Tuesday, January 15, 2013

Gelombang pilihan rakyat





Stadium Merdeka Kuala Lumpur mencatat sejarah pawa awal tahun ini kerana Pakatan Rakyat dapat menggerakkan penyokongnya untuk datang beramai-ramai dalam penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR). Penyokong dari utara, selatan, timur dan barat Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak memenuhi jalan-jalan di sekitar stadium.

Inilah kali pertama perhimpunan besar-besaran barisan pembangkang dalam politik Malaysia berjaya dilaksanakan secara aman di ibu kota. Keadaan ini sudah tentu merupakan implikasi kepada pelaksanaan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. 

Saya melihat perhimpunan ini sebagai satu lagi kejayaan politik rakyat Malaysia yang mula menunjukkan kematangan. Ciri-ciri kematangan ini bukan sahaja dipamerkan oleh pemimpin-pemimpin politik malah penyokong, agensi penguatkuasa dan pembuat polisi. Cuma yang masih belum nampak perubahan ialah laporan akhbar arus perdana yang enggan melihat perkembangan yang sedang berlaku dalam paradigma pemikiran rakyat.

Implementasi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 memberi suasana baru kepada proses demokrasi dan masa depan politik Malaysia. Anjakan paradigma pembuat polisi yang mahukan kedinamikan dalam pertembungan politik negara sedang dilihat oleh negara-negara jiran. 

Mereka mahu melihat apakah implikasi segera dan perubahan dalam jangka masa panjang arah tuju Malaysia. Biarpun dari segi kebenaran perhimpunan politik telah biasa di Thailand, Filipina dan Indonesia, budaya ini masih baru di Malaysia. Ia perlu disuburkan supaya rakyat dapat menilai dan membuat keputusan yang tepat tentang kepimpinan negara, keperluan mempertahankan hak dan memastikan suara mereka didengari di parlimen.

Rata-rata masyarakat memuji kejayaan penganjuran HKR ini. Akhbar Sinar Harian menyerlahkan tajuk "Tahniah" dan memetik beberapa catatan yang memuji cara perhimpunan itu dikendalikan. Di belakang tajuk berkenaan ialah gambar ribuan peserta yang memenuhi segenap ruang Stadium Merdeka. Blog yang cenderung kepada Pakatan Rakyat turut memuatkan kisah yang baik-baik mengikut perspektif masing-masing.

Namun, selepas perbincangan dengan rakan-rakan, siapakah yang sebenarnya benar-benar berjaya dan memenangi HKR ini? Adakah ianya Pakatan Rakyat kerana mereka yang menganjur, adakah tokoh-tokoh dalam Pakatan Rakyat ataupun pasukan keselamatan yang memastikan kelancaran program tersebut?

Pada saya, Pakatan Rakyat ada kejayaan khasnya menampilkan imej dan pengaruh mereka untuk mengumpul orang ramai. 

Bagaimanapun saya cenderung melihat dua pihak yang berjaya. Pertama, imej Malaysia menguruskan politik. Tahun 2012 tidak begitu menarik kerana perhimpunan Bersih penuh dengan suasana dan aksi yang agak ganas. Namun dalam HKR ini imej tersebut dipadam dan digantikan dengan imej ceria, selamat dan puas hati.

Kedua, persepsi orang ramai terhadap kerajaan Barisan Nasional. Anggapan paling cepat dan melekat kuat di fikiran orang ramai ialah kerajaan ini mendengar hati nurani rakyat. "Barang kali kerajaan ini prihatin dengan kita" mungkin terlintas di fikiran dan benak sebilangan rakyat Malaysia termasuk pengundi muda, pengundi atas pagar dan pengundi yang baru pertama kali mendaftar. 

Dalam mana-mana kerajaan, sebarang perubahan dalam polisi mestilah memberi kelebihan kepada mereka. Inilah yang sedang dilakukan. Dalam pilihan raya, kemenangan tidak ditentukan oleh semua rakyat Malaysia sebaliknya hanya pengundi yang berdaftar dan mengundi semasa pilihan raya diadakan.

Mesej lain yang dapat dikenal pasti ialah rakyat Malaysia sudah ada pilihan untuk menentukan siapa yang boleh menjadi kerajaan pilihan mereka. Banyak isu yang menarik untuk diselesaikan seperti kenaikan kos hidup, harga rumah, harga kereta yang mahal dan isu-isu pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan hidup kini boleh ditawar-menawar untuk diselesaikan. 

Jika Barisan Nasional dapat menyelesaikan isu-isu dengan baik dan pro kepada tuntutan hidup rakyat, sokongan kepada mereka akan bertambah. Jika masih dengan takuk lama, bermain "tarik tali" dan ingatan pada memori lama, Pakatan Rakyat ada harapan untuk mengeksploitasi isu-isu dengan sebaik-baiknya.

Dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini, bahang pilihan raya semakin panas. Keupayaan sebenar ialah mempengaruhi persepsi pengundi dan mereka yang akan menang ialah yang berupaya menjadikan persepsi pengundi berada dalam mood  yang terbaik.


No comments:

Post a Comment