Thursday, February 21, 2013

Pembangunan pascaperang lebih rumit






Isu pembangunan amat penting dalam masyarakat yang sedang mengejar kemajuan. Malaysia yang sedang berusaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyusun dasar sosial, meletakkan keutamaan hanya kepada ekonomi tanpa mengambil kira keadaan sosial masyarakat sudah tentu menjadikan negara ini tidak seimbang.

Beberapa petunjuk tentang ketakseimbangan ekonomi dan sosia wujud di negara yang meletakkan pentadbiran negara dalam bentuk pemerintahan autokratik. Kejatuhan pemimpin-pemimpin di negara-negara Arab dalam setahun dua ini menunjukkan masyarakat sudah mula memikirkan alternatif terbaik untuk mengemudi negara mereka.

Keadaan di Mesir, Tunisia dan Libya belum lagi tenang memandangkan masih terdapat saki-baki penyokong rejim sebelum itu yang ingin berkuasa. Tindakan mengadakan demonstrasi dan bertempur dengan polis pencegah rusuhan tidak pun mematahkan semangat kelompok ini untuk terus membuat onar kepada pemimpin yag dipilih oleh mereka sendiri.

Di Mesir, pemimpin dari Ikhwan Muslimin tidak diberi banyak peluang untuk membuat formula terbaik membangunkan rakyat Mesir apabila kelompok penentang yang masih memiliki imbauan rejim terdahulu sering menggerakkan pemuda dan golongan kecewa untuk melakukan sabotaj. Saban hari mereka mendesak untuk langkah pembaharuan tetapi tidak pula memberi peluang kepada presiden negara untuk merancang dan menunjukkan keupayaannya.

Keadaan di Libya dan Tunisia agak reda namun tidak banyak pembangunan yang boleh dilakukan memandangkan negara-negara ini tidak punya kekuatan politik yang menggugat kestabilan dan keutuhan negara serantau.

Pembangunan pascaperang perlukan lebih banyak wang dan penglibatan pelabur luar. Mengharapkan rakyat sendiri untuk membangunkan negara bukannya langkah yang tepat ketika ini kerana trauma perang dan pencerobohan tidak mudah hilang dalam masa yang singkat. Kebijaksanaan pemimpin dan kebolehan pasukan pentadbiran yang cekap dapat memastikan proses pembangunan dan kemajuan dapat dicapai dalam tempoh yang singkat.

 

No comments:

Post a Comment