Wednesday, June 04, 2014

Masalah sosial tanggungjawab bersama








Kes-kes jenayah yang berlaku di Kelantan akhir-akhir ini mengundang banyak pertanyaan di fikiran orang ramai sehingga boleh merosakkan reputasi gelaran "Serambi Mekah". Bermula dengan rogol beramai-ramai hingga ketua balai polis dihadapkan ke mahkamah kerana merogol remaja bawah umur, kes jenayah seperti ini akan terus berlaku di sebalik usaha-usaha berterusan dari kerajaan negeri, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mengatasi masalah sosial dalam masyarakat.

Berkaitan jenayah rogol juga, klip video seorang wanita merotan suspek rogol tersebar luas di media sosial yang dikatakan berlaku di Kelantan.

Statistik polis Kelantan menunjukkan sebanyak 91 kes jenayah rogol telah dilaporkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah ini, tiga kes belum dapat diselesaikan.

Kes-kes jenayah yang berlaku dalam masyarakat boleh dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial yang berpunca daripada beberapa sebab. Antaranya ialah dadah, kepincangan keluarga dan pengaruh internet. Oleh kerana masalah sosial ini sangat akrab dengan masyarakat, dijangka terdapat kepincangan dalam perkhidmatan kemanusiaan yang sepatutnya bertindak sebagai ejen kepada perubahan sosial dalam masyarakat.

Katakan kita jadikan kes rogol ini sebagai kajian. Media melaporkan terdapat elemen pengaruh dadah dalam kejadian rogol beramai-ramai di Ketereh, tempat kejadian pula di kawasan kampung. Secara tidak langsung dapat kita simpulkan bahawa dadah dan sikap tidak peduli menjadi punca kepada kejadian ini.

Dadah yang pelbagai bentuk dan mudah diperolehi menjadi pemangkin kepada pembiakan masalah sosial yang lain. Bisnes dadah yang menguntungkan dan permintaan yang banyak menjadikan pengedar berusaha mencari pasaran yang lebih sukar dikesan iaitu kawasan luar bandar, majoriti Melayu dan Islam serta kelompok masyarakat yang kurang pendapatan.

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) diberi peruntukan yang lebih banyak setiap tahun untuk membuat promosi dan kempen anti dadah namun penagih dadah tidak pernah berkurangan. Tidak memadai hanya melantik perunding melakukan ceramah tiga hari di sekolah dan institusi pengajian tinggi kerana dadah bergerak ke dalam masyarakat dalam pelbagai rupa dan cara.

Pendekatan terhadap kempen anti dadah wajar dilihat kembali dalam bentuk yang lebih dekat dengan masyarakat kerana kejayaan kempen melawan dadah amat berkait dengan peranan masyarakat, ketua kampung atau pengerusi taman perumahan. Melibatkan ibu bapa dalam membina kesedaran bahaya dadah adalah lebih baik kerana ibu dan bapa yang menjaga anak-anak, bukannya pegawai polis atau guru sekolah. Ahli politik atau wakil rakyat jauh sekali kerana banyak perkara lain yang hendak difikirkan demi pembangunan kawasan.

AADK wajar memberi keutamaan kepada pendidikan kesedaran ibu bapa supaya peruntukan yang diberi dapat disalurkan kepada program jangka panjang dan dekat pada hati ibu bapa. Bayangkan jika semua ibu bapa dapat menjaga anak-anak mereka, sebahagian besar daripada remaja yang berjinak-jinak dengan dadah akan dapat diselamatkan.

Dalam kes ketua balai polis merogol, ia menepati peribahasa "harapkan pagar, pagar makan padi", ternyata ketua balai berkenaan mengambil kesempatan di atas kuasa yang diberikan kepadanya. Akhlak sebagai pegawai polis sudah tercemar dan wajarlah dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Pembaikan atau islah sosial dalam masyarakat Malaysia harus bermula dengan mengenal pasti keadaan atau realiti masyarakat. Keadaan yang perlu diberi perhatian ialah kedudukan ekonomi, tahap pendidikan dan sosioekonomi penduduk supaya strategi yang tepat dapat dilaksanakan oleh agensi kerajaan yang dikhususkan dalam masalah sosial. 

Selepas itu, proses pelaksanaan program jangka pendek, sederhana dan panjang boleh disegerakan mengikut keperluan penduduk dan peringkat umur melalui institusi sekolah, pembangunan komuniti dan kejiranan. Di sinilah cabaran besar yang bakal dihadapi oleh agensi pelaksana kerana sudah tentu ada dalam masyarakat yang enggan memberi kerjasama. Dalam kes-kes tertentu terdapat sabotaj dari agensi pelaksana sendiri seperti membocorkan maklumat serbuan dan operasi. Dalam masyarakat pula, pengaruh seorang dua ahli yang dominan dapat mengajak orang ramai yang tidak mempunyai maklumat tentang perubahan yang hendak dibawa oleh agensi perubahan ini.

Masalah sosial yang sedang dihadapi oleh Kelantan dan negeri-negeri lain mesti segera diatasi. Gandingan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat dapat membetulkan kembali kepincangan yang sedang berlaku di hadapan kita. Gerakan amal ma'ruf nahi mungkar mesti digalas bersama-sama supaya masyarakat sedar bahawa masalah sosial adalah tanggungjawab semua pihak.

No comments:

Post a Comment