Saturday, July 04, 2015

Tolak politik perkauman







Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengeluarkan perkataan berbaur perkauman terhadap ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri, Datuk Jahara Hamid mengundang padah apabila didapati bersalah. Kes ini menjadi contoh betapa maruah dan kehormatan diri seorang wanita tidak boleh dipertikai biarpun dalam politik.

Perkataan perkauman yang dikeluarkan dalam kalangan pemimpin negeri menjadi contoh dan ikutan masyarakat terutama yang taksub dengan ideologi perjuangan masing-masing. Keadaan ini boleh mengundang huru-hara jika tidak ditangani dengan langkah-langkah pencegahan yang bersifat mendidik kerana pendidikan berupaya merasionalisasikan pemikiran.

Penulisan perkauman juga banyak kedapatan di media sosial. Ia rancak ketika pilihan raya, persaingan ekonomi atau melibatkan kes jenayah. Jumlahnya yang banyak sentiasa muncul, sukar untuk mengesan dalangnya. Tulisan begini boleh dicari dalam laman blog.

Pemimpin politik harus bertanggungjawab di atas setiap perkataan dan tindakan mereka dalam usaha memperlekeh dan melemahkan lawan politik. Menggunakan unsur-unsur perkauman bagi menggambarkan sifat lawan bukanlah tindakan bijak mana-mana pemimpin, sebaliknya mereka boleh menggunakan hujah kualiti perkhidmatan dan prestasi kerja supaya masyarakat dapat menilai sejauh mana tahap kecekapan dan kemampuan melaksanakan amanah.

Masyarakat berbilang etnik di Malaysia semakin matang berfikir tentang hubungan harian mereka. Biarpun ada satu dua kes yang berpunca dari kelantangan untuk membela sesuatu kaum, agensi penguatkuasa dapat menanganinya dengan pantas. Kehadiran agensi ini mengundang rasa selamat kepada majoriti penduduk kerana pertelingkahan hanya menjadikan hubungan kaum lebih rumit dan sukar untuk bersama.

Selain pemimpin parti politik, pemimpin peringkat pertubuhan bukan kerajaan juga wajar menjaga lisan dan tindakan mereka supaya tidak melangkaui sempadan perkauman. Kemunculan pertubuhan-pertubuhan ini yang membawa ideologi “keras” dan melagakan masyarakat juga akan menjadikan masalah kaum lebih rumit. 

Kes yang melibatkan pemimpin peringkat negeri seperti di Pulau Pinang itu wajar dijadikan iktibar kepada kita bahawa seorang pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya menggelar orang lain sebagai rasis dan sebagainya. Pemimpin harus berani manyatakan ketegasan terhadap kelompok yang mereka wakili supaya di akhirnya nanti akan wujud keadilan sosial dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment