Tuesday, February 05, 2013

Ke mana hala tuju Nasharudin?






Penyingkiran Nasharudin Mat Isa Majlis Syura Ulama Pas mendapat reaksi yang pelbagai di dalam dan luar parti berkenaan. Akhbar harian arus perdana mengulas isu ini dari pelbagai sudut untuk menimbulkan keraguan terhadap keupayaan Pas menguruskan bekas timbalan presiden parti itu.
 
Nasharudin meningkat naik dalam parti setapak demi setapak selepas melepaskan jawatan di sebuah institusi pengajian tinggi. Saya mendengar namanya pada kali pertama selepas beliau dijemput memberi tazkirah sebelum berbuka puasa di surau Kolej Ketujuh, Universiti Pertanian Malaysia sekitar tahun 1995.
 
Beliau kelihatan segak dengan jubah putih dan kopiah putih sambil memberi tazkirah berkenaan kelebihan puasa. Selepas itu beliau dan jemaah yang lain bersama-sama berbuka puasa. Program ini diuruskan oleh Sekretariat Kerohanian, Majlis Tertinggi Kolej dan salah seorang yang aktif dalam sekretariat ini telah menjadi ketua pemuda Pas Wilayah Persekutuan.
 
Kemampuan Nasharudin sebagai timbalan presiden diiktiraf selepas dipilih bersama-sama pimpinan tinggi yang lain. Golongan muda profesional lebih senang dengan penampilan dan pendekatan beliau yang lebih moden dan menepati kehendak mereka. Kemampuannya berbahasa Inggeris dan Arab menarik penonton untuk mendengar ideanya dalam sesi bual bicara yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia, sekali gus memberi ruang kepada lebih ramai anak muda terpelajar untuk mendekati Pas.
 
Nasharudin mula menjadi perhatian apabila bibit-bibit kerajaan perpaduan mula diperkatakan. Walaupun idea ini dipinggirkan, kelibat Nasharudin bersama pemimpin tertinggi Barisan Nasional dan kerajaan memberi rasa cuak kepada Pas. Justeru, beliau kalah dalam pemilihan seterusnya selepas undi berpecah kepada tiga. 
 
Kemasukan Tuan Ibrahim melemahkan sokongan dan Mat Sabu yang dipilih sebagai timbalan presiden parti. Penyertaan Pas dalam Pakatan Rakyat semakin kuat apabila gandingan Mat Sabu dan Datuk Nik Aziz dibentuk kerana kedua-duanya berpendirian keras dengan ideologi perkauman.
 
Kemerosotan penglibatan Nasharudin dalam Majlis Syura Ulama dikatakan lebih menonjol selepas kekalahan berkenaan. Beliau kurang memberi komitmen untuk hadir dalam mesyuarat yang diadakan dan maklum balas yang ditunjukkannya dengan meraikan kehadiran timbalan perdana menteri ke majlis perkahwinan anaknya menunjukkan sikapnya dengan Pas telah berubah. Dua lawatan penting bersama perdana menteri menggemparkan lagi kem Pas dan tindakan penyingkiran berkenaan dilihat amat sesuai bagi sebuah parti yang besar seperti Pas.
 
Keupayaan Nasharudin menarik golongan muda profesional ke dalam perjuangan Pas masih relevan walaupun beliau hilang jawatan. Komitmennya untuk memelihara Islam dan Melayu amat dihargai namun beliau harus bergerak dalam ruang yang dapat diterima oleh banyak pihak.
 
Adakah senario yang berlaku kepada Nasharudin memberi kesan besar ke atas Pas?  

Melihat kepada tokoh-tokoh yang berlalu pergi dalam Pas, parti itu akan terus dengan peranannya dan tidak terjejas walaupun seorang dua tokoh disingkirkan. Pas akan merangka perancangan baru dan sesuai dengan kehendak semasa sehinggalah perjuangan menumbangkan musuh politik tercapai dan kehendak al-quran dan hadis dilaksanakan.

 

No comments:

Post a Comment