Cara cari pahala puasa
Ramadhan hari ini disambut seluruh negara. Masjid dan surau dipenuhi jemaah yang datang berduyun-duyun sama ada seorang diri (bagi yang bujang) atau berkeluarga. Bagi Ustaz Salleh, salah seorang imam di Masjid Putra, dalam kuliah subuh pagi ini mengatakan beruntungnya mereka yang dapat menjejakkan hidup pada ramadhan kali ini kerana ada yang tidak sempat kerana menemui Allah swt lebih awal.
Sepanjang bulan sya’ban lalu, kita dengar berlaku kematian setiap hari sama ada ahli keluarga, rakan-rakan, anak murid mahupun tokoh masyarakat. Kita yang dapat merasai ramadhan ini harus bersyukur kerana dipilih untuk mendapat banyak pahala dan ganjaran berpuasa.
Ramadhan adalah bulan yang membawa keberkatan iaitu puasa. Biarpun ramai di antara kita, katakan berumur 60 tahun telah melalui puasa setiap tahun namun masih ada lagi kesilapan demi kesilapan kecil yang dilakukan. Perkara yang kita boleh usahakan untuk tidak mengulangi lagi pada tahun ini ialah berpuasa dan hanya mendapat lapar dan dahaga.
Kenapa lapar dan dahaga? Ia berlaku kerana kita tidak membuat persiapan, tidak seperti kursus haji. Terdapat empat persiapan yang sepatutnya kita telah lakukan sepanjang bulan rejab dan sya’ban iaitu menyediakan ilmu pengetahuan tentang puasa termasuk kaedah berpuasa, amalan semasa berpuasa dan fadhilat berpuasa. Kedua, persediaan iman iaitu meningkatkan keimanan kita terhadap kewajipan berpuasa kerana sama ada berpuasa atau tidak hanya Allah swt yang mengetahui keadaannya. Di sinilah letaknya keyakinan kita terhadap perintah berpuasa datangnya dari Allah swt.
Ketiga adalah persediaan fizikal iaitu ketahanan badan untuk menahan lapar selama 14 jam. DI Malaysia, tempoh puasa biasanya tetap sepanjang bulan. Justeru, bangun sahur amat penting untuk mengekalkan tahap kecergasan dan stamina badan kita. Amalan bersahur tidak sia-sia kerana sebelum bersahur kita boleh laksanakan qiamullail walaupun hanya solat tahajjud dua rakaat.
Keempat adalah persediaan hati iaitu memasuki ramadhan perlukan keikhlasan dan kesabaran. Tidak ramai yang rasa senang dengan bulan ramadhan ini kerana rasa seperti baru dua tiga bulan berpuasa, tiba-tiba sudah berpuasa kembali. Hanya dengan keikhlasan dan kesabaran dapat mengukuhkan hati untuk menyempurnakan perintah Allah swt ini dalam diri kita.
Di samping berpuasa sehari suntuk, amalan-amalan terbaik boleh dilakuan seiringan seperti banyakkan berdoa, tadarus dan tadabur al-quran serta menghafal surah-surah penting seperti al-kahfi, yaasin, al-mulk dan juz ‘amma. Kita boleh meletakkan sasaran menghabiskan bacaan al-quran 30 juzuk malah jika umur sudah 40 atau 50 tahun, sasaran sepatutnya tiga kali khatam.
Sepanjang bulan ramadhan, pintu-pintu neraka ditutup dan pintu-pintu syurga dibuka. Syaitan dihalang dan kita lebih senang membuat kebaikan dan kebajikan. Maksud tersirat syaitan diikat atau dirantai ialah kita lebih mudah membuat perkara-perkara yang baik seperti sedekah atau rajin membaca al-quran namun halangan lebih besar ialah nafsu sendiri, justeru ada yang masih mengumpat walaupun ketika berpuasa. Peranan nafsu menyukarkan seseorang yang biasa mengumpat daripada berhenti melakukan perbuatan tersebut pada bulan puasa ini.
Kelebihan ramadhan yang lain ialah ganjaran lailatul qadar ialah malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Dalam konteks ini, pelbagai tafsiran yang mengatakan malam tersebut adalah sepuluh malam terakhir dan malam yang ganjil. Namun jika kita melaksanakan amalan qiamullail, berdoa dan bermunajat kepada Allah swt bermula dari satu ramadhan, insya Allah kita akan bertemu dan mendapat ganjaran seribu bulan ini.
Rumusannya ialah Allah swt menyediakan peluang yang sangat hebat kepada umat Islam pada bulan ramadhan ini. Setiap peluang ini berupa ganjaran yang digandakan sama ada membaca al-quran, tidur, memberi nasihat ataupun bersedekah. Marilah kita bersama-sama mengejar semua ganjaran ini supaya amal pahala kita akan bertambah-tambah.
No comments:
Post a Comment