Tuesday, January 08, 2013

Padah menunggang motosikal tanpa lesen





Masih ada ibu bapa yang tidak mengambil iktibar kejadian yang berlaku ke atas remaja yang memandu kereta tanpa lesen, Amirul sehingga beliau ditembak dan meninggal dunia. Membiarkan anak-anak remaja memandu kenderaan di atas jalan raya tanpa memiliki lesen memandu yagn sah mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

Kematian seorang pelajar tingkatan tiga di Putrajaya merupakan kisah malang pada tahun ini. Menunggang motosikal bersama rakannya, pelajar berkenaan terjatuh dan terlentang di atas jalan berhadapan sekolahnya. Fizikalnya tidak ada sebarang kecederaan yang teruk tetapi hentakan kepala di atas permukaan jalan menyebabkannya parah dan disahkan meninggal dunia pada jam 6 petang. Jenazahnya disemadikan di Presint 20, Putrajaya sebelum tengah hari ini.

Rakannya pula sedang koma.
 
Saya berjumpa dengan ayahnya untuk menyatakan takziah dan mendapat gambaran bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Di rumah mereka tidak ada motosikal, kalau ke sekolah pun hanya berjalan kaki. Mungkin disebabkan tidak ada motosikal, arwah kepingin membonceng motosikal kawannya.

Orang yang paling sedih ialah ibunya, seorang guru. Walaupun nampak mengukir senyuman, keadaannya tidak sama. Senyuman diiringi dengan air mata berlinang dan mata sedikit kemerah-merahan. Selepas orang ramai meninggalkan tanah perkuburan, ibunya duduk di sisi pusara arwah beberapa ketika. Sedih hati seorang ibu tidak sama sedihnya hati seorang bapa. Hati bapa lebih cekal dan tabah. Namun, paling penting ialah redha dengan kematian anak lelaki kerana Allah swt lebih sayang kepadanya. 

Lima hari sebelum itu saya sempat menyampaikan pulut kuning dan kari ayam kepada arwah. Ayahnya memaklumkan dia bersarapan pagi dengan pulut kuning pada keesokan harinya. Pada wajahnya tidak nampak tanda-tanda akan meninggal dunia mungkin kerana suasana yang agak kelam semasa saya menghukurkan bungkusan pulut kepadanya.

Tidak apa yang boleh dibuat kerana kedua-duanya tidak memiliki lesen memandu dan tidak pula memakai topi keledar. Kejadian yang berlaku di luar kawasan sekolah menyebabkan tanggungjawab membiarkan anak-anak remaja bawah umur membawa motosikal terletak di atas bahu ibu bapa. Keprihatinan ibu bapa terhadap bahaya menunggang motosikal tanpa lesen memandu mesti ditingkatkan di seluruh negara melalui kempen dari semasa ke semasa.

Di sekolah, guru boleh mengingatkan pelajar pada perhimpunan mingguan betapa kesan buruk ke atas mereka yang berani menunggang motosikal tanpa ada lesen dan tidak dibenarkan ibu bapa. Remaja yang ingin mencuba hanya ada tiga pilihan iaitu selamat pulang ke rumah, cedera dan dimasukkan ke hospital ataupun menjadi arwah kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kita yakin agensi kerajaan, swasta malah pihak sekolah sendiri sentiasa mengadakan kempen keselamatan jalan raya dan membuat pemeriksaan mengejut ke atas motosikal yang dibawa ke sekolah, ia masih belum mencukupi kerana terdapat ibu bapa yang masih berfikiran "tidak apa" dengan membenarkan anak-anak ini membawa motosikal ke sekolah atau bersiar-siar di jalan raya.

Apabila berlaku tragedi, semuanya sudah terlambat.




No comments:

Post a Comment