Wednesday, February 20, 2013

Penyertaan pilihan raya, Isma beri harapan

 


Isma mengorak langkah dalam politik Malaysia


Penglibatan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dalam pilihan raya umum akan datang menunjukkan keyakinan pertubuhan bukan kerajaan kerajaan (NGO) itu untuk melangkah lebih jauh dalam arus perdana politik Malaysia.

Pengumuman Isma itu serentak dengan kerjasama bersama parti Berjasa (Barisan Jamaah Islamiah SeMalaysia) dan bertanding di sebelas kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) termasuk  Padang Serai, Tapah, Wangsa Maju, Selayang, Subang, Puchong, Kapar, Seremban, Tanjung Piai, Derga dan Gurun.  Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, keputusan mereka adalah bagi memastikan perjuangan kepada kestabilan negara, perjuangan bangsa dan masa depan ummah terjamin dan berada di landasan yang betul.
 
Isma telah beberapa tahun bergerak sebagai NGO dalam pelbagai bidang kemasyarakatan. Aktiviti ini merangkumi kebajikan, kesihatan, pendidikan, pembangunan komuniti dan misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.
 
Apakah yang mendorong Isma mengambil keputusan untuk melibatkan diri dalam politik sedangkan sudah ada dua parti besar iaitu Umno dan Pas yang mewakili masyarakat Melayu dan Islam di negara ini?
 
Trend NGO Islam menyertai politik semakin aktif sejak 1999 apabila ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Jamaah Islah Malaysia (JIM) menyertai Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ada dalam kalangan mereka ini yang menjadi wakil rakyat seterusnya muncul sebagai tokoh masyarakat. Namun, Abim dan JIM tidak pula mengisytiharkan penyertaan mereka dalam politik dan kekal sebagai pendokong kepada kemajuan masyarakat Islam tanpa mengira parti.
 
Contohnya ialah YB Shaari Sungib yang menjadi ADUN Hulu Klang. Beliau pernah menjadi presiden JIM tetapi meneruskan perjuangan politik dalam Pas. 

Walaupun Isma tidak menjadi sebuah parti politik dan menumpang dengan Berjasa, percubaan mereka untuk menawarkan diri merupakan satu bentuk pilihan yang sangat baik kepada masyarakat Islam dan bukan Islam kerana berazam akan mengemukakan pilihan calon-calon Muslim yang berwibawa yang boleh membawa amanah dan kepercayaan perjuangan ummah yang kini menjadi antara isu yang kritikal dalam kalangan parti politik di negara ini.

Melihat kepada kesungguhan Isma ini, penyertaan mereka diharap tidak akan memecahkan undi seterusnya menguntungkan musuh-musuh Islam yang cuba melemahkan kekuatan umat Islam di Malaysia. Walaupun mereka sedar masa depan Islam dan orang-orang Melayu selepas PRU13 yang dijangka akan terus berada di dalam keadaan tidak menentu, keputusan politik mempunyai seni yang perlu diperhati. Mungkin kompromi dan diplomasi menjadi langkah terbaik untuk menyuburkan perpaduan Melayu.

Kesedaran berpolitik NGO Islam di negara ini menunjukkan perkembangan yang sangat baik. Antara NGO ini ialah Abim dan Ikram yang berpotensi memberi pilihan kepada pengundi melalui penawaran tokoh-tokoh pimpinan yang Islamik, berakhlak mulia dan menjadikan Islam sebagai matlamat perjuangan mereka. Penyertaan politik NGO Islam juga merupakan manifesto kerisauan mereka untuk memartabatkan Islam di peringkat serantau dan antarabangsa.


  

No comments:

Post a Comment