Sunday, July 05, 2015

Mewarisi legasi pemimpin lama







Sebaik sahaja The Wall Street Journal mengeluarkan berita berkaitan sejumlah USD700 juta telah dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Malaysia, media sosial mula memberikan reaksi.

Terlalu banyak maklum balas yang diberi, antaranya berbunyi, “This could be the final nail Tun M need to seal the coffin”, “ I pray Tun M will nail this time...only Tun is capable”, “Also appear ini Wall Street Journal. Kalau sarawak report people may argue their integrity. Tapi kalau kat WSY...kes berat tu”, dan “Polis Malaysia mana ada berani...”.

Kebanyakan maklum balas ini cenderung kepada menyalahkan Perdana Menteri kerana kekejutan apabila disiarkan dalam Wall Street Journal.

Pihak yang menyokong Perdana Menteri turut bertindak mengkaji latar isu ini membuat serangan balas. Antaranya “ini flowchart buan dokumen sah...tapi sayang ada ahli Umno percaya....kalau aku yang buat flowchart ni bukan 10 bilion...tapi duit tranfers 100 bilion”.

Dalam carta alir tersebut dimasukkan juga nombor akaun peribadi Perdana Menteri di bank tempatan. Tiga syarikat yang dipamerkan ialah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd. Setiap satunya ada nombor akaun.

Perdana Menteri menyifatkan penyiaran kali sebagai sabotaj ke atas pemimpin yang dipilih secara demokratik.

Selepas pilihan raya umum lalu, politik di Malaysia dilihat bertembung dengan persaingan melemahkan lawan dalam pelbagai cara. Serangan Tun Mahathir ke atas penggantinya banyak berkisar tentang pelaburan 1MDB sebagai kaedah mudah difahami iaitu tidak telus dan penuh dengan rasuah. Beliau menyingkap satu per satu “plot cerita” untuk mengesahkan dakwaannya. Malangnya bagi masyarakat yang kurang berfikir dan cepat terpengaruh, isu-isu yang dilontarkan telah menyebabkan wujud persepsi negatif terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Apatah lagi Perdana Menteri dilihat amat perlahan dalam tindakan mempertahankan diri terhadap serangan ini. Beliau hanya berkata Tun Mahathir sebagai puncanya kerana tidak mahu mengikut kata bekas pemimpinnya demi kepentingan rakyat. Beliau tidak mahu diperintah dengan cara proksi.

Nampaknya di sini Perdana Menteri tahu punca kepada cabaran yang dihadapinya. Tetapi kita juga mahu apakah sebenarnya keinginan bekas pemimpin tersebut. Adakah Perdana Menteri mahu mendedahkannya atau menunggu sehingga kuasanya berakhir?

Kesan politik tempatan yang berlaku ketika ini memberi impak kepada nilai ringgit. Nilai satu ringgit semakin lama semakin rendah dan kita perlu membayar lebih banyak nilai ringgit untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan. Penurunan ringgit memberi kesan kepada imej negara dan juga imej kehebatan sistem kewangan negara. Orang akan bertanya bagaimana kita menguruskan ekonomi kita? Adakah kita juga akan jadi seperti Greece?

Dipetik artikel ringkas dari media sosial yang bertajuk “6 Bulan Pertama 2015 Bersama Najib dan Konco-Konconya”, artikel ini menyenaraikan 14 perkara yang berlaku sepanjang tempoh ini. Antaranya berkaitan pelaksanaan GST, pembelian jet baru dan isu hutang 1MDB. Di akhir posting itu diletakkan ayat “minta perhatian kepada semua share pos ini kepada semua yang anda kenali supaya rakyat tahu kezaliman yang telah dilakukan”.

Ayat-ayat begini sudah menjadi kebiasaan dalam peperangan siber untuk mempengaruhi orang ramai. Namun tidak semua yang dikongsikan itu dapat mempengaruhi rakan-rakan media sosial kerana ada nada tegas yang menjawab, “Jangan risau Malaysia masih aman, kena terima kesan tu semua”.

Perdana Menteri Malaysia sedang menjadi tumpuan sekarang. Kita ingin melihat bagaimana beliau menguruskan masalah yang dihadapi supaya ekonomi negara khususnya nilai ringgit tidak lagi susut dalam masa yang singkat.

Dilihat kembali apa yang sedang berlaku dengan keputusan-keputusan masa lepas, pemimpin hari ini mewarisi apa yang telah dilakukan oleh pemimpin terdahulu. Beban yang ditanggung adalah lebih berat dan jalan keluarnya juga berbelit-belit.

Pemimpin hari ini tidak boleh membaiki masalah ini seperti menutup lubang satu per satu sebaliknya melihat dari perspektif baru, membuat perubahan radikal dan paling penting ialah meletakkan keselamatan negara sebagai keutamaan. Jika pemimpin dahulu dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara, pemimpin hari ini tidak boleh berdiam diri, dia harus bertindak.
  

No comments:

Post a Comment