Salleh, Jayadhasan a/l Jayaratnam


Post a Comment