Wednesday, June 25, 2014

Kesan sosioekonomi homestay Kampung Pak Ali terhadap kawasan setempat








1.0 Pengenalan

Pelancongan desa (Homestay) merupakan suatu produk pelancongan yang kian berkembang dan maju di Malaysia khususnya di negeri Melaka. Peningkatan taraf hidup dari segi ekonomi, politik dan sosial dalam kalangan masyarakat kampung dilihat berkembang, sekiranya wujudnya industri pelancongan desa. Ia juga sekali gus menyumbang kepada pendapatan ekonomi Malaysia. Inilah yang diklasifikasikan sebagai 'kesan pengganda', kerana ia memberikan kesan ke atas semua pihak.

Homestay bermaksud tinggal di sesebuah rumah sebagaimana adanya. Sesetengah orang memanggilnya “bed and breakfast”. Dalam erti kata lain, menggunakan ruang tambahan kediaman sendiri yang sedia ada untuk disewakan kepada pelancong.

Program homestay diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia pada tahun 1988 sebagai satu usaha mempelbagaikan produk pelancongan melalui penawaran penginapan alternatif kepada pelancong. Program ini telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 1995 di Desa Murni, Kerdau, Temerloh, Pahang oleh Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan. Ia adalah satu program di bawah Pelan Induk Pelancongan Luar Bandar yang bermatlamat untuk menggalakkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam sektor pelancongan.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah memberi pendedahan kepada pelajar terhadap kesan-kesan aktiviti perniagaan kepada pembangunan sosioekonomi setempat, memberi pemahaman kepada pelajar tentang homestay dan memperkenalkan kebudayaan Melayu kepada masyarakat luar.


2.0 Latar Belakang Projek Pembangunan

Pihak Perbadanan Hang Tuah Jaya telah mengklasifikasikan Kampung Pak Ali (The Malay Village and Farmstay) di bawah kategori homestay. Menurut penerangan Pak Ali berkaitan latar belakang bisnes beliau, chalet yang dibina di Kampung Pak Ali berbentuk rumah Melayu Melaka yang telah diubah. Reka bentuk chalet adalah mengkut keperluan seperti berikut, pasangan keluarga, keluarga yang mempunyai anak dan keluarga ramai.

Terdapat juga bilik asrama atau ‘dormitory’ yang menjadi tumpuan para pelajar dan pensyarah-pensyarah institusi pengajian tinggi. Asrama di sini sangat selesa diduduki oleh pelajar dan pensyarah yang menganjurkan dan menghadiri seminar, taklimat mahupun kursus. Di samping itu, sebagai tarikan tempat ini, Pak Ali juga mewujudkan konsep chalet di dalam taman. Menurut Pak Ali, reka bentuk lanskap yang diguna pakai oleh beliau ialah ‘Baroque Garden’. Homestay Pak Ali terletak di KPA Agro Bazaar Cafe & Restaurant, “KAMPUNG” (THE MALAY VILLAGE), Lebuh AMJ KM12, Simpang Umbai / Tiang Dua Paya Dalam, Melaka.

2.1 Sejarah Penubuhan

Encik Mohd Ali Bin Yahya atau lebih senang dengan nama panggilan Pak Ali merupakan bekas pensyarah salah satu institusi pengajian tinggi awam di Malaysia. Selepas bersara, beliau telah membuat keputusan menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Sepanjang beliau berkhidmat dengan institusi pendidikan, beliau dapat membeli beberapa aset termasuk sebidang tanah seluas lapan ekar. Pak Ali membeli tanah tersebut pada zaman 80-an dengan harga yang murah pada masa itu. Selain daripada sebahagian tanah yang dijadikan kebun dan ladang ternakan, Pak Ali memilik tanah terbiar seluas empat hektar. Tanah terbiar ini dibangunkankan oleh Pak Ali iaitu seluas untuk ekar untuk pembangunan projek homestay ini.

Hasil tanaman yang berlebihan pula menyebabkan Pak Ali membuka sebuah restoran dan juga menjual baja serta hasil tanaman seperti rosel dan sayur-sayuran. Selain hasil kebun, hasil ternakan juga dapat digunakan sebagai bahan sumber untuk masakan di restoran beliau. Pak Ali seterusnya berfikir semasa itu bagaimana hendak memperkembangkan lagi bisnes beliau. Akhirnya, beliau membuat keputusan untuk memajukan tanah kosong yang ada berdekatan dengan ladang ternakan dan kebunnya menjadi homestay bermula dengan beberapa buah chalet dan ditambah secara berperingkat-peringkat dengan beberapa buah bilik asrama. Inilah yang dikatakan oleh Pak Ali sebagai sinergi bisnes dalam usaha memperkembangkan bisnes beliau. Projek homestay ini mula beroperasi pada Oktober 2009.

Kemudahan yang disediakan termasuk ruang makan (KPA Agro Bazaar Cafe & Restaurant), anjung minuman petang, ruang rehat, set sofa, televisyen, pendingin hawa, almari, katil besar king size, tuala mandi, sejadah, bantal, bilik mandi dan tilam lantai

Tarikan yang ada di sekitar homestay adalah kolam ikan, KPA Agro Bazaar Cafe & Restaurant, ladang sepuluh ekar, kandang kambing, reban ayam.

Hasil temu ramah bersama Pak Ali, projek homestay adalah seperti berikut:

· Beliau merupakan seorang bekas pensyarah dalam bidang perancang bandar dan pernah bertugas sebagai perancang bandar, setelah bersara beliau memilih menceburkan diri dalam bidang yang diminatinya sejak kecil dahulu iaitu bidang keusahawanan untuk mengisi masa lapang.

· Beliau mempunyai wang simpanan yang banyak dan mencukupi. Hal ini menyebabkan beliau ingin menggunakan simpanannya untuk melabur dalam bidang perniagaan pula. Dengan cara tersebut, beliau dapat melipat gandakan simpanan beliau dalam jangka masa panjang.

· Beliau juga merupakan seorang yang berpandangan jauh dan sentiasa berfikiran positif. Hal ini kerana, modal yang dilaburkan untuk perusahaan ini boleh dijadikannya sebagai satu aset yang amat berguna kepada pewarisnya iaitu anak-anak cucunya dan generasinya pada masa yang akan datang.

· Sebagai anak tempatan Melaka, beliau ingin menjadikan Melaka sebagai sebuah tempat pelancongan yang terkenal di dalam dan luar negara. Secara tidak langsung, ini akan dapat memperkenalkan nama kampung beliau kepada orang ramai dari dalam dan luar negara. Ekoran dari itu, ekonomi kampungnya akan meningkat disebabkan oleh pertambahan pengunjung dan ini amat menguntungkan orang kampungnya sendiri.

· Beliau juga ingin memperkenalkan adat-adat tradisonal orang melayu kepada pengunjung dalam dan luar negara dan memgekalkan adat-adat warisan ini daripada terhakis dek ditelan pengaruh barat. Seperti bidalan melayu,”biar mati anak, jangan mati adat”.

· Beliau ingin memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampungnya khususnya kepada golongan belia untuk mengelakkan daripada terjebak daripada gejala sosial di samping mempunyai sumber pendapatan yang halal.

2.2 Aktiviti Perniagaan

Pak Ali telah cuba memperkenal dan menerapkan adat-adat dan budaya masyarakat melayu kepada pelancong luar negara. Hal ini dapat dilihat di setiap rumah tumpangan yang dibina di homestay Pak Ali ini berkonsepkan rumah tradisional melayu Melaka. Setiap rumah tumpangan dibina menggunakan kayu jati yang dianggap unik dan menarik kerana kebanyakan rumah tumpangan di Melaka dan tempat lain diperbuat daripada batu bata. Selain itu, beliau akan mengajar pengunjung asing dengan adat-adat dan nilai murni orang melayu seperti cara makan, bersalam-salaman, cara duduk, berlimau dan lain-lain. Oleh itu, pelancong luar dapat mengenali dan akan menyedari adat-adat melayu penuh dengan nilai-nilai murni yang baik dan tinggi nilainya. Setiap rumah tumpangannya juga mempunyai nama Melayu yang diambil sempena nama setiap anak-anak cucunya. Beliau berkata apabila beliau meninggal dunia nanti, beliau akan mewariskan setiap rumah tumpangannya kepada anak-anak cucunya agar mereka dapat menginap di sana jika ingin balik ke kampung dan dapat berkumpul bersama-sama semasa musim perayaan, cuti am dan lain-lain.  

Beliau memperkenalkan pelbagai jenis makanan melayu seperti sup kambing, ayam, lembu, masakan panas, minuman rosel dan lain-lain. Restoran Agro Bazaar ini hanya bersebelahan dengan kawasan rumah tumpangannya. Oleh itu, pengunjung tidak perlu penat berjalan kaki untuk menikmati pelbagai jenis hidangan ini. Hidangan yang disediakan di restorannya juga berkhasiat, sedap dan enak yang dimasak oleh isteri beliau yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang masakan.

Beliau menyediakan kawasan tempat rekreasi yang mengandungi pelbagai jenis permainan tradisional khusus untuk pengunjung dalam dan luar negara. Antara permainan tradisional yang terdapat di laman rekreasinya ialah seperti teng-teng, batu seremban, congkak, sepak takraw dan lain-lain. Beliau memperkenalkan permainan warisan melayu ini agar permainan turun temurun nenek moyang kita tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Selain itu, beliau ingin menarik minat dan memperkenalkan permainan warisan ini kepada pelancong asing agar pelancong asing dapat mencuba dan merasai permainan turun-temurun ini, secara tidak langsung pelancong yang balik ke negara asalnya nanti akan memperkenalkan permainan melayu ini kepada rakan-rakannya. Oleh itu permainan warisan ini akan terkenal dan siapa sangka mungkin permainan warisan ini jika diperluaskan akan dapat dipertandingkan sehingga ke peringkat tertinggi iaitu Sukan Olimpik pada satu hari nanti.

Beliau juga memperkenalkan kebun yang ditumbuhi pelbagai jenis tanaman termasuk pokok buah-buahan dan pokok bunga. Pengunjung dapat mengenali dengan lebih jelas, pokok bunga ini daripada yang tidak pernah didengari sehingga yang pernah didengari. Selain itu, pengunjung juga boleh untuk membeli pokok-pokok bunga ini di kebunnya sendiri dengan harga yang murah dan berpatutan.

Pengunjung dapat menikmati keindahan dan menghirup udara segar kampung di kawasan rumah tumpangan beliau. Beliau juga telah membina pondok rehat dan setiap rumah tumpangannya mempunyai anjung yang membolehkan pengunjung menikmati udara nyaman di kampung tanpa memikirkan kesibukan dan tekanan di kota. Secara tidak langsung nama kampung ini akan terpahat di hati sanubari pengunjung dan nama kampung ini akan menjadi buah mulut orang lain, seterusnya menjadi terkenal pada satu hari nanti.

2.3 Kaedah Pelaksanaan dan Operasi

Rumah tumpangan diselenggara sendiri oleh beliau.Setelah rumah tumpangannya selesai digunakan oleh pengunjung, beliau sendiri yang akan mengemas dan membersihkan rumah tumpangan tersebut tanpa mengupah orang lain untuk menguruskannya. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos dan menyihatkan tubuh badan beliau. Namun beliau juga turut menawarkan peluang kerja terutama sekali orang-orang kampung bagi membantu menyelenggara homestay ini. Restoran dikendalikan oleh isteri beliau yang mempunyai kemahiran memasak dibantu oleh pekerja-pekerja di kalangan orang kampung itu sendiri.Bahan-bahan untuk dimasak seperti daging lembu, daging kambing, daging ayam, sayur-sayuran dan minuman rosel dibekalkan sendiri oleh beliau iaitu daripada ternakan haiwannya serta hasil perusahaan kebun dan roselnya. Oleh itu beliau akan memperolehi bahan-bahan ini dengan harga yang lebih murah daripada harga sebenar dipasaran.Dalam hal ini, beliau memperolehi keuntungan yang berlipat kali ganda.

Ternakan perliharaan beliau seperti ayam, kambing, dan lembu dikendalikan sendiri oleh beliau sambil dibantu oleh tiga orang pekerjanya. Setiap spesis haiwan ternakannya dijaga dengan rapi oleh seorang pekerjannya yang mempunyai pengalaman yang luas dalam setiap bidang perternakan haiwan tersebut agar setiap ternakannya membiak dengan baik, sihat dan cepat. Kebun beliau dikelolakan oleh beliau dibantu oleh dua orang pekerjanya. Seorang pekerjanya ditugaskan untuk menjaga dan menyiram tanaman pada setiap hari manakala seorang lagi ditugaskan menanam dan menjaga tanaman terutama sekali dari segi kawalan serangan serangga perosak. Cara Pak Ali mempromosi projek homestay beliau ialah melalui halaman facebook homestay ini sendiri dengan bantuan blog yang disediakan oleh pihak Perbadanan Hang Tuah Jaya, Melaka.


3.0 Kekuatan Homestay Kampung Pak Ali

Dari segi kewangan, Pak Ali menggunakan wang simpanannya sendiri dalam mewujudkan dan membangunkan homestay Kampung Pak Ali. Pak Ali tidak memohon pinjaman bank dalam menjalankan perniagaannya itu. Hal ini mengurangkan risiko bisnesnya daripada terlibat dalam masalah hutang bank yang disebabkan faedah yang tinggi dan akhirnya membawa kepada muflis. Modal kewangan untuk membangunkan perniagaan ini hasil daripada pekerjaan beliau sebagai bekas perancang bandar dan pensyarah. Selain itu, beliau tidak mengharapkan sebarang bantuan kewangan daripada agensi kerajaan sebaliknya menggunakan ikhtiarnya sendiri untuk membangunkan dan mengembangkan perniagaaannya.

Dari segi sumber makanan untuk perniagaan di restoran, Pak Ali memiliki kebun seluas empat hektar yang ditumbuhi buah-buahan seperti limau, rosel dan lain-lain. Pak Ali juga mempunyai kandang haiwan di mana haiwan ternakannya termasuk kambing, lembu dan ayam kampung. Hasil ini disalurkan kepada restorannya dan ini mengurangkan kos perbelanjaan. Pak Ali merupakan penternak dan pekebun di mana beliau menggunakan hasil-hasil tersebut seperti daging lembu, ayam kampung, kambing dan lain-lain dijadikan sebagai bahan untuk menu-menu hidangan di restorannya.

Restoran Pak Ali menyediakan makanan yang istimewa buat pelancong dan pengunjung yang singgah atau menginap di situ. Antara makanan yang unik disajikan ialah minuman jus istimewa rosel yang lazat lagi berkhasiat untuk pengunjung. Minuman istimewa ini jarang terdapat di negara-negara lain, justru itu pelancong tertarik untuk mencubanya. Minuman ini juga jarang dijual di restoran tempatan. Selain itu terdapat sup kambing, daging lembu panggang, masakan panas, ikan bakar dan lain-lain yang menjadi tarikan utama pengunjung. Selain itu, homestay ini terdapat kebun yang ditanam pelbagai jenis buah-buahan, bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan yang membolehkan pelancong membeli buah-buhan, bunga-bungaan dan tumbuhan-tumbuhan yang dipanggil KPA Agro Bazaar. Di samping itu, homestay ini juga berdekatan dengan restoran-restoran masakan panas dan makanan laut seperti ikan bakar Umbai. Suasana kampung yang tenang dan aman menarik minat pelancong tempatan yang datang dari bandar untuk menghirup suasana udara segar di kampung. Pelancong asing juga boleh memahami dan merasai pengalaman dan suasana kehidupan di kampung melayu. Pelancong yang mengunjungi homestay Pak Ali juga dapat melihat kolam ikan, kandang ternakan kambing dan ayam yang diternak sendiri oleh Pak Ali.

4.0 Kelemahan Homestay Kampung Pak Ali

Dari segi lokasi perniagaan, lokasi Kampung Pak Ali berada di kawasan Tiang Dua, daerah Jasin, di mana kawasan tersebut tidak strategik kerana kawasan tersebut merupakan kawasan luar bandar dan juga laluan lebuhraya AMJ juga begitu sunyi dan lengang dari laluan orang ramai. Walaupun papan tanda jelas terpapar di pintu masuk utama iaitu di tepi jalan tetapi pelancong luar jarang melalui jalan tersebut. Selain itu, kebiasaannya pelancong tempatan dan luar hanya ramai mengunjung dan menginap pada hari hujung minggu dan cuti umum berbanding hari-hari biasa. Ini menyebabkan kebiasaannya homestay tersebut menjadi kosong dan hasil perniagaan Pak Ali kurang memuaskan berbanding hari-hari cuti.

Dari segi pulangan modal, jangka masa ROI (Return Over Investment) perniagaan Pak Ali mencecah 15 tahun. Dalam konteks ini, walaupun tempoh yang lama diperlukan beliau tidak berdepan dengan risiko untuk muflis kerana beliau tidak membuat pinjaman bank dalam urusan kewangan.

Dari segi perkhidmatan awam, pengangkutan awam seperti bas dan teksi di kampung tersebut kurang memuaskan. Hal ini menyebabkan pelancong tempatan dan pelancong asing sukar mengunjungi bandar dan melawat kawasan-kawasan menarik dan bersejarah di negeri Melaka jika mereka menginap di homestay Pak Ali.


5.0 Impak Ekonomi

Memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Peluang pekerjaan kepada penduduk kampung khususnya kepada golongan belia dapat mengelakkan mereka daripada terjebak daripada gejala sosial serta mencari pendapatan yang halal. Ia juga meningkatkan pendapatan penduduk Umbai. Di samping itu menambahkan kemudahan infrastruktur kawasan kampung tersebut, memberi pendedahan tentang kebudayaan-kebudayaan di Malaysia kepada pelancong dalam dan luar negara, memperkenalkan hasil bumi kampung tersebut. Homestay Pak Ali juga dapat menarik pelancong-pelancong untuk datang dan mengenali Malaysia dengan lebih dekat seterusnya menjana hasil pendapatan negara.

Program homestay terutama membabitkan bukan sahaja rakyat tempatan mahupun pelancong seperti kumpulan pelajar dari luar negara ke homestay Pak Ali kerana telah berjaya menjana pendapatan tambahan bagi keluarga Pak Ali dan juga penduduk kampung sekitar. Lebih banyak peluang pekerjaan telah diwujudkan seperti pekerja restoran, chalet, ladang, kebun. Projek homestay seperti ini mampu menaik taraf kehidupan penduduk kampung sekali gus mampu memajukan sektor pelancongan negara. Homestay merupakan aktiviti atau projek pelancongan yang dapat menghasilkan pendapatan kepada penduduk kampung apabila pelbagai kerja dapat ditawarkan selain penyelenggaraan homestay yang memerlukan bekalan kemudahan dan prasarana. Ini akan mewujudkan peluang-peluang perniagaan di kalangan kontraktor-kontraktor kecil dan pembekal-pembekal.

Projek ini secara tidak langsung memberi pendedahan kepada pemimpin masyarakat, individu dan warga desa tentang pendapatan sampingan yang boleh diperoleh daripada aktiviti homestay di tempat mereka.


6.0 Kesimpulan

Projek homestay adalah satu konsep penginapan yang unik dan sangat sesuai bagi mereka yang ingin merasai pengalaman menjalani cara hidup masyarakat pelbagai bangsa di Malaysia. Namun, kampung-kampung yang terlibat di dalam projek ini perlu komited dalam memberikan gambaran sebenar cara hidup masyarakat di Malaysia. Di samping itu. projek ini memastikan setiap pengujung yang memilih penginapan homestay memperoleh pengalaman yang menggembirakan selain dapat meningkatkan pemahaman mengenai pelbagai budaya rakyat di Malaysia. Namun, usaha dan komitmen dari semua pihak bermula dari pengusaha homestay sendiri sehingga ke pihak kerajaan tempatan seterusnya kerajaan persekutuan adalah perlu bagi mendapatkan manafaat yang optimum ke arah memacu pembangunan sosioekonomi negara kita.



MZ Zainudin, Muhammed Fauzi Sazali, Mohd Faizul Mohammad Fadzillah, Mohamad Nazim Mohd Nasir, Abdul Hakim Mohamad Yasim, Adi Sazanizam Saklan, Muhammad Adib Azmi


 

No comments:

Post a Comment