Saturday, July 11, 2015

Industri balik kampung







Perbelanjaan untuk balik kampung ketika musim perayaan sentiasa bertambah. Banyak aspek yang diberi perhatian seperti kos pengangkutan, makan minum, pakaian dan belanja di kampung. Justeru, membuat simpanan awal adalah lebih baik supaya setiap kos yang ada dapat ditangani.

Balik kampung sudah menjadi budaya masyarakat Islam di Malaysia. Keadaan geografi yang luas melibatkan utara, selatan, timur dan barat serta Sabah dan Sarawak menjadikan balik kampung sebagai satu pesta yang mesti disambut dengan meriah dan senang hati.

Sebuah keluarga yang bergerak dari Kuala Lumpur ke Perlis perlukan perjalanan hampir tujuh hingga lapan jam. Sepanjang perjalanan ini melibatkan kos yang agak tinggi. Sebelum berangkat, kenderaan ini perlu diselenggara supaya berada dalam keadaan baik. Perkhidmatan ini pun sudah menunjukkan kos balik kampung sudah bermula. Semasa bergerak, kos ini mula diambil kira seperti minyak kereta, makan minum dan tol.

Bagi yang balik kampung menggunakan kenderaan awam, kosnya mungkin lebih rendah.

Impak balik kampung kepada ekonomi Malaysia sangat besar.

Kedai-kedai jualan sepanjang perjalanan akan mendapat habuan besar. Stesen minyak bersesak-sesak, bayaran tambah nilai akan berganda-ganda dan gerai makan di stesen R&R juga penuh. Peniaga akan mendapat keuntungan yang lebih banyak, membuat pesanan berganda untuk barangan mereka seterusnya petani, peladang dan perternak akan mendapati poket mereka semakin menebal. Para pekerja juga bakal menikmati pendapatan yang lebih besar termasuk bonus hari raya.

Rantaian ekonomi seperti ini hanya berlaku ketika musim balik kampung hari raya aidilfitri memandangkan orang Islam masih kuat dengan nilai dan budaya silaturrahim. Jika masa bercuti yang diambil lebih panjang, rantaian ekonomi ini berlaku lebih lama memandangkan masyarakat Islam akan berbelanja lebih lama.

Setiap tahun, kita melihat keadaan ekonomi masyarakat semakin baik. Jika dua puluh atau tiga puluh tahun lalu agak sukar melihat masyarakat Islam berbondong-bondong balik kampung dengan kereta penuh bergaya, hari ini mereka bangga pulang ke kampung dengan kereta baru dan cermin mata hitam baru.

Pakaian mereka juga lebih menarik, kemas dan mengikut peredaran semasa. Anak-anak duduk melawa memikirkan pakaian raya dan berkira-kira sasaran duit raya tahun ini.

Musim balik kampung wajar diberi perhatian serius oleh agensi kerajaan dan perkhidmatan lebuh raya supaya masyarakat Islam dan bukan Islam dapat bersama-sama meraikan hari raya. Keadaan lebuh raya mesti berada dalam keadaan selamat dan selesa. Selamat bermaksud pemandu dapat membawa kenderaan sehingga sampai di hadapan pintu rumah manakala selesa bermaksud pemandu dan penumpang merasai pengalaman balik kampung yang sangat menarik dan tidak boleh dilupai.

Pada masa yang sama, agensi kerajaan wajar turun padang melaksanakan fungsi mereka dengan cara memastikan keselamatan orang ramai menjadi keutamaan. Maklumat berkaitan kesesakan, kemalangan dan tempat rehat mesti disampaikan dengan pantas. Informasi melalui media sosial lebih cepat sampai kepada pengguna berbanding saluran televisyen atau radio.

Kita berdoa, balik kampung pada tahun ini merupakan perjalanan yang selamat kerana kita tidak mahu lagi mendengar angka korban yang meningkat setiap hari. Masa yang sepatutnya diraikan bersama keluarga tidak perlulah ditukar ganti dengan air mata dan kesedihan.



No comments:

Post a Comment