1.0 Pengenalan
Beca warisan Melaka ini menjadi salah satu tarikan utama pelancong di dalam dan luar negara. Kegiatan pengayuh beca ini sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap sektor pelancongan negeri Melaka.
1.1 Objektif Kajian
Dalam kajian ini antara objektif kajian yang bakal diperolehi adalah mengkaji sejarah beca di Melaka. Selain itu, kajian ini juga mengkaji pengaruh pengayuh beca di Melaka, mengetahui perkembangan khidmat beca di Malaysia dan mengkaji pandangan orang ramai terhadap khidmat beca di Melaka.
2.0 Sorotan Kajian
Beca di Malaysia, dalam rekod bertulis, bermula di Singapura pada 1914 apabila 15 beca didaftar dan diperkenal sebagai basikal roda tiga Taman Upton. Beca ini mempunyai pengayuh di sebelah sisi penumpang. Terdapat juga model beca dengan pengayuh di belakang atau di hadapan penumpang. Bumbung juga dipasang bagi memberi teduhan kepada penumpang. Bagaimanapun ia didapati sukar dikendalikan melalui jalan yang sempit dan berliku-liku berbanding lanca yang ditarik manusia. Oleh sebab kerana itu, siri beca pertama 1914 kemudiannya dijual dan bawa ke Jawa. Hanya pada akhir 1920-an beca kembali diperkenalkan di Singapura dan kegunaannya meningkat dengan kedatangan migran China yang mendapati membawa beca memberikan pendapatan yang baik. Beca kemudian menjadi semakin popular di Malaysia, Indonesia, Vietnam dan seluruh Asia.
2.1 Kaedah Penyelidikan
Antara cara dan kaedah kajian yang dijalankan dalam mencari maklumat dan data ialah dengan menemuramah. Selain menemuramah pengayuh-pengayuh beca yang terdapat di sekitar Bandar Belanda di Bandar Hilir Melaka, temu ramah turut melibatkan pengunjung yang datang dan mencuba pengalaman dalam menaiki beca mengikut kepelbagaian bangsa dan umur bagi mendapat hasil yang pelbagai.
Selain itu, makluamt sekunder dilakukan dengan melayari internet. Kemudahan ini sangat membantu kajian bagi mendalami pengetahuan tentang beca sama ada dari segi sejarah, jenis dan komponen yang terdapat dalam kenderaan beca itu sendiri. Kaedah yang terakhir adalah kaedah pemerhatian di sekitar Bangunan Belanda bagi memerhatikan sendiri sejauh mana kegiatan pengayuh beca ini dijalankan.
3.0 Hasil Kajian dan Analisis
Menerusi kajian yang dijalankan ini, didapati para pengunjung memberikan reaksi yang positif tentang kewujudan aktiviti pengayuh beca di bandar Melaka ini. Ramai di antara mereka amat berpuas hati dengan layanan, tambang dan khidmat pengayuh beca di sini.
Kehadiran pengayuh-pengayuh beca ini menaikkan nama Melaka sebagai satu tempat pelancongan yang unik. Boleh dikatakan hampir kesemua beca dihiasi dengan perhiasan yang pelbagai. Hiasan-hiasan ini dapat menarik minat pelancong untuk menggunakan khidmat pengayuh beca ini. Selain itu, Gajet-gajet yang dipasang pada beca juga dapat menarik minat pelancong untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.
Pengusaha-pengusaha beca ini memilih lokasi yang strategik untuk menjalankan kegiatan mereka. Sekitar bangunan Belanda menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Justeru itu, para pelancong berbesar hati untuk menggunakan khidmat pengayuh beca ini untuk bersiar-siar di sekeliling bandar Melaka.
Berdasarkan kajian yang dijalankan, didapati kegiatan pengayuh beca di bandar Melaka ini bergiat aktif. Kegiatan pengayuh beca ini boleh diibaratkan seperti nadi kepada aktiviti pelancongan di bandaraya Melaka. Pada mata kasar, kami dapati ramai pengunjung lebih tertarik menambang pengayuh beca untuk bersiar-siar di sekitar bandar Melaka ini..
Dari segi kos tambang yang dikenakan, kami jangkakan kosnya amat berpatutan. Para pengunjung mungkin berpuas hati terhadap tambang yang dikenakan oleh pengayuh beca kepada mereka. Harga yang dikenakan kepada pengunjung adalah RM20 untuk pusingan kecil, RM25 untuk pusingan besar, dan RM40 untuk satu jam bagi jarak yang jauh
Berikut adalah temuramah bersama responden yang terlibat dalam kajian ini.
Nama: Hussain (pengayuh beca)
Umur: 58 tahun
Ulasan: Mula untuk mengayuh beca apabila tamat bekerja sebagai seorang penjawat awam. Rakan-rakan mengajak untuk menjadi seorang pengayuh beca sebagai mata pencarian baharu. Pada mulanya agak kekok dan keletihan tetapi sekarang suda lali, walaupun pendapatan tidak seberapa tetapi pekerjaan ini menyeronokkan. Di samping menambah pendapatan, pekerjaan ini saya anggap mulia kerana dapat membantu orang.
Nama: Khoo (pengunjung)
Umur: 45 tahun
Ulasan: Kami sekeluarga amat kagum apabila menjejakkan kaki di bandaraya Melaka ini. Bilangan pengayuh beca di sini amat ramai. Beca-beca di sini sangat menarik perhatian pengunjung kerana dihiasi beraneka jenis bunga yang berwarna-warni. Terdapat juga beberapa orang pengayuh beca yang kreatif memasang radio, atau gajet-gajet lain bagi menjadikan beca-beca mereka lebih memukau minat pengunjung.
Nama: Balachandran
Umur: 54 tahun
Ulasan: Melaka adalah sebuah bandar yang menarik. Banyak bangunan bersejarah. Peninggalan penjajah Belanda masih ada dan dijaga rapi, ia nya mercu tanda yang menarik. Pengayuh beca di sini peramah. Mereka mahir tentang bandar Melaka. Tambang yang dikenakan berpatutan.
Nama: Umairah (pengunjung)
Umur: 9 tahun
Komen: Kali pertama menaiki beca. Ini merupakan pengalaman baru. Bandar Melaka sangat cantik. Akan selalu mengajak keluarga untuk datang ke Melaka lagi.
4.0 Kesimpulan
Pengunjung bukan sahaja dapat mencuci mata melihat bangunan-bangunan bersejarah di bandar Melaka, malahan dapat juga maklumat tambahan tentang bangunan-bangunan tersebut daripada pengayuh beca tersebut. Kebanyakan pengayuh beca berasal dari Melaka, mereka juga tentunya sudah mahir tentang selok-belok bandar Melaka.
Rujukan
Pengenalan tentang beca warisan Melaka.
http://persatuanbecawarisanmelaka.blogspot.com/
MZ Zainuddin, Nor Asyraf Abdul Kadir, Muhamad Syukri Nazry Mustapha, Muhamad Muaz Nasarud’din, Saifulddin Sabri, Mohd Firdaus Samsudin, Muhammad Aminullah Abdul Hamid
No comments:
Post a Comment