Tuesday, July 28, 2015

Reunion Sekolah Kebangsaan Kodiang 1985-2015








Malam Reunion Pelajar Sekolah Kebangsaan Kodiang 1985-2015 sangat meriah. Bertemu dengan rakan-rakan sekelas yang berpisah selepas 30 tahun dapat mengundang kembali nostalgia dan ingatan semasa kami bersama-sama belajar dari darjah satu hingga enam.

Tema majlis ini adalah "Mengimbau Kenangan, Bertaut Silaturrahim, Menabur Bakti".

Di samping rakan-rakan sekelas, guru-guru yang telah membimbing kami juga turut dijemput.

Merancang program seperti ini perlukan beberapa orang yang sentiasa memastikan setiap perancangan berjalan lancar. Penggunaan teknologi komunikasi seperti WhatsApp juga memudahkan hubungan dan komunikasi pelbagai hala.

Urus setia program kali pertama ini digerakkan oleh Azmi Din dan Syubli Nordin. Mereka sentiasa memastikan semua rakan lama dapat dihubungi dan dijemput. Daripada hanya beberapa orang, kumpulan ini bertambah kepada lebih 20 rang.

Perbincangan turut melibatkan masa, tempat dan menu makanan di samping aktiviti sampingan seperti pengenalan diri, sesi bergambar dan cabutan bertuah.

Menu makan sangat mewah kerana masing-masing yang sudah berkerjaya mampu menyumbang lebih banyak wang untuk hari bersejarah ini. Antara menu makan malam adalah kambing golek, nasi tomato ayam, ketupat, rendang daging, pasembor, mee rebus, koteow goreng, minuman dan buah-buahan.

Rakan-rakan yang hadir terdiri daripada Salina, Syubli, Zah, Anita, Rajman, Norazman, Umi Saodah, Norhasliza, Mazri, Nurhaizal Azam, Syuhaida, Rahayu, Lizawati, Hanida, Suriani, Bani, Ku Sariza dan Rais.

Antara guru yang dapat hadir adalah Cikgu Ibrahim, Cikgu Kamaludin, Cikgu Tengku Izham, Cikgu Jah, Cikgu Hasnah, Cikgu Ani, dan Cikgu Norizah.

Majlis bermula dengan doa bagi meraikan kesyukuran dan rahmat Allah swt kerana mengizinkan majlis ini diadakan. Dalam doa ini dimasukkan permohonan agar Allah swt mengurniakan kesejahteraan dan kebahagiaan kepada guru-guru yang telah mengajar dan membimbing kami semua. Doa juga dipohon supaya kami berkekalan dalam persahabatan dan bersemangat kental untuk mengharungi cabaran hidup.

Cikgu Tengku Izham, sebagai wakil guru merupakan guru muzik. Beliau juga mengimbau kembali kenangan yang mana beliau melatih pelajar belajar muzik dan membentuk kerektor pelajar melalui pelajaran muzik. Dalam ucapannya, beliau menceritakan kembali kesungguhan Allahyarham Cikgu Zaki sebagai jurulatih bola sepak, dia membimbing pasukan bola sepak sekolah untuk berentap dengan pasukan Sekolah Kebangsaan Tunku Bendahara dan Sekolah Kebangsaan Seputih. Rakan-rakan guru yang lain juga dikongsi bersama.

Sesi pengenalan diri rakan-rakan lama sangat menarik. Di sini masing-masing bercerita tentang perjalanan hidup khususnya pengalaman semasa di sekolah dan kerjaya terkini. Selepas 30 tahun, walaupun pernah berada di satu tempat yang sama, hari ini semuanya telah berjaya dalam kerjaya dan keluarga.

Hanida Harun, pernah bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia dan kini di Akademi Grafologi Malaysia. Beliau belajar sehingga ke Afrika Selatan dan telah menetap di Bangi sejak 20 tahun lalu.

Umi Saodah, bekerja dengan syarikat hartanah di Alor Setar dan sangat arif tentang bidang hartanah di Kedah dan Perlis.

Norhasliza Hasan atau dikenali sebagai Kak Cik bertugas sebagai guru di Kuala Perlis. Katanya beliau telah merantau ke empat buah negeri mengikut suami.

Noranieta bertugas sebagai dealer di Kuala Lumpur.

Syuhaida tinggal di Penaga dan menjadi suri rumah tangga.

Salina juga bertugas sebagai guru di Jitra, masih mengekalkan sikap mesra sejak dari sekolah.

Suriani bekerja di Putrajaya adalah rakan pelajar yang berpindah semasa kami berada darjah empat.

Rakan-rakan lelaki semuanya mempunyai kisah menarik. Masing-masing telah mempunyai kerjaya yang stabil dan keluarga yang bahagia.

Azmi Din bekerja dengan Sime Darby sebagai pengurus ladang. Beliau lebih senang dipanggil Pak Mie, merupakan orang kuat program ini. Antara pelajar bijak dalam kelas dan dipilih menyambung pelajaran ke sekolah berasarama penuh. Seterusnya belajar di Politeknik Kota Bharu dan menyambung pengajian ke United Kingdom.

Syubli Nordin, anak cikgu. Memiliki ciri-ciri kepimpinan dan sifat berdikari. Beliau melanjutkan pelajaran sehingga ke Amerika Syarikat. Kini mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang pengangkutan.

Nurhaizal Azam, juga anak cikgu bertugas di Universiti Utara Malaysia.

Mazri, seorang yang suka bertegur sapa, tinggal di Shah Alam dan bekerja sendiri.

Rajman, bekerja di Technology Park Malaysia sebagai pengurus projek dan tinggal di Desa Pandan.

Norazman pernah belajar di Universiti Utara Malaysia dan sekarang bekerja di Kulim Hi-Tech.

Majlis reunion kali ini merupakan permulaan untuk majlis-majlis yang akan datang. Selain WhatsApp, jemputan untuk bersama-sama dalam Facebook juga dicadangkan supaya kami dapat bertukar-tukar maklumat dan memanjangkan silaturrahim.

Perjumpaan semula bekas-bekas pelajar sekolah sudah menjadi trend ketika ini khususnya ketika hari raya. Media sosial berperanan bersar membantu bekas-bekas pelajar ini menyambung kembali silaturrahim mereka.


No comments:

Post a Comment