Tuesday, November 10, 2015

Amalgamasi antara etnik Portugis dan Melayu di Melaka








1.0 Pendahuluan

Kajian lapangan ini merupakan kajian yang berkaitan kesan amalgamasi yang berlaku dalam kalangan masyarakat Portugis dan Melayu yang terdapat di Melaka. Masyarakat keturunan Portugis muncul di Melaka selepas pihak Portugis menawan Melaka pada tahun 1511. Dianggarkan kini terdapat 20,000 orang keturunan Portugis di Malaysia. Bermula dari tarikh tersebut, sedikit demi sedikit orang-orang Portugis membentuk komuniti mereka sendiri dan mengamalkan perkahwin campur dengan penduduk tempatan. Amalan ini diteruskan semasa pemerintahan Belanda dan juga Inggeris di Tanah Melayu. Hasil daripada perkahwinan campur tersebut, maka wujudlah asimilasi yang berlaku antara etnik Portugis dan Melayu.

Amalgamasi ini dapat dilihat melalui proses penyatuan dan percantuman budaya antara masyarakat Portugis dan Melayu dalam aspek budaya, pemakanan dan amalan adat resam Melayu yang sudah bercampur dan diadaptasi dalam kehidupan seharian mereka. Jika dilihat dalam konteks asimilasi itu secara mendalam, masyarakat Portugis adalah kaum minoriti dan tidak terlalu menonjol berbanding kaum lain. Hal ini kerana sebahagian generasi masyarakat Portugis sekarang tidak lagi mengamalkan adat dan budaya yang diwarisi oleh nenek moyang mereka. Perkara ini terjadi kerana proses perkahwinan campur telah mempengaruhi budaya, agama dan bahasa. Oleh sebab itu, keberjayaan sesebuah etnik dalam konteks asimilasi ialah terdapat banyak persamaan budaya antara kumpulan etnik dan kesanggupan golongan minoriti untuk menghilangkan identiti mereka. Apabila memerhatikan cara kehidupan masyarakat Portugis pada era ini, kebanyakan daripada mereka lebih menggemari untuk mengamalkan adat dan budaya masyarakat Melayu seperti dari segi pemakanan, mereka suka akan sambal belacan dan cencaluk. Selain daripada itu, mereka lebih selesa untuk makan dengan cara menggunakan tangan.

Tambahan itu pula, perkahwinan campur ini juga telah menghasilkan masyarakat Portugis yang berbeza agama, terutamanya bagi perkahwinan antara Portugis dan Melayu. Kebanyakan daripada mereka memeluk agama Islam dan mengamalkan cara hidup masyarakat Melayu. Walaupun berbeza agama, tetapi mereka masih berhubung secara aman dan baik. Bahkan ada sebahagian penganut agama Islam ini, menetap terus di perkampungan Portugis agar masyarakat ini tidak berpecah walaupun berlainan agama. Bukan itu sahaja, kelebihan bagi masyarakat Portugis yang berkahwin campur ini telah menghasilkan wajah yang berbeza dari masyarakat Portugis yang asal. Ini dibuktikan dengan wajah yang mirip kepada wajah orang Asia. Ciri-cirinya ialah berkulit sawo matang dan ada juga yang berkulit gelap seperti kaum India. Kadang kala masyarakat sekeliling keliru dengan wajah masyarakat Portugis dan mungkin juga tidak kenal langsung akan perawakan etnik Portugis yang sebenarnya. Namun kalau diperhatikan secara fizikal rupa mata, hidung dan rambut masih ada ciri-ciri peninggalan orang Portugis.

Walaupun masyarakat Portugis ialah kaum yang minoriti, kerajaan tidak pernah sama sekali menganaktirikan masyarakat ini, bahkan mereka tersenarai dalam masyarakat Malaysia yang unik dan sekali gus mengangkat etnik Portugis ini di dalam Konsep 1Malaysia. Justeru itu, masyarakat Portugis adalah masyarakat yang mempunyai budaya yang tersendiri tetapi telah dicampurkan dengan budaya lain disebabkan berlakunya konsep amalgamasi iaitu perkahwinan campur dan asimilasi yang membawa masyarakat ini terus kearah penyatuan adat dan budaya. Sekali gus menghasilkan masyarakat yang unik dan sangat istimewa.


2.0 Sorotan Kajian

2.1 Definisi Amalgamasi

Malaysia telah berjaya melangkah keluar daripada kumpulan negara mundur kepada negara sedang membangun. Kini, Malaysia bergerak menuju ke arah status negara maju seperti yang dicita-citakan dan digariskan dalam Wawasan 2020. Pergerakan daripada negara mundur kepada negara sedang membangun berlaku dalam tempoh 50 tahun (1957-2007). Ia merupakan suatu jangka waktu yang cukup singkat menurut ukuran sejarah dunia. Pencetusan kepada proses transformasi sosioekonomi yang luar biasa ini ialah akibat dari peristiwa rusuhan etnik 13 Mei 1969 yang telah membuat semua rakyat Malaysia tersentak lalu membuka mata bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat kita, khususnya dari segi hubungan etnik walaupun kita sudah merdeka dan perlahan-lahan sudah mula menikmati keselesaan ekonomi. Dalam usaha membina kesepaduan antara etnik yang terdapat di Malaysia, antara sedar atau tidak penerapan amalgamasi yang dilaksanakan oleh etnik yang terdapat di negara ini telah menjadi salah satu wadah dalam memperbaiki lagi kesepaduan dan mengeratkan lagi hubungan sesama etnik yang terdapat di Malaysia.

Amalgamasi dapat ditakrifkan sebagai satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras baru. Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi adalah dengan terjadinya perkahwinan campur antara kumpulan etnik. Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C=D, di sini A, B dan C mewakili kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgam, satu kumpulan baru terhasil daripada penyatuan A, B dan C. Sebagai contoh, kumpulan-kumpulan etnik yang sedia wujud mengamalkan parkahwinan campur lalu membentuk satu genarasi baru seperti etnik Portugis berkahwin dengan etnik Melayu maka wujud satu generasi baru yang dikenali sebagai Papia Kristang. Antara tokoh yang lahir kesan dari amalgamasi seperti Tony Fernandes, Tiara Jacquelina dan Hans Isaac. 

2.2 Kesan Amalgamasi Dari Sudut Budaya Dan Bahasa

2.2.1 Aspek Budaya

Orang Luso-Melayu Malaysia ialah suku kacukan Portugis dengan Melayu Melaka. Mereka daripada perkahwinan orang Portugis dengan orang Melayu Melaka semasa pemerintahan Portugis di Melaka pada 1511 hingga 1641.Walaupun asal darah suku ini ialah kacukan orang Portugis dengan Melayu, kebanyakan mereka hari ini mempunyai darah kaum lain. Agama asal dan tradisional Orang Luso-Melayu ialah Roman Katolik. Tetapi, ada Orang Luso-Melayu hari yang beragama lain. Masyarakat Portugis sentiasa gembira dan senang hati dalam menjalani kehidupan seharian. Kegembiraan itu dapat diperlihatkan melalui tarian, muzik dan juga lagu- lagu yang dinyanyikan. Oleh sebab itu, tarian Portugis mempunyai kaitan dengan sejarah pemerintahan Portugis di sini. Pengaruh kuat tarian Portugis ini telah menyerap ke dalam tarian Melayu seperti yang kita dapat lihat pada tarian joget.

Selain itu, dari segi aspek amalan kehidupan, terdapat  juga amalan yang  diamalkan sehingga kini oleh kedua- dua etnik. Amalan ini dilakukan apabila hari bersalin sudah tiba. Bagi ibu yang baru melahirkan anak, jururawat dari hospital akan datang untuk memeriksa kesihatan bayi untuk memastikan keadaan bayi yang baru lahir itu baik dan sihat bagi beberapa minggu. Jika tidak ada apa-apa masalah, selepas pantang pihak keluarga akan mencari bidan kampung yang dipanggil daya untuk mengurut ibu-ibu, memakaikan bengkung, bedak dan sebagainya. Bidan Melayu yang mempunyai pengalaman bekerja sebagai jururawat biasanya akan dipanggil dengan diberi bayaran atas perkihdmatan yang diberikan. Ibu-ibu yang baru bersalin mempunyai pantangnya tersendiri. Oleh kerana bidan yang merawat ialah orang Melayu maka cara berpantang juga adalah seperti adat orang Melayu. Bagi ibu-ibu Portugis, mereka berpantang sama seperti etnik Melayu iaitu memakai bengkung, berpupuk, makan makanan yang berebus dan biasa meletakkan halia dalam makanan untuk membuang angin dalam badan. Mereka pantang terkena air sejuk, maka hal penjagaan bayi seperti mandi akan diuruskan oleh orang lain seperti daya dan adik beradik.

2.2.2 Aspek Bahasa

Mengikut borang soal kaji selidik yang telah diadakan terhadap penduduk Perkampungan Portugis di Melaka, bahasa yang sering mereka gunakan sebagai pertuturan seharian ialah bahasa Kristang (bahasa ibunda Portugis), bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bahasa Kristang selalunya digunakan dalam urusan jual beli, perayaan, kejiranan, dan keagamaan. Sejak bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan selepas merdeka, banyak pengaruhnya dapat dilihat terpupuk dalam bahasa Kristang. Pengaruh bahasa Melayu dalam bahasa Kristang dikategorikan kepada beberapa jenis seperti kata nama, kata adjektif, kata kerja dan kata supraayat. Kata nama boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti kata nama kumpulan (hiponim), kata nama ukuran dan kata nama gandaan. Kata nama kumpulan (hiponim) merangkumi kata nama haiwan, buah-buahan, sayur-sayuran dan kenderaan seperti blankas (belangkas), ampeh (ampai-ampai), cacin (cacing), cica (cicak), botor (kacang botor), kaladi (keladi), tangkoh (tengkuk), praw (perahu) dan manga (mangga). Kata nama ukuran pula seperti ganta (gantang), inci (inci) dan kati (kati) dilihat sangat hampir dengan bahasa Melayu sendiri. 

Kata nama gandaan dalam bahasa Kristang kurang merujuk seperti penggunaan kata ganda dalam bahasa Melayu. Kata gandaan bahasa ini lebih merujuk kepada makna jamak dari segi jumlahnya dan jenisnya. Contohnya, albi-albi (pokok-pokok) dan macu-macu (budak-budak). Kata ganda seperti guru-guru yang bermaksud bunyi guruh sabung-menyabung dan laba-laba (labah-labah) juga digunakan. Kata adjektif atau kata sifat dalam bahasa Kristang mempunyai pengaruh bahasa Melayu yang agak kuat seperti amis (bau hamis), kacah (kacak), tompol (tumpul), jinadu (jinak) dan brani (berani).  Bagi kata kerja dalam bahasa Kristang, pengaruh bahasa Melayu yang dapat dikenalpasti dalam pengunaannya adalah seperti cubah (mencuba, cuba) dan katoh (mengetuk, ketuk).

Kata supraayat ialah kata yang penggunaannya hanya jelas dalam hubungan antara ayat. Dalam konteks bahasa Kristang, kata supra ayat yang jelas pengaruhnya daripada bahasa Melayu adalah seperti pon (pun) dan seja (sahaja). Selain dalam tatabahasa bahasa Melayu yang diterapkan dalam bahasa Kristang, masyarakat Portugis juga mengambil pengaruh puisi seperti pantun masyarakat Melayu ke dalam puisi bahasa Kristang sebagai bukti bahawa masyarakat Portugis terdedah dengan budaya orang Melayu sejak dulu lagi. Penggunaan rima akhir a, b, a, b dalam pantun masyarakat Melayu sangat jelas dalam lagu masyarakat Portugis seperti Jingli Nona.

Penggunaan pantun dan puisi tidak terhad di dalam lagu sahaja, malah turut digunakan dalam adat merisik, seperti masyarakat Melayu. Pihak lelaki dan pihak perempuan akan cuba berkias-kias, jika tidak berpantun. 


3.0  Metodologi Kajian
                            
Maklumat yang diperolehi adalah berdasarkan kepada kajian lapangan yang telah dijalankan di Perkampungan Portugis dan sekitar kawasan Melaka Tengah. Kajian lapangan yang dijalankan adalah untuk memperolehi data berkaitan dengan kesan perkahwinan campur yang berlaku antara dua etnik ini iaitu Portugis dan Melayu dalam sudut budaya dan bahasa dalam melahirkan sebuah hubungan etnik  yang lebih baik di Melaka. Terdapat beberapa kaedah yang telah diaplikasikan dalam kajian lapangan ini. Antaranya ialah kaedah pemerhatian, rakaman dan temu bual.

Berdasarkan kaedah pemerhatian, tinjauan di sekitar Perkampungan Portugis dan mini muzium Portugis telah dilaksanakan. Selain itu, bagi kaedah temu bual dan rakaman, temu ramah bersama dengan ketua kampung Perkampungan Portugis iaitu En. Peter T.Gomes, penjaga muzium iaitu En. Geozge. Paul. Overee dan penduduk tempatan yang terdapat di sekitar kawasan perkampungan itu. Maklumat yang diberikan mengupas sejarah terdahulu dan serba sedikit mengenai kehidupan masyarakat Portugis dan Melayu yang telah menjalani kehidupan amalgamasi dan penyerapan konsep asimilasi dalam kehidupan seharian.


4.0  Hasil Kajian

Berdasarkan penyelidikan yang telah dijalankan, didapati bahawa masyarakat di sekitar kawasan Perkampungan Portugis bukanlah keseluruhannya adalah masyarakat Portugis tetapi juga terdiri daripada masyarakat dari etnik-etnik lain seperti Cina, India dan Melayu. Hal ini kerana kesan daripada amalgamasi yang telah diamalkan oleh masyarakat itu sendiri.

Sebanyak 53% daripada responden yang diambil adalah terdiri daripada responden lelaki, manakala 47% adalah responden perempuan. Responden yang telah terpilih adalah terdiri dalam kalangan masyarakat Portugis itu sendiri dan beberapa orang responden yang terdiri daripada masyarakat etnik lain, seperti Cina dan India yang turut tinggal di lokasi tersebut. Mereka begitu faham akan konsep amalgamasi (perkahwinan campur).


Rajah 1: Pecahan peratusan jumlah responden yang memahami konsep amalgamasi

Berdasarkan kajian yang dijalankan, didapati semua responden menyatakan bahawa mereka memahami konsep tersebut. Hal ini kerana kehidupan di sekeliling mereka sememangnya di kelilingi dengan masyarakat yang mengamalkan perkahwinan campur ini semenjak zaman penjajahan lagi seperti etnik Cina dengan etnik Melayu, etnik India dengan Cina dan sebagainya. Maka tidak dapat disangkal lagi apabila 100% daripada responden mengatakan bahawa mereka memahami akan konsep amalgamasi ini dengan sepenuhnya.
Rajah 2 di bawah menunjukkan peratus jenis bahasa pertuturan harian yang digunakan masyarakat campuran dari etnik Portugis dan Melayu di Melaka. Hasil kaji selidik yang dijalankan, didapati seramai 40% responden menyatakan bahawa bahasa Portugis adalah bahasa yang paling kerap digunakan dalam pertuturan seharian mereka. Situasi ini menunjukkan bahawa walaupun mereka tidak lagi tinggal di Portugis, namun masyarakat etnik ini masih lagi mengekalkan penggunaan Bahasa Portugis dalam kehidupan seharian mereka. Bahasa Inggeris pula dilihat telah menjadi bahasa kedua yang sering digunakan oleh masyarakat etnik ini ketika berkomunikasi antara satu sama lain dengan peratusan sebanyak 33%.


Rajah 2: Peratus bahasa pertuturan harian yang digunakan oleh masyarakat campur antara etnik Portugis dan Melayu

Selain daripada dua bahasa tersebut, etnik ini juga tidak melupakan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi dan menjadikannya sebagai bahasa pilihan ketiga mereka. Perkara yang menarik minat di sini adalah, walaupun mereka jarang menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian, tahap penguasaan bahasa mereka mampu berada setaraf dengan etnik Melayu yang sebenar kerana ramai di antara mereka fasih dalam berbahasa Melayu. Hal ini dapat dibuktikan menerusi rajah di atas di mana 20% dari kalangan mereka bertutur dalam bahasa Melayu sewaktu berkomunikasi sesama mereka.

Peratus selebihnya pula adalah penggunaan bahasa-bahasa lain yang telah mencatatkan jumlah peratus yang paling rendah iaitu sebanyak tujuh peratus. Perkara ini telah menunjukkan bahawa terdapatnya keunikan yang tersendiri bagi etnik ini di mana mereka mampu untuk menuturkan lebih dari satu bahasa dalam menjalani kehidupan sehari-hari.
  
Rajah 3 menunjukkan peratus pemakaian pakaian tradisi yang digunakan oleh masyarakat etnik Portugis dan etnik Melayu. Seramai 97% responden mengatakan bahawa pakaian tradisi mereka hanya dipakai ketika sambutan atau musim perayaan dan hanya tiga peratus sahaja yang mengatakan bahawa mereka memakai pakaian tradisi mereka pada setiap hari.


Rajah 3: Peratus tahap kekerapan amalan pemakaian tradisi masyarakat yang berkahwin campur

Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa kesan amalgamasi dan peredaran zaman telah membawa kepada beberapa perubahan dalam budaya pemakaian pakaian tradisional etnik Portugis yang majoritinya hanya dipakai sewaktu hari perayaan dan hanya sebilangan kecil memakainya pada setiap hari. Pemakaian pakaian tradisional ini juga kebiasaannya hanya dipakai oleh warga tua yang masih mempunyai kesedaran yang tinggi dalam mengekalkan budaya dan adat resam mereka.

Rajah 4 pula memberi penjelasan tentang penggunaan adat yang dilaksanakan antara etnik Portugis dan Melayu sewaktu majlis perkahwinan mereka berlangsung. Sebanyak 77% responden mengatakan bahawa mereka mengamalkan adat istiadat Melayu seperti merisik dan bertunang dalam proses perkahwinan mereka. Sebanyak 16% yang lain pula lebih selesa dan berminat untuk mengamalkan adat Portugis semasa mereka mengadakan majlis perkahwinan. Namun begitu, terdapat juga segelintir responden yang mengatakan bahawa mereka menggunakan adat daripada etnik-etnik lain seperti adat dari etnik Cina dan etnik India dengan mencatatkan jumlah peratus sebanyak tujuh peratus.


Rajah 4: Peratus jenis adat yang digunakan semasa majlis perkahwinan

Berdasarkan hasil kajian yang diperolehi, membuktikan bahawa kepelbagaian adat dan budaya sewaktu perkahwinan telah dapat diterima oleh etnik ini dalam kehidupan mereka. Konklusinya, kebanyakan masyarakat dari etnik ini akan mengikut adat perkahwinan mengikut kepercayaan, pegangan agama dan tidak kurang juga yang mengikut adat dan budaya etnik lain yang mereka minati.

Rajah 5 menunjukkan peratus perkahwinan campur terhadap taraf pemikiran masyarakat etnik Melayu dan etnik Portugis. Sebanyak 23% responden bersetuju bahawa terdapat peningkatan taraf pemikiran yang wujud kepada anak-anak mereka kesan daripada perkahwinan yang berlainan etnik. Manakala, sebanyak 77% responden sangat tidak bersetuju dengan penyataan ini. Hal ini kerana mereka tidak dapat melihat sebarang peningkatan taraf pemikiran anak-anak mereka kesan daripada perkahwinan tersebut.


Rajah 5: Peratus kesan perkahwinan campur terhadap taraf pemikiran
masyarakat Melayu dan Portugis

Oleh itu, mereka berpendapat bahawa taraf pemikiran anak-anak masyarakat yang berkahwin campur adalah sama dengan anak-anak yang lain dan peningkatan taraf seseorang individu itu adalah bergantung kepada usaha dan titik peluh seseorang individu yang mengimpikan kejayaan dalam mengubah kehidupan sekarang menjadi lebih baik.

Rajah 6 menunjukkan peratus responden yang bersetuju bahawa perkahwinan campur mampu mewujudkan keharmonian dan kesepaduan antara masyarakat dalam mencapai Gagasan 1Malaysia. Seramai 93% responden bersetuju bahawa dengan wujudnya perkahwinan campur ini, masyarakat akan semakin harmoni dan bersatupadu antara satu sama lain. Hal ini disebabkan terdapatnya pelbagai etnik yang wujud dalam sesebuah keluarga tersebut kesan daripada perkahwinan campur ini dan mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain.


Rajah 6: Peratus kesan perkahwinan campur terhadap keharmonian dan kesepaduan masyarakat

Hanya tujuh peratus responden yang tidak bersetuju dangan penyataan di atas dengan alasan bahawa perpaduan dalam masyarakat hanya dapat dicapai sekiranya setiap individu dapat menyedari akan kepentingannya untuk masa depan negara. Isu ini menjelaskan bahawa sesebuah perkahwinan itu belum cukup mampu untuk menjadi benteng dalam mencapai perpaduan negara dan bangsa jika kesepaduan dan keharmonian dalam rumah tangga itu tidak dicapai dengan baik.

Rajah 7 menunjukkan peratus pendapat responden tentang pengekalan Kampung Portugis di Melaka. Pengekalan kampung ini penting bagi pengetahuan generasi pada masa akan datang.


Rajah 7: Peratus pendapat responden tentang pengekalan 
Kampung Portugis Melaka

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, didapati bahawa sebanyak 97% responden berpendapat bahawa Kampung Portugis yang ada pada masa kini akan dapat dikekalkan untuk pendedahan sejarah kepada generasi akan datang manakala hanya tiga peratus responden tidak bersetuju bahawa Kampung Portugis akan kekal pada masa akan datang kerana mereka memberi alasan bahawa pengekalan kampung tersebut bergantung juga kepada pihak kerajaan, sama ada mereka mahu mengekalkan kampung tersebut ataupun tidak sebagai satu aset sejarah yang kepada generasi akan datang. Responden yakin bahawa pengekalan kampung ini akan berlaku kerana perkampungan ini telah diberi geran pada setiap penduduknya dan geran tanah ini tidak akan berpindah milik kepada pihak lain melainkan keturunan Portugis itu sendiri. Maka kampung ini akan terjaga dari segi hak dan pihak luar tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil kesempatan.


5.0  Kesimpulan

Amalgamasi merupakan salah satu tonggak kejayaan negara Malaysia pada hari ini. Perpaduan yang utuh di antara kaum di Malaysia telah menunjukkan kepada dunia bahawa perbezaan agama, bangsa dan budaya bukan penghalang untuk tinggal dan menetap di sebuah negara yang harmonis ini. Bahkan, masyarakat Malaysia telah bersatu hati untuk terus melindungi Malaysia daripada terus dijajah sama ada secara fizikal dan mental. Justeru itu, perkahwinan campur dan perkongsian budaya adalah salah satu lambang kepada Malaysia terutama di negeri Melaka sebagai satu titik perubahan untuk Malaysia terus maju ke hadapan.

Masyarakat yang berjumlah minoriti seperti etnik Portugis merupakan salah satu masyarakat yang berkongsi budaya dari aspek adab dan budaya Melayu serta India. Maka tidak hairan jika dalam kalangan etnik Portugis itu sendiri mempunyai pelbagai paras rupa seperti berkulit gelap, dan paras rupa yang lebih kepada orang Asia. Walaupun etnik itu berjumlah manoriti, ia tidak sama sekali menjadi penghalang untuk menwujudkan semangat bersatu padu dengan masyarakat yang lain. Hal ini kerana Malaysia memerlukan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa agar negara lain mampu mencontohi Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum tetapi mampu untuk mewujudkan satu rantaian perpaduan yang kukuh bagi membina satu tamadun yang tersendiri pada masa hadapan. 


Rujukan

Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin. (2004). Pengajian Malaysia. Shah Alam, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Maruwiah Ahmat. (2010). Siri pendidikan Negara Bangsa: Identiti Malaysia.Shah Alam, Selangor: Orbit Publications Sdn Bhd.

Maruwiah Ahmat. (2006). Penjajahan Portugis dan Sepanyol Ke Atas Asia Tenggara: Satu Pengamatan Semula. Shah Alam, Selangor.

Karisma Publications. Prof. Emiretus Dato Dr Muhammad Yusof Hj. Hashim. (2006). Kisah Melaka 1511. Batu Berendam, Melaka: Institusi Kajian Sejarah Dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).

Tunku Halim. (2009). History of Malaysia: A Children’s Encyclopedia. Hobart, Australia: My Favourite Company Pty Ltd.

Temu bual

Hasil temu bual bersama dengan En. Peter T.Gomes selaku ketua kampung di perkampungan Portugis Ujong Pasir, Melaka pada 28hb Januari 2011 dan 10hb Februari 2011.

Hasil temu bual bersama dengan En. Geozge. Paul. Overee selaku penjaga mini muzium Portugis di Perkampung Portugis Ujong Pasir, Melaka pada 10hb Februari 2011.


Internet

http://mforum1.cari.com.my/archiver
http://ms.wikipedia.org/wiki/Masakan_Portugis
      http://mard1.tripod.com/portuguese.htm
http://mstar.com.my/berita/cerita.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Luso-Melayu_Malaysia
http://ms.wikipedia.org/wiki/Portugis
http://www.mymla.org/files/icmm2010_papers/ICMM2010_p32.pdf



MZ Zainudin, Shirly Chung Hsian Li, Nurnadia Jenal @ zainal, Siti Nor Afiqah Abdul Malik, Siti Fatimah Zainal Abidin, Nursyuhada Azman, Namirah Ab Rahim, Choong Chien Khay, Sim Tek Guan


No comments:

Post a Comment