Bunga yang indah pada pandangan mata |
Memiliki kerjaya dan mampu menyara hidup dengan pendapatan bulanan, ternyata tidak memadai bagi sesetengah wanita tempatan yang sanggup menjadi pelacur kelas atasan demi kemewahan.
Hakikatnya, kata Ketua
Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman Datuk
Abdul Jalil Hassan, sindiket itu tidak memaksa wanita terbabit memperdagangkan
diri, tetapi hanya mempelawa dengan jaminan upah lumayan.
Mereka bergerak menerusi
orang tengah atau 'ibu ayam' atau 'mami' yang akan mencari pelanggan untuk
wanita terbabit. Ada mami ini sebenarnya rakan kepada wanita berkenaan, katanya
kepada Bernama di sini.
"Ada wanita yang
sudah biasa dengan aktivitinya ini selalunya akan memaklumkan sendiri kepada
mami sekiranya mereka mempunyai waktu terluang," katanya.
Berdasarkan serbuan
sebelum ini, Abdul Jalil berkata, terdapat 'mami' yang sebenarnya merupakan
pengusaha salun kecantikan dan menjalankan kegiatan tidak bermoral itu secara
sambilan.
"Lazimnya kalau
seorang pelacur memperoleh RM450, mami akan dapat komisen RM200," katanya
menambah berdasarkan siasatan, seorang pelacur mengenakan caj antara RM450 dan
RM800 untuk menjadi teman berhibur selama empat jam, serta minimum RM1,500
untuk hubungan seks.
Kegiatan itu yang
membabitkan wanita berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 20-an itu dikesan
di sekitar Lembah Klang, Johor Bharu serta Pulau Pinang dan bergerak secara
eksklusif, membabitkan pelanggan elit dan profesional.
Mereka yang ditahan, sama
ada terlibat atau menjadi ejen bagi kegiatan itu boleh disiasat mengikut
Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda
atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan.
Statistik terkini D7 Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan 2,772 wanita tempatan ditangkap terbabit
pelacuran tahun lepas, berbanding 1,801 pada 2011, iaitu peningkatan 54 peratus.
Sebanyak 42,788 serbuan
dijalankan tahun lepas dengan serbuan tertinggi di Johor Bahru iaitu 8,749
serbuan berbanding 7,288 serbuan pada 2011. Ini diikuti Kuala Lumpur (8,620);
Selangor (6,663) dan Perak (5,426).
Presiden Pertubuhan
Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur
(Pencegah), Jeevan S. Ramamurthy berkata, kos sara hidup yang tinggi bukan lagi
faktor utama kegiatan pelacuran dalam kalangan wanita terbabit kerana
sebahagian mereka mempunyai kerjaya.
Katanya, ada sesetengah
terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu kerana terpengaruh dengan ajakan
kawan yang mempunyai kenalan lelaki kaya.
"Sekali mereka
terjebak, timbul rasa suka dan faktor itu jugalah yang membuatkan mereka dengan
rela hati untuk melayan termasuk melayan nafsu sendiri dan pelanggannya,"
katanya.
(BERNAMA, 21 Januari 2013)
No comments:
Post a Comment