Saturday, June 14, 2014

Sindrom “kita juara”








Sepanyol teruk dibelasah dalam kejohanan bola sepak dunia 2014. Turun sebagai pasukan bekas juara piala dunia, pemain pertahanan Sepanyol hilang semangat apabila diserang bertubi-tubi. Ternyata sindrom “kita juara” menyebabkan pasukan Sepanyol dibuai mimpi yang tak sudah.

Pemain hebat dalam pasukan-pasukan Liga Sepanyol dilahirkan setiap tahun. Pemain-pemain ini menyumbang kepada kualiti permainan bertaraf dunia dan mendapat gaji lumayan setiap minggu. Usia muda mereka difokuskan kepada bermain bola sepak dan mengumpul kekayaan. Selain bola sepak, ada dalam kalangan mereka ditawarkan iklan dan dibayar dengan jumlah yang besar.

Kembali ke liga bola sepak tempatan, pasukan-pasukan yang bertanding telah menunjukkan peningkatan yang lebih baik khususnya pasukan kelab. Kemunculan kelab-kelab baru yang diperkuatkan dengan pemain import dan pemain kebangsaan menolak pasukan-pasukan negeri keluar dari kancah persaingan. Ditambah dengan masalah kewangan, pemain dalam pasukan negeri sudah tidak bersemangat hendak menyepak bola.

Sindrom “kita juara” juga berlaku dalam permainan lain seperti badminton. Kegagalan memenangi kejohanan dunia menunjukkan banyak perkara yang perlu dibuat oleh saintis sukan negara. Perubahan tersebut mungkin berlaku di peringkat jurulatih yang meletihkan, kurikulum yang mengutamakan disiplin dan kerja keras serta teknologi pelatihan.

Saya ingin berkongsi perubahan yang dilakukan oleh seorang guru biologi yang berminat dengan sukan. Beliau bertugas di sekolah menengah dan diberi tugasan menjadi guru sukan. Orangnya muda dan bersemangat. Pelantikan beliau dibantah oleh guru-guru sukan yang senior yang tidak menunjukkan prestasi menggalakkan dalam membaiki ranking sukan sekolah itu. Daripada 18 buah sekolah menengah, sekolah ini hanya menduduki tempat ke-14 keseluruhan. Tujuh orang semuanya dan mereka meletak jawatan.

Guru sukan yang muda dan bersemangat memikul tanggungjawab untuk menaikkan ranking sukan sekolah. Tahun pertama beliau membaiki kedudukan keenam dan tahun kedua menjadi naib johan. Anak didiknya dipilih mewakili daerah dan negeri. Kejayaannya ini tentulah tidak digemari dan ramailah yang cemburu. Dia tidak peduli.

Kita boleh melahirkan pasukan yang hebat bertaraf dunia jika membawa masuk jurulatih yang muda dan ingin menjadikan kecemerlangan dan kehebatan sebagai sandaran. Inilah yang kurang dalam perancangan kemajuan Negara.





 

No comments:

Post a Comment