Friday, July 03, 2015

Tranformasi institusi pondok di Malaysia








Peranan pelajar sekolah pondok semakin diberi perhatian oleh kerajaan. Evolusi sekolah ini disesuaikan dengan peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh golongan ulama yang semakin mencabar.

Justeru, idea penubuhan ponsok moden oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sangat tepat ke  arah melahirkan generasi pelapis mufti yang berilmu agama dan pada masa yang sama memiliki ilmu akhirat.

Institusi pondok di Malaysia banyak kedapatan di Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan jumlah keseluruhan hampir 100 sekolah pondok. Institusi pendidikan ini berperanan sebagai wadah untuk mendalami ilmu-ilmu agama, memelihara tradisi keislaman, melahirkan ulama dan pemimpin umat.

Institusi pondok ini telah melahirkan tokoh-tokoh tersohor seperti Tok Kenali (1870-1933), Tok Selehong (1872-1935), Mufti Haji Wan Musa (1875-1939), Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani (1880-1952), Haji Ismail Pontianak (1882-1950), Haji Saad Kangkong (1893-1943), Haji Yaakub Lorong Gajah Mati (1895-1956), Haji Abdullah Tahir Bunut Payong (1897-1961), Haji Ali Pulau Pisang (1899-1968), Haji Awang Lambor (1900-1963), Haji Daud Bukit Abal (1906-1976), Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor (Dato' Mursyid Di Raja), Haji Wan Ibrahim bin Wan Abdul Kadir, Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah, Syeikh Ismail bin Haji Muhammad Salleh, Haji Muhammad Salleh bin Haji Idris, Haji Wan Muhammad Idris bin Haji Wan Jamal, Haji Muhammad Salleh bin Haji Hashim, Tuan Haji Muhammad Arif bin Haji Ishak, Haji Ishak bin Muhammad Hashim, Tuan Hussain Mohd. Nasir Al-Mas'udi Al- Banjari, Haji Hussain Che' Dol, Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek, Haji Yaakob bin Haji Ahmad, Sheikh Abdul Halim bin Haji Osman, Haji Abdullah Abbas Nasution, Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Awang, Tuan Haji Muhammad Said bin Muhammad Taib, Haji Ahmad bin Haji Awang, Syeikh Abdul Malik, Sayid Abdul Rahman bin Muhamad al-Idrus (Tukku Paloh) dan Sayyid Ahmad bin Mohammad al-'Aydarus (Tok Ku Melaka).

Selain itu, Patani juga menyumbang kepada percambahan institusi pondok dengan munculnya tokoh-tokoh ulama dari Patani seperti Sheikh Daud al-Fatoni (1769-1847), Sheikh Nur al-Fatoni (1829-1908), Shaikh Zainal Abidin al-Fatoni (1820-1913) dan Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatoni (1856-1908).

Di Kedah, antara ulama yang terkenal pada hari ini adalah Hj Salleh Musa Sik, Hj Zakaria Jeneri Sik, Hj Azhari Gulau Sik, Hj Abd Rahim Pendang, Hj Jusuf Pendang, Hj Wahab Hassan (Ust Awang Lanai),  Hj Rifae Carok Sanglang dan Syeikh Sanussi Tariqat Nasyabandi.

Institusi terlibat dengan institusi pondok adalah Pusat Pembangunan Pondok Berhad dan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM). Selain dua entiti ini, majlis agama Islam di setiap negeri juga berperanan memantau perkembangan pondok-pondok pengajian yang wujud. 

Sukar untuk menjadikan institusi pondok sebagai aliran perdana dalam sistem pendidikan moden kerana berhadapan dengan pelbagai cabaran. Cabaran utama ialah kekurangan dari segi kemudahan asas tempat pembelajaran seperti bangunan dan sistem pendawaian elektrik yang usang, kurang kelengkapan asrama dan peralatan serta tiada kemudahan ICT. Akibatnya pelajar tidak merasai keselesaan belajar dan meneroka dunia siber.

Kedua, tenaga pengajar di pondok terdiri daripada bekas-bekas pelajar lulusan pondok. Tidak ramai yang memiliki ijazah apatah lagi kombinasi kursus agama dan kemahiran. Peningkatan pengetahuan dan kemahiran diuruskan sendiri berdasarkan keupayaan kewangan pentadbir pondok.

Ketiga, sumber kewangan pondok untuk membayar gaji guru datang dari pelbagai sumber seperti sumbangan orang ramai, zakat, sedekah, upah dan solat jenazah. Ada pondok yang kreatif memberanikan diri membuat pelaburan dalam perniagaan tertentu untuk menambah pendapatan. Gaji yang rendah menyebabkan motivasi guru berada pada aras rendah.

Keempat, institusi pondok tidak mampu menghadapi tuntutan perubahan ilmu pengetahuan semasa yang begitu cepat berubah. Ia berlaku kerana institusi ini kekurangan pakar yang membuat penyelidikan dan kajian untuk menambah baik silibus dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Kelima, oleh kerana kualiti pembelajaran dan pengajaran yang rendah, pelajar akan mengalami masalah dalam berhadapan dengan bidang pekerjaan yang dapat memenuhi kelayakan sedia ada yang mungkin mempunyai standar yang lebih tinggi.

Terdapat pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan oleh pelbagai agensi ialah mewujudkan profil sekolah pondok yang wujud di seluruh negara. Kewujudan profil ini dapat membantu pihak kerajaan memberi bantuan dan menggariskan satu bentuk silibus yang dapat menaikkan imej institusi pondok di Malaysia.

Dari segi autonomi, pendiri pondok memiliki kuasa yang luas dalam pentadbiran dan kewangan, oleh itu, kawalan khusus perlu dikenakan ke atas pondok ini supaya dasar dan garis panduan yang menepati kehendak pendidikan negara dapat diserapkan dalam silibus pengajaran dan pembelajaran. Memberi kebebasan kepada pondok untuk menentukan hala tuju sendiri boleh menyebabkan penyerapan unsur subversif dalam kalangan pelajar.

Mungkin pada satu hari nanti institusi pondok akan menjadi perhatian masyarakat kerana kelebihan pendidikan yang diberi adalah memberi ilmu dan membentuk karakter pelajar. Kebimbangan ibu bapa terhadap masalah sosial hari ini boleh menolak minat ibu bapa untuk menjadikan pondok sebagai pilihan mereka dalam memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan pelbagai masalah sosial yang merosakkan masa depan anak-anak.

Lagi pun sudah ada contoh pelajar pondok yang berjaya seperti yang ditunjukkan oleh Dr Muhammad Afifi al-Akiti, felo pensyarah dalam bidang pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford yang memulakan pengajian sebagai pelajar pondok. Meneruskan pengajian ke Queen Belfast dalam bidang falsafah skolastik dan sejarah sains. Dari sinilah beliau berpeluang mendapat pelbagai anugerah biasiswa untuk belajar ke peringkat sarjana dan doktor falsafah. Keupayaan beliau amat terserlah apabila berupaya bertutur dalam tujuh bahasa.

Menukar sistem pengajaran dan pembelajran di pondok merupakan cabaran besar agensi kerana bentuk dan pola berfikir pendiri pondok yang telah lama berakar umbi. Pendekatan yang berstrategik boleh membawa masuk elemen-elemen trasformasi supaya proses perubahan dapat dibuat secara sistematik.

Institusi pondok wajar digalakkan memperkenalkan kursus-kursus keusahawanan dalam kalangan pelajar kerana mereka bergerak atas kewangan sendiri. Pengenalan kursus ini dapat melatih pelajar menjadi lebih bebas dan berdikari untuk menjana pendapatan sendiri. Pondok juga boleh didedah dengan pelbagai aktiviti komuniti supaya penglibatan ahli komuniti dalam pembangunan pondok dapat diperkasa. Impaknya ialah komuniti merasai kehadiran pondok dan ingin membantu pelajar dalam pebagai bentuk.

Institusi pondok di Malaysia masih belum berkembang maju berbanding kemajuan yang dicapai di Indonesia dan Thailand. Di kedua-dua negara tersebut, pengurusan pondok sudah mencapai tahap universiti iaitu sekolah pondok yang kecil dan daif telah berkembang menjadi sebuah universiti. Mereka juga berupaya menarik minat ramai pelajar dari seluruh dunia. Sudah sampai masanya pengusaha sekolah pondok di Malaysia berganding bahu dengan pelbagai agensi kerajaan, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan untuk melihat kelemahan dan kekurangan yang ada pada institusi pondok supaya pelajar-pelajar yang dilahirkan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pendidikan arus perdana.



No comments:

Post a Comment