oleh Rahman Shaari
Minggu ini orang masih berbicara tentang pidato KS Bawani dan Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin. Bawani bercakap dengan gaya golongan sosialis dekad 1970-an. Sharifah pula bergaya guru prihatin dekad yang terdahulu.
Secara keseluruhan, elok kita ucapkan tahniah atas keikhlasan bicara kedua-duanya. Dalam politik, sesiapa yang berani berupaya meningkat. Manalah tahu, salah seorang daripada mereka, atau kedua-duanya, akan sampai ke tahap Datuk Seri Shahrizat Jalil , Tan Sri Rafidah Aziz atau boleh juga Datuk Seri Wan Azizah Ismail.
Jika perhatian benar-benar diberikan, kita dapati Bawani berpidato bagai menghafal fakta. Ada catatan di tangannya, tetapi dia lebih banyak bersuara tanpa melihat kertas. Ada angka juta yang disebutnya, di samping beberapa nama negara, misalnya Argentina, Brazil dan Cuba.
Dia memuji pelaksanaan pendidikan percuma, terutama oleh Cuba. Baginya, Malaysia kurang bagus. Dia menerima tepukan. Sharifah juga menerima tepukan penghargaan kerana isi nasihatnya yang baik.
Memang dia kini terkenal kerana penyebutan “listen, listen, listen”, iaitu satu sindiran, tetapi falsafah bicaranya ada pada penyebutan kucing, ikan jerung, kambing dan burung.
Haiwan bermasalah. Masalah manusia pula, ialah complain, complain, complain. Brian Tracy mengatakan, masalah manusia ialah terlalu banyak excuses! Bicara Sharifah tinggi, namun mudah difahami oleh orang sastera.
Perbahasan antara mereka berdua bukannya terlalu bererti. Percakapan Bawani panjang, dan Sharifah mahu memendekkannya. Cara dia memendekkan percakapan Bawani tentu ada pilihan. Dia memilih untuk alihkan mikrofon.
Bawani pun tersenyum menerima cara itu, bahkan mereka bersalaman. Seperti biasa, pihak menjadikan perkara ini heboh bukanlah mereka berdua, tetapi pencinta hasutan.
Bawani peroleh nama yang diharapkan sejumlah aktivis. Bukan mudah dapatkan nama disebut orang. Bukankah Ambiga terpaksa bergerak dari Bersih ke Bersih untuk meletakkan namanya pada kedudukan kini?
Tentang Cuba, Argentina dan Brazil, Sharifah Zohra tidak memberikan jawapan yang padat. Sebenarnya, ada jawapan yang mudah untuk hal tersebut. Saya fikir, elok Sharifah mengatakan kepada Bawani, pendidikan percuma bukanlah segala-gala dalam pentadbiran negara.
Perbandingannya begini: Jika kita bermalam di hotel Pak Keng Kung, kita bersarapan nasi lemak dan teh tarik di restoran Mak Kembong, kena bayar. Jika kita bermalam di hotel lima bintang, kita makan di Restoran Big Boss, pagi esok bersarapan percuma.
Maknanya, jelas bukan? Sewa hotel Pak Keng Kung RM80 semalam, manakala sewa hotel lima bintang ialah RM400 semalam. Di hotel lima bintang, kita menyerahkan duit sewa hotel RM400 dan kita dapat sarapan percuma, jadi betulkah itu percuma?
Apabila usia kita meningkat, kita akan faham betul bahawa tiada apa-apa pun yang percuma. Mak Milah dari kampung tidak mahu ke pasaraya, kerana katanya jika dia ambil kena bayar, jika dia bagi pun kena bayar. Anaknya bertanya: “Mak ambil apa?”
Dia jawab, “Mak minum air kosong, kena bayar 30 sen.” Anaknya bertanya lagi, “Mak bagi apa?” Mak Milah jawab, “Mak masuk ke bilik air, kena bayar 30 sen juga.” Betul Mak Milah, dalam hal tandas, kita bagi, kita bayar!
Perkara utama dalam konteks bicara ini ialah wujudnya mekanisme untuk semua pihak mencari pendapatan. Pemerintah boleh bersikap pemurah dalam hal pendidikan percuma, tetapi wang untuk perbelanjaan pendidikan datangnya dari mana? Hal yang mudah kita bayangkan ialah cukai.
Percakapan garang akan terlihat seperti percakapan benar. Oleh itu, bahasa perbandingan tentang masalah kucing, ikan jerung, kambing dan burung, boleh membantu. Anggapan sesetengah orang Sharifah daif adalah silap.
Tema bicara Sharifah ialah orang muda mesti hormati orang tua! Ini berbeza daripada asuhan sesetengah ahli politik progresif yang tak hiraukan orang tua yang berjasa.
Kita terima fenomena ini seadanya. Dalam percakapan berbau politik, banyak hal simple kelihatan serius.
Perbahasan antara Bawani dan Sharifah Zohra ialah lakonan berkesan. Bagi sesetengah ahli politik, itu ialah umpan untuk pilihan raya nanti. Syabas Sharifah, bagus Bawani.
(Sinar Harian, 29 Januari 2013)
(Sinar Harian, 29 Januari 2013)
No comments:
Post a Comment