Thursday, January 03, 2013

Institusikan kaedah bentuk keluarga





Selepas tiga hari berada pada tahun 2013, banyak isu tahun lepas yang melingkari kehidupan masyarakat. Antaranya isu sosial yang merangkumi keluarga dan masyarakat seperti perceraian, perebutan anak, pergaduhan dan perselisihan faham. Ada juga yang melibatkan kematian akibat dipukul. Dalam isu politik, topik perbincangan dilihat menjurus kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan. Justeru, timbul pelbagai kisah lama yang gunanya untuk menarik perhatian pengundi sebagai sebahagian daripada strategi memenangi pilihan raya tersebut.  
 
Melangkah ke tahun baru bererti meninggalkan tahun 2012 dengan pelbagai kisah gembira dan duka. Dua keadaan ini menjadi pengukuh kepada pembentukan emosi kita untuk bertindak balas. Katakan kita mendapat berita gembira seperti diberi bonus, dinaikkan gaji atau memandu kereta baru, tentulah kita berasa ceria sepanjang hari. Mood kita juga berada dalam keadaan baik.
 
Berbeza apabila mendapat berita sedih. Kematian, hutang atau kalah dalam persaingan akan mencetuskan reaksi yang sangat negatif apabila kita merasai situasi seperti ini. Keadaan bertambah dahsyat jika melibatkan tekanan dan kekecewaan.
 
Namun, kedua-duanya iaitu gembira dan duka adalah sebahagian daripada proses kematangan diri. Orang yang telah merasa dan melalui emosi ini dapat mengharungi hidup dengan lebih yakin dan optimis. Contohnya ialah dalam membentuk sebuah keluarga yang dapat mengharungi cabaran hidup.
 
Saya baru sahaja dapat berkongsi cerita tentang harapan seorang bapa untuk melihat anak-anaknya akan ada yang menjadi seorang ustaz. Beliau ada lima orang anak dan semuanya lelaki.
 
Dia dan anak sulung terlibat dalam bisnes, menjadi usahawan yang berjaya tetapi belum ada yang menjadi ustaz sebagai pelengkap kepada kehidupan dunia yang seimbang.
 
Lalu seseorang bertanya, “Macam mana hendak lahirkan seorang ustaz dalam keluarga kamu?”
 
Dia menjawab, “Saya sedang memujuk dua anak untuk cenderung kepada ustaz, InsyaAllah sedang berusaha ke arah itu”.
 
“Kalau tak boleh, nak buat macam mana?”
 
Soalan ini sukar dijawab kerana jangkauan pemikirannya tidak begitu jauh. Lalu beliau diberi jawapan.
 
“Carilah menantu yang boleh menjadi ustazah”.
 
Kisah ringkas ini berkaitan dengan memilih pasangan untuk anak-anak supaya akan lahir sebuah keluarga yang mendapat rahmat Allah swt. Ia juga berkaitan dengan kerisauan seorang bapa untuk mencari pasangan yang sesuai dengan anaknya yang dapat ditumpang kebahagiaan hidup.
 
Dalam surat khabar hari ini kita dapat lihat bagaimana pasangan rumah tangga menjadi porak-peranda kerana pasangan hidup tidak seperti yang diimpikan. Itu belum lagi bercerita mengenai anak-anak lelaki dan perempuan yang buruk akhlaknya, tingkah laku biadap dan terlibat dengan pelbagai masalah. Isu-isu ini menjadikan surat khabar semakin laris kerana isu-isu masyarakat telah disensasikan.
 
Tahun 2013 penuh dengan cabaran keluarga. Trend pelaporan ke atas isu-isu keluarga dilihat menjurus kepada ketelusan dan lebih ekstrem seperti penderaan kanak-kanak dan pengabaian warga emas. Berita tentang pembuangan bayi sudah menjadi biasa dan tidak lagi menjadi isu “gempak” berbanding 17 tahun lalu.
 
Menjadi tanggungjawab kita untuk menginstitusikan kaedah membentuk keluarga yang mendapat rahmat Allah swt. Pembentukan akhlak dan sikap anak-anak bermula sejak kecil dan berterusan sehinggalah mendirikan rumah tangga dan beranak-pinak. Keluarga muda yang ada keinginan membentuk keluarga seperti ini mesti berusaha menjadi ilmu dan membina hubungan dengan keluarga yang lain supaya hajat dan impian mereka akan dicapai.

 

No comments:

Post a Comment