Selepas kerja hari ini, saya tergerak hati untuk mencari barang keperluan dapur. Oleh kerana hari ini ada jemputan berbuka puasa di hotel, saya keluar awal sedikit untuk mengelak kesesakan jalan raya. Tempat yang saya selalu singgah ialah sebuah pasar raya besar di Melaka Sentral.
Tempat parking kereta di sini agak luas, mudah untuk saya mencari tempat yang dekat dengan pintu utama.
Meliuk-liuk berjalan untuk masuk, saya terpandang seorang makcik pencuci sedang berjalan lurus, pandang ke hadapan. Di tangan kanannya memegang baldi kecil untuk mencuci. Dia masih memakai uniform kerja.
Saya tak begitu perasan kelainan makcik ini sehinggalah saya berada di belakangnya.
Tiba-tiba mata saya melurut ke bawah melihat baldi yang dibawa. Tercengang-cengang kerana dia hanya memaut dua jari pada pemegang baldi.
Masha Allah, makcik ini hanya ada dua jari kanan untuk bekerja mencari makan. Saya tidak tahu siapa makcik ini, di mana dia tinggal, berapa ramai ahli keluarganya, siapa anak-anaknya dan berapa pendapatannya sebagai pencuci.
Namun, saya bangga kerana di sebalik kekurangan dirinya, dia masih mahu bekerja. Syabas juga kepada majikannya yang mahu memberinya peluang bekerja.
Semangat kerja makcik ini lebih baik daripada sesetengah anak muda yang ada kelulusan tetapi masih lagi mengharapkan kerja.
No comments:
Post a Comment