Friday, February 01, 2013

Keselamatan anak-anak tanggungjawab ibu bapa






Jumlah kanak-kanak dan remaja yang hilang di seluruh negara sepanjang tahun 2012 menunjukkan kaum Melayu lebih ramai. Jumlah besar yang hilang ialah 2750 orang terdiri daripada lelaki seramai 817 orang dan perempuan pula 1933 orang. Kaum India merupakan kelompok terbesar yang hilang iaitu 668 (lelaki 244 orang dan perempuan 424 orang) manakala Cina adalah kelompok paling sedikit dengan hanya 307 lelaki dan 229 perempuan. Daripada keseluruhan yang hilang (4804 orang), kanak-kanak dan remaja perempuan yang lebih banyak hilang iaitu 3188 orang berbanding lelaki (1616). 
 
Statistik ini menunjukkan kanak-kanak dan remaja perempuan lebih dominan dalam kes kehilangan dengan jumlah umur semasa hilang ialah 13 hingga 17 tahun iaitu seramai 1684 orang. Separuh daripada yang hilang ini dijumpai semula iaitu 2332 orang sementara selebihnya masih belum dijumpai.
 
Fokus utama umur yang hilang ini ialah 13 tahun dan ke atas iaitu ketika mula melangkah ke alam remaja dan zaman persekolahan. Kenapakah pada peringkat umur ini mereka mudah hilang dan hanya sebahagian yang dijumpai semula?
 
Kehidupan masyarakat yang semakin kompleks menyumbang kepada kes-kes yang berlaku. Kompleks di sini bermaksud peranan keluarga yang semakin mencabar dan sukar diramal. Contohnya, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dimarahi kerana pulang lewat ke rumah cenderung menjadi seorang perajuk dan membuat keputusan bermalam sehari dua di rumah rakannya tanpa memaklumkan kepada kedua ibu bapa. Kerisauan keluarga telah mendesak mereka membuat laporan polis dan hebahan media supaya anak mereka kembali ke rumah. 
 
Dalam situasi seperti ini, hubungan keluarga sangat penting kerana ia dapat menentukan sejauh mana konflik dapat dileraikan.
 
Cabaran lain ialah penceraian ibu dan bapa menyebabkan anak-anak kurang mendapat sentuhan kasih sayang. Emosi anak-anak yang hidup tanpa kasih sayang salah seorang ibu atau bapa amat jauh bezanya dengan kasih sayang bersama-sama kedua ibu dan bapa. Mereka lebih mudah terpengaruh dengan rakan yang dapat menampung kehendak kasih sayang yang hilang tadi dan cenderung menurut tingkah dan gerak laku rakan tadi. Jika nasib baik, akhlak yang dibentuk, jika tidak tentulah masa depannya juga tidak menentu.
 
Kisah penceraian pasangan muda yang baru berkahwin juga membimbangkan kita kerana kes seperti ini bukannya sedikit. Kisah sensasi seperti ini kerap melibatkan golongan artis yang lebih menonjolkan kemewahan hidup berbanding keberkatan hidup. Selepas mendapat anak seorang dua, mulai muncul satu persatu masalah keluarga sehingga menjadi bualan umum. Ada masanya kes ini berlanjutan dua tiga tahun.
 
Kesan yang ketara ke atas kanak-kanak dan remaja yang hilang ialah trauma yang serius dan berpanjangan. Perubahan yang jelas ialah tingkah laku yang semakin agresif ataupun murung. Kesan trauma lebih teruk pada kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun berbanding yang berumur lima tahun ke bawah. Bagi kes yang serius, rawatan hanya boleh diberikan oleh pakar dan dalam tempoh tertentu sehingga pulih.
 
Ibu bapa yang prihatin boleh mengambil langkah-langkah lebih ketat khususnya keselamatan anak-anak. Bukan sahaja orang yang tidak dikenali yang boleh menyebabkan anak-anak ini hilang malah orang yang dikenali perlu turut menjadi perhatian seperti rakan sekolah, teman lelaki dan orang yang baru dikenali melalui media sosial. 
 
Keprihatinan ibu bapa dan ahli keluarga merupakan kunci kepada keselamatan anak-anak yang sedang membesar. Selain itu, komuniti setempat juga wajar menjadi sebahagian daripada kumpulan prihatin supaya medan rasa bersama itu semakin besar. Seterusnya ialah hubungan erat komuniti dan polis yang dapat menyumbang kepada tindakan pantas polis dalam mengesan dan menjejak mangsa yang dihilangkan. 
 
Dalam menentukan keselamatan anak-anak dan remaja, peranan ibu bapa amat penting kerana mereka bertanggungjawab 100 peratus ke atas keselamatan anak-anak walau di mana saja berada.   

No comments:

Post a Comment