Monday, June 02, 2014

Bekalan dalam jalan dakwah






Penulis: Mustafa Masyhur
Penerbit: Pustaka Salam, Batu Caves, Kuala Lumpur.
Tahun: 2010
Muka Surat: 267

Allah menghendaki dan setiap perkara yang dikehendakiNya pasti berlaku. Antaranya untuk terus mengekalkan dakwah Ikhwan Muslimin di atas jalan yang telah dikenali oleh manusia sejak bermulanya dakwah ini.

Dakwah yang dimulakan oleh Hasan al-Banna bercirikan akidah salafiah, pelaksanaan amali, perwatakan ruhani dan berakhlak akhlak Muhammad saw. Dakwah ini tidak diekori oleh keraguan-keraguan baru dan tidak rela dengan acuan dan pengaruh yang asing.

Manhajnya adalah al-quran. Ia berpegang dengan nas-nas yang qati’yyah tsubut (kepastian berkenaan kesahihan dan kebenaran sesuatu nas tanpa sebarang keraguan berdasarkan bukti) dan qati’yyah dilalah (kepastian berkenaan pengertian sesuatu nas tanpa sebarang kemungkinan wujudnya pengertian lain berdasarkan bukti) tanpa ada tafsiran, takwilan atau takhsis. Manakala nas-nas yang qati’yyah dilalah tetapi zhonniat tsubut (tanggapan kuat bahawa sesuatu nas adalah sahih dan benar berdasarkan bukti tetapi tidak sampai ke tahap pasti), mereka memahaminya dengan kefahaman yang bertepatan dengan ayat-ayat al-quran dan tidak saling bertentangan antara satu sama lain.

Mereka beriman dengan Asma’ Allah (nama-nama Allah yang mulia) dan sifat-sifatNya sebagaimana yang diturunkan oleh Allah tanpa mempersoal atau menyamakanNya dengan orang lain. Kefahaman tersebut mereka perolehi daripada para ulama salaf sebelum mereka.

Pada hari Imam Malik ditanya tentang istiwa’ (persemayaman Allah), beliau menjawab, “Persemayam adalah logik, tidak diketahui bagaimana keadaannya, beriman dengannya adalah wajib, berbincang mengenainya adalah bid’ah. Saya rasa dia lelaki jahat, keluarkan dia dari majlis kita”. Dengan ketelitian ini kita membaca Kitab Allah dan memahami ayat-ayatnya dengan perasaan yang tulus dan tenang.

kita juga menjejaki jejak langkah Rasul saw dengan mengambil hadis-hadis yang sahih, hasan dan mutawatir. Kita wajib mengambilnya sedemikian rupa tanpa cuba mengeluarkannya daripada maksud sebenar. Hal ini kerana baginda saw dikurniakan al-quran dan perkara yang seumpamanya, sebagaimana yang diperakuinya.

Juga kerana Allah yang terbukti keagungan dan kekuasaanNya telah memerintahkan kita agar mentaati RasulNya dalam semua perkara yang datang daripadanya sama ada kata-kata, perbuatan atau perakuan. Firman Allah yang bermaksud, “Apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada kamu, maka terimalah dan amalkanlah ia. Apa jua perkara yang dia larang lakukan, maka jauhkanlah perkara itu,” (al-Hasyr: 7)

Buku Bekalan Dalam Jalan Dakwah ini telah menampilkan kepada kita perkara-perkara yang mampu memantapkan hati kita. Ia bukan semata-mata bekalan bahkan merupakan perniagaan yang telah dibentangkan. Pesan daripada Umar Tilmisani kepada kita: baca, pelajari, bertawakkal dan beramallah.

No comments:

Post a Comment