Monday, February 25, 2013

Petua pilih pembantu rumah






Masyarakat wajar mendapat pengajaran atas hukuman yang diterima oleh pembantu rumah warga Indonesia yang mendera anak majikan berusia empat bulan. Dijatuhi 20 tahun penjara bukanlah tempoh yang singkat kerana kesudahannya pesalah berkenaan akan berusia hampir 50 tahun semasa dibebaskan.

Sebelum ini masyarakat dihidangkan dengan majikan yang mendera pembantu rumah, kini pembantu rumah pula yang menjadi subjek.

Sama ada majikan atau pembantu rumah, isu mendapatkan pembantu rumah sentiasa menjadi perhatian. Ketika Malaysia sedang bergerak ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi, masyarakat yang berkerjaya sudah menjadi lumrah dan mendapat seorang pembantu rumah bagi menguruskan anak-anak dan kebersihan rumah sudah menjadi satu keperluan.

Mendapatkan seorang pembantu rumah boleh dilakukan melalui dua saluran. Pertama, mendapatkannya dari ejen berdaftar dan kedua mencari sendiri.

Ejen berdaftar memberi lebih kebaikan berbanding mencari sendiri dan didaftarkan. Seorang pembantu rumah yang dibekalkan ejen biasanya sudah melalui proses pemeriksaan kesihatan di klinik yang dilantik sebagai panel. Hanya pembantu rumah yang melepasi pemeriksaan kesihatan ini yang layak diberikan permit kerja. Langkah ini sangat penting bagi mengelakkan majikan terkena penyakit berjangkit yang berbahaya seperti batuk kering yang masih tinggi dalam kalangan penduduk luar bandar di negara-negara pembekal pembantu rumah ini.

Risiko pembantu rumah melarikan diri tetap ada namun ejen perlu menggantikan pembantu rumah lain kerana bayaran perkhidmatan yang diberi untuk mendapatkan seorang pembantu rumah meliputi jaminan berkenaan. Disebabkan risiko inilah ejen berdaftar mengenakan bayaran lebih mahal.

Bagi kes penderaan yang berlaku di Kuantan baru-baru ini, kes ini melibatkan jenayah dan polis. Justeru, adalah lebih baik mendapatkan pembantu rumah daripada ejen berdaftar memandangkan pasukan polis dapat melakukan siasatan dengan lebih mudah dan cepat berdasarkan maklumat yang ada pada ejen berdaftar berkenaan.

Dari segi gaji, majikan bertanggungjawab membayarnya setiap bulan. Di samping itu kebajikan pembantu rumah seperti tahap kesihatan dan kebersihan diri wajar dijaga. Jika gaji tidak dijelaskan atau mengabaikan kebajikan hidup, aduan kepada pihak berkuasa atau kedutaan tentu mendatangkan rasa malu kepada majikan dan boleh disenarai hitam.

Mendapatkan pembantu rumah tanpa melalui ejen berdaftar banyak bergantung kepada kebijaksanaan majikan dan nasib. Ada majikan yang cepat dan mudah mendapat seorang pembantu rumah tetapi selepas tiga bulan bekerja sudah melarikan diri. Dia lebih berminat dengan kerja sebagai pencuci daripada pembantu rumah.

Begitu juga risiko kecederaan yang melibatkan anak-anak adalah lebih besar jika tidak ada jaminan terhadap keupayaan pembantu rumah yang hanya tangkap muat ini. Kesakitan yang dialami anak-anak tentunya lebih berat ditanggung oleh dirinya sendiri berbanding ibu bapa.

Seorang rakan yang pernah mendapat khidmat tujuh pembantu rumah merumuskan bahawa daripada tujuh orang ini, hanya dua orang yang boleh diyakini keupayaan dan kebolehan sebagai pembantu rumah. Lima lagi langsung tidak boleh diharap malah memberi lebih banyak masalah berbanding sebagai penyelesai masalah rumah tangga.

Pembantu rumah yang baik, berkebolehan dan menepati ciri-ciri seorang pembantu rumah yang cekap agak sukar dicari tetapi dengan doa dan usaha yang bersungguh-sungguh, sudah banyak majikan yang dapat membentuk peribadi dan sikap pembantu rumah masing-masing ke arah melahirkan pembantu rumah yang cekap dan prihatin dengan tanggungjawabnya.

 

No comments:

Post a Comment