1.0 Pengenalan
Kerajaan dan rakyat Malaysia mengidamkan perpaduan. Hal ini berasaskan anggapan bahawa perpaduan masih belum wujud sepenuhnya di negara ini. Kefahaman kita mengenai perpaduan bukan berasaskan realiti tetapi harapan malah impian. Namun, masyarakat Malaysia terus wujud tanpa konflik besar dan berterusan seperti di Sri Lanka, Yugoslavia atau Thailand sekarang. Malaysia dan rakyatnya terus wujud dalam suasana aman, tenteram dan sejahtera, meraih nikmat sebuah negara yang diklasifikasi Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) sebagai negara berpendapatan menengah. Memang benar, sekali- sekala terjadi konflik terbuka seperti peristiwa 13 Mei 1969 dan Kampung Medan tetapi konflik terbuka bukan ciri masyarakat Malaysia. Ia tidak dominan dan tidak mencorakkan kehidupan kita di Malaysia. Yang dominan adalah suasana aman dan tenteram.
Namun, apa yang lebih kerap berlaku adalah konflik bersifat lisan atau bertikam lidah sesama kita. Ada ketika secara terbuka dan kebanyakan pada peringkat individu atau kelompok seperti sambil minum teh tarik di kedai mamak, pada majlis kenduri kendara, malah dalam internet dan blog. Kandungan bertikam lidah ini berasaskan isu tertentu (issue-based), seperti soal pendapatan yang tidak cukup, harga barang mahal, peluang pendidikan serta pekerjaan terhad dan sebagainya. Bertikam lidah adalah bentuk menyuarakan rasa tidak puas hati etnik. Namun apabila kita halusi kebanyakan isu itu didapati setiap etnik menyuarakan tidak puas hati mengenai perkara yang sama tetapi kerap bersalut kepentingan etnik. Maka bunyinya etnik, sebenarnya isu berkenaan bersifat isu sosial yang lebih umum.
Kebanyakan isu itu seperti seperti tidak puas hati mengenai sistem pendidikan, agihan peluang ekonomi dan pekerjaan, bukan hanya mengesankan sesuatu kaum malah mempunyai kesan yang mendalam dan luas terhadap semua lapisan masyarakat. Yang lebih menarik, penyuaraan isu itu berlaku dalam keadaan aman dan tenteram lagi sejahtera di Malaysia. Bukan di jalanan yang membabitkan tindakan membaling batu atau pihak berkuasa menyembur gas pemedih mata seperti di negara lain. Ia berlaku cukup demokratis bentuk dan suasana yang mengizinkan bertikam lidah mengenai isu ini berlaku. Namun kadang-kadang ada yang menyuarakannya dengan nada yang agak keras. Kalau ini semua berlaku dalam keadaan aman, tenteram dan sejahtera, bagaimanakah kita hendak menyifatkan keadaan ini? Hendak dikatakan kita berpadu, kita masih idam-idamkan perpaduan. Kalau tidak perpaduan apakah pula kita hendak kategorikan keadaan aman, tenteram dan sejahtera ini?
1.1 Objektif Kajian
Antara objektif dalam kajian ini adalah mengetahui strategi dan teknik kedai mamak dalam menarik pelanggan pelbagai kaum dan mengetahui peranan kedai mamak dalam menyatukan rakyat Malaysia.
2.0 Sorotan Kajian
Tidak banyak kajian yang mengupas tentang isu “Kedai mamak satukan rakyat Malaysia.” Kajian ini dijalankan di beberapa tempat oleh beberapa pihak yang berbeza.
Antaranya ialah Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata konsep 1Malaysia adalah satu konsep yang sangat penting kerana Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum dan etnik. “Sikap penerimaan iaitu menerima bahawa kita berbilang kaum, menerima keunikan kaum-kaum lain, saling menghormati antara satu sama lain dan bukan hanya sekadar bertoleransi adalah matlamat kita untuk menuju status negara maju mengikut acuan kita sendiri,” katanya dalam Bicara Eksekutif ‘Intipati Gagasan 1Malaysia Dalam Mencorak Budaya Bangsa’ yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah. Zainal Abidin berkata gagasan 1Malaysia dan perpaduan kaum dapat dilihat dengan jelas di kedai-kedai mamak di mana rakyat Malaysia yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India boleh duduk bersama menikmati makanan dan jika keadaan itu boleh diterapkan di tempat-tempat lain, maka tidak mustahil apa yang disasarkan selama ini akan tercapai.
Selain itu, Pensyarah Antropologi Sosial di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Sarjit S. Gill, berkata, kewujudan restoran mamak 24 jam ini berjaya mengumpul masyarakat majmuk di negara ini. Ia menggambarkan kehadiran restoran mamak 24 jam ini sebagai salah satu faktor yang menggalakkan pembentukan budaya masyarakat baru yang mengalami evolusinya yang tersendiri.
Kenapa restoran India muslim atau dikenali sebagai Mamak di negara kita cukup popular terutama sekali apabila bercerita mengenai masakan?
Beroperasi 24 jam. Kebanyakan restoran mamak memilih untuk beroperasi 24 jam sehari. Justeru memudahkan pengunjung untuk mengisi perut yang lapar pada bila-bila masa. Pada siang hari, restoran mamak akan dipenuhi oleh para pelanggan bersama keluarga mereka dan kebiasaannya senario ini akan berubah bila menjelang malam. Restoran mamak ini tadi akan mula dipenuhi oleh remaja-remaja yang meluangkan masa bersama rakan-rakan mereka sambil menonton siaran langsung perlawanan bola sepak. Sudah tentu, dengan membuka restoran dan beroperasi selama 24 jam sehari, pengusaha restoran berupaya untuk mendapat pendapatan yang lumayan. Hal ini terbukti apabila industri restoran mamak di negara ini telah dapat memberi sumbangan yang besar dengan menjana ekonomi negara sebanyak kira-kira RM8 bilion setahun.
Trend budaya masyarakat baru. Kewujudan restoran atau kedai makan yang beroperasi selama 24 jam sehari bukan sekadar menyediakan kemudahan pengunjung untuk mengisi perut yang lapar, tetapi fungsinya kini lebih daripada itu apabila turut dijadikan tempat bertemu, menonton perlawanan bola sepak, melepak dan mengadakan perbincangan dengan kenalan.
Kini, impaknya lebih drastik apabila turut disediakan perkhidmatan wifi yang membolehkan mereka berhubung atas talian secara percuma walaupun hanya sekadar minum segelas teh tarik. Suasana di restoran ini ‘hidup’ sepanjang hari tanpa mengira siang mahupun malam.
Selera pengguna. Dulu, masakan dan gerai-gerai mamak lebih popular di Pulau Pinang sahaja di mana cukup terkenal dengan nasi kandar. Namun kini, pengusaha restoran mamak lebih cekap memahami selera dan citarasa pengguna serta mengikuti trend dan pasaran semasa. Daripada nasi kandar, makanan berlauk dan bergoreng, makanan ringan, hidangan Asia serta Barat sehingga ke pastri dan kek, semunya tersedia di sini mengikut selera pelbagai golongan pelanggan yang terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah sehingga melibatkan orang kenamaan yang melibatkan masyarakat berbilang bangsa.
Faktor makanannya yang murah dan pelbagai. Jika dibandingkan dengan restoran atau warung biasa, kos untuk sarapan pagi contohnya hidangan roti canai dan teh tarik tidak sampai RM3 seorang. Begitu juga nasi lemak bungkus yang terdapat atas meja di restoran mamak, masih lagi mengekalkan harga RM1 ke RM1.20 sebungkus. Bagi mereka yang masih menuntut, tentulah restoran mamak menjadi pilihan untuk mereka makan sambil berborak dengan teman-teman. Kerapkali juga restoran mamak menjadi tumpuan kaki bola pada musim kejohanan bola sehingga ada pengusaha yang menganggapnya sebagai musim pelanggan. Restoran mamak juga menghidangkan pelbagai jenis hidangan India Muslim seperti roti canai, roti telur, martabak, thosai, capati, nasi kandar, nasi biryani, Maggi goreng, rojak mamak, teh tarik dan pelbagai jenis jus buah-buahan. Kini, dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelanggan, terdapat juga restoran Mamak yang turut menyediakan gerai-gerai tambahan di restoran mereka. Gerai-gerai masakan Thai, sate dan juga kerang bakar dibuka agar pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan makanan yang enak dan sedap.
Lokasi. Dalam mana-mana perniagaan di dunia ini, lokasi memainkan peranan penting. Jika diamati, kebanyakan pengusaha restoran mamak memilih untuk membuka premis mereka di lot tepi bangunan. Walaupun terpaksa mengeluarkan lebih belanja untuk membeli atau menyewa premis kedai yang sedemikian, namun pelaburan itu dianggap berbaloi. Antara faedah premis seperti ini adalah untuk memudahkan pelanggan mencari restoran mereka, mendapat lebih ruang meletakkan kerusi meja di luar premis dan menyenangkan pelanggan meletakkan kenderaan masing-masing. Pengusaha kedai mamak juga sangat yakin dengan pelaburan yang dibuat. Adalah satu senario yang biasa jika restoran mamak merupakan restoran yang pertama dibuka di deretan rumah kedai yang baru. Tidak takut untuk menghadapi persaingan, ini terbukti apabila di sesetengah tempat boleh ada lebih daripada sebuah kedai mamak di satu deretan kedai yang sama.
Layanan terhadap pelanggan. Selain itu, pemilik restoran mamak sangat menitik beratkan layanan terhadap pelanggan mereka. Jumlah pelayan restoran pada satu-satu masa adalah sangat ramai. Masuk sahaja ke dalam restoran, sudah ada pelayan restoran yang akan mengekori kita sehingga ke meja makan semata-mata untuk mendapatkan pesanan makanan. Makanan yang dipesan juga dihantar dengan segera. Pelayan juga amat menghormati pelanggan yang datang ke restoran. Jarang dapat dilihat pelayan yang duduk-duduk di kerusi pelanggan ataupun mengangkat pinggan makanan sebelum pelanggan membayar wang makanan mereka. Apabila pelanggan puas hati dengan layanan yang diberikan, sudah pasti mereka akan kembali semula ke restoran tersebut. Bolehlah diumpamakan restoran mamak ini cuba untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dengan kadar bayaran perkhidmatan yang rendah dan berpatutan
Amalan-amalan murni. Selain itu, pengusaha restoran mamak ini juga cuba menerapkan amalan-amalan murni untuk memastikan perniagaan mereka sentiasa diberkati Allah. Contohnya, restoran mamak banyak memaparkan ayat-ayat suci Al-Quran dan ada juga yang memperdengarkan bacaan Al-Quran di restoran mereka. Sering kali pada setiap hari Jumaat, pengusaha restoran juga tidak melupakan amalan bersedekah walaupun sekadar sebiji pisang untuk setiap pelanggan.
Pengusaha restoran mamak juga sering kali diuji. Daripada isu bahan yang digunakan dalam masakan sehinggalah kepada isu kebersihan restoran. Rempah kas kas yang digunakan dalam hidangan masakan restoran Mamak pernah dijadikan isu. Ada suara yang mengatakan rempah kas kas ini boleh menyebabkan ketagihan pengunjung restoran terhadap masakan mamak. Kebimbangan mula timbul apabila mengetahui kas-kas ini berasal daripada pokok popi, yang dapat menghasilkan sejenis dadah yang dipanggil opium atau nama glamornya candu. Pengusaha-pengusaha restoran mamak pula merasakan diri mereka disabotaj dan menganggap isu ini telah memberikan kesan yang buruk terhadap imej restoran mamak. Pihak PRESMA pula teguh berdiri di belakang pengusaha restoran mamak. PRESMA menyatakan kesediaan untuk mengarahkan semua restoran mamak untuk menghentikan penggunaan kas-kas jika benar-benar ada bukti termasuk bukti saintifik bahawa bahan itu boleh membawa kepada ketagihan. Namun, isu ini masih samar-samar dan tiada bukti kukuh yang dikeluarkan sehingga ke hari ini.
Dari segi isu kebersihan pula, kita pun sedia maklum yang kebanyakan restoran mamak ini beroperasi 24 jam sehari. Oleh itu, kemungkinan agak sukar bagi mereka untuk mengekalkan isu kebersihan, kerana pengunjung sentiasa ada dalam restoran. Namun tanggapan operasi lebih masa penyebab faktor kebersihan merudum adalah tidak betul. Soal kebersihan sebenarnya bergantung kepada sikap pengusaha dan pekerja di restoran itu dan bukannya pada jangka masa restoran beroperasi. Ini terbukti apabila ada juga restoran mamak yang beroperasi 24 jam mempunyai tahap kebersihan yang baik sehingga diberi penilaian Gred A oleh pihak berkuasa tempatan yang sentiasa memantau soal kebersihan.
Restoran mamak juga pernah menghadapi krisis pekerja. Tahun 1994 dan 1995 merupakan tahun yang paling mencabar. Pembukaan banyak restoran mamak telah menyebabkan krisis pekerja berlaku. Pada tahun 1996, dasar kerajaan yang membenarkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber (negara jenis masakan yang dijual) menjadi penyelesaian kepada masalah kekurangan pekerja. Masakan mamak bersumberkan rempah ratus dari India, maka pengambilan pekerja dari India telah dibenarkan. Namun cabaran baru pula timbul apabila faktor bahasa menjadi masalah dalam memahami kehendak pelanggan. Ada yang terpaksa mengulang permintaan pelanggan agar apa yang didengar sama dengan apa yang difahami. Ada pula yang lain dipesan, lain pula hidangan yang sampai. Namun pelayan ini bertindak merendah diri dan segera menggantikan dengan hidangan yang betul untuk menjaga hati pelanggan itu.
Masalah obesiti dan kegemukan di Malaysia juga sering kali dikaitkan dengan faktor pemakanan. Masyarakat selalu diingatkan dengan keperluan untuk menghindari makanan-makanan berkolesterol. Acap kali makanan di restoran mamak disalahkan kerana mempunyai kandungan lemak dan gula yang tinggi. Contohnya teh tarik, roti canai, pasembor, nasi kandar, nasi biryani dan pelbagai jenis makanan berkari dan bersantan. Namun, sekiranya seseorang itu mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan melakukan senaman yang mencukupi, maka makan makanan di restoran mamak bukan lah penghalang untuk mendapat kesihatan yang baik.
Peranan utama kedai mamak di Malaysia ialah sebagai salah satu tempat untuk pelbagai kaum di Malaysia berkumpul. Kedai mamak akan dijadikan satu pusat untuk mengumpul pelbagai masyarakat berbilang kaum untuk makan, berborak dan bergaul. Dengan sebutan lain, kedai mamak telah berjaya manarik minat ramai masyarakat Malaysia dengan pelbagai taktik dan strategi. Contohnya golongan remaja di Malaysia yang menonton perlawanan bola sepak secara langsung di kedai mamak. Mereka tidak mengambil peduli soal warna kulit, agama dan perkauman dan dapat duduk bersama untuk menyokong pasukan bola sepak negara. Mereka akan bergembira meraikan kemenangan bersama-sama dengan kaum-kaum yang lain.
Perpaduan kaum dapat dilihat dengan jelas di kedai-kedai mamak di mana rakyat Malaysia yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India boleh duduk bersama menikmati makanan dan jika keadaan itu boleh diterapkan di tempat-tempat lain. Oleh itu, kesemua masyarakat berbilang kaum yang hadir ke kedai mamak ini akan berkumpul sambil makan dan dengan itu mereka dapat berkongsi pendapat, luahkan masalah-masalah dan banyak lagi. Dengan ini, masyarakat berbilang kaum di Malaysia dapat bersatupadu dan dapat membangunkan Negara Malaysia dengan lebih bertoleransi. Maka tidak mustahil apa yang disasarkan selama ini akan tercapai.
3.0 Metodologi Kajian
Sepanjang tempoh menjalankan kajian dan menyiapkan penyelidikan ini, semua maklumat berkaitan kedai mamak dikumpulkan dan dianalisis. Maklumat daripada responden diperolehi melalui borang soal selidik di mana seramai 20 orang pelajar UTeM telah dipilih untuk memberi pandangan melalui borang soal selidik yang telah disediakan. Penggunaan borang soal selidik telah digunakan bagi memudahkan tugasan responden tanpa mengganggu rutin harian mereka. Kesimpulannya, kaedah kajian ini dapat memudahkan mendapatkan data, memudahkan proses pengkajian dilakukan dengan sistematik dan teratur mengikut langkah yang telah dirancang.
Selain itu, kaedah pemerhatian dan pemantauan terhadap perpaduan antara kaum yang berlaku di kedai mamak di Malaysia juga dilakukan. Aspek-askpek ini telah dikaji supaya dapat mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang terdapat pelbagai kaum. Selain itu, kaedah temu bual dapat mengukuhkan dapatan kajian dalam kes ini.
4.0 Hasil Kajian
Hasil daripada kajian mendapati bahawa kedai mamak dapat menyatupadukan rakyat malaysia. Ini telah dibuktikan melalui kaji selidik yang telah dijalankan menggunakan pengambilan secara kuantitatif. Antara soalan dalam kaji selidik yang telah diberi ialah:
Rajah 1: Kedai mamak dapat menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa di Malaysia ini
Kedai mamak juga kini telah menjadi peranan utama dalam menyatupadukan rakyat Malaysia dengan cara menarik perhatian masyarakat pelbagai kaum untuk mengunjungi gerai mamak supaya dapat berkumpul bersama-sama dan saling berbual isu-isu yang terkini. Oleh itu, masyarakat Malaysia dapat bergaul dan dengan cara ini dapat mengukuhkan perpaduan masyarakat di Malaysia. Ini telah menyebabkan ramai respondan kami yang bersetuju bahawa kedai mamak dapat menyatupadukan rakyat birbilang bangsa di Malaysia.
Rajah 2: Sebab-sebab kedai mamak digemari
Antara faktor utama yang menjadikan kedai mamak digemari ialah makanan. Kepelbagaian makanan yang disediankan di kedai mamak menjadi factor utama untuk menarik minat respondan-respondan kami untuk makan di kedai mamak. Selain itu kemudahan asas yang disediakan di kedai mamak jugatelah menarik ramai pelanggan. Factor masa juga telah mendapat undian yang tinggi dalam hasil kajian kami. Ini kerana kebanyakan kedai mamak beroperasi 24 jam dan berbeza sekali dengan restoran-restoran makanan yang lain yang hanya beroperasi sehingga jam 12 malam. Ini, secara tidak langsung respondan-respondan kami bebas untuk makan di kedai mamak tanpa mengira waktu.
Rajah 3: Bangsa yang sering mengunjungi kedai mamak
Graf menunjukkan bahawa majoriti kaum yang mengunjungi kedai mamak ialah kaum Melayu. Ini kerana kebanyakan remaja Melayu yang suka meluangkan masa bersama rakan-rakan di kedai mamak. Selain itu, kaum Melayu juga suka berborak dengan rakan-rakan di kedai mamak tentang isu-isu terkini yang melanda negara Malaysia. Diikuti pula dengan kaum India dan kaum Cina yang gemar makan di gerai mamak ini.
Rajah 4: Jenis-jenis makanan yang diminati oleh pelanggan
Antara makanan yang paling laris di kedai mamak ialah roti canai. Hal ini kerana ramai pengunjung yang datang ke kedai mamak hanyalah untuk meluangkan masa bersama rakana-rakan atau pun melepak. Oleh itu mereka ini telah memilih makanan yang ringkas iaitu roti canai untuk dijadikan bahan kunyahan ketika berborak. Makanan panas juga laris kerana makanan yang dimasak mamak agak berlainan dan sedap.
5.0 Kesimpulan
Daripada hasil penemuan kajian, didapati bahawa kedai mamak ini mendatangkan kebaikan dalam perpaduan kita sebagai satu Malaysia. Dalam persoalan yang dinyatakan, majoriti responden mengatakan kedai mamak amat penting pada masa kini dan ramai dari kalangan responden gemar menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung di kedai mamak. Ini telah dibuktikan melalui kaji selidik yang mendapati bahawa peratusan responden yang mengunjung kedai mamak yang terdiri daripada pelbagai bangsa dapat berkongsi pendapat sewaktu di kedai mamak.
Sebagai kesimpulan daripada keseluruhan kajian dari aspek pemerhatian, temu bual dan soal selidik. boleh dikatakan bahawa kedai mamak dapat menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum dan bangsa di malaysia. Walaupun berbeza etnik dan budaya, kita sebagai rakyat Malaysia boleh duduk semeja di kedai mamak dan ini menunjukkan kaum-kaum di Malaysia bersatu padu.
Restoran mamak wajar diperkasakan. Dengan cara ini, penduduk Malaysia dapat bersatu-padu tidak kira kaum dan agama. Kerajaan negeri boleh mengambil langkah produktif bagi mengawal harga makanan di kedai mamak supaya berada dalam harga kawalan yang telah ditetapkan. Selain itu, pihak kerajaan juga haruslah mengawasi kebersihan kedai mamak ini bagi menjamin kesihatan pelanggan yang datang untuk menikmati makanan ni kedai mamak.
Rujukan
Shamsul Amri Baharuddin. (2011). Modul Hubungan Etnik Edisi Pertama. Shah Alam, Selangor: Universiti Teknologi MARA.
MZ Zainudin, Muhammad Safuan Md Salleh, Muhammad Fikri Japri, Muhammad Nabil Abd Kadar, Abdul Rahman Jumil
No comments:
Post a Comment