Thursday, January 17, 2013

Nilai integriti dalam sektor awam





Integriti amat sukar diamalkan jika nilai baik tidak diasuh sejak kecil


Kursus, ceramah, seminar dan program penerapan nilai integriti menjadi sebahagian daripada agenda besar kerajaan untuk membentuk sistem pentadbiran yang cekap, berkesan dan berpotensi menjadi yang terbaik di dunia. 
 
Sebagai tanda serius kerajaan, Institut Integriti Malaysia (IIM) ditubuhkan untuk menyemai nilai dan budaya integriti menjangkaui sektor swasta, insitusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan. 
 
Walaupun kerajaan bersungguh-sungguh mengingatkan kakitangan awam agar melaksanakan integriti dalam tugas masing-masing, masih ada penjawat awam yang memandang rendah dan tidak mengendahkan seruan ini. Kes rasuah yang membabitkan mana-mana penjawat awam tidak dapat lari daripada isu integriti dalam perkhidmatan awam. 
 
Keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan bekas pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan baru-baru ini menunjukkan terdapat ruang untuk menjejaskan integriti individu dan organisasi kerajaan. Mahkamah membuat keputusan selepas berpuas hati dengan keterangan bahawa tertuduh tidak menulis surat tersebut walaupun ternyata surat itu adalah palsu. Ertinya ada orang lain yang melakukannya dan beban tersebut diletakkan kepada tertuduh. 
 
Tempoh tiga tahun agak lama untuk mengesan pemalsuan dokumen yang melibatkan kenaikan gaji, pemangkuan jawatan atau pengesahan jawatan. Bagaimana surat palsu boleh dikeluarkan daripada kementerian dan pembayaran telah dibuat? Sepanjang tiga tahun itu tertuduh mampu hidup senang dan siapa pula yang harus membayar pembayaran yang tidak sepatutnya diterima akibat pemalsuan dokumen? 
 
Dalam organisasi kerajaan, surat rasmi adalah instrumen penting yang mempunyai autoriti. Tindak balas dari sebarang surat rasmi adalah mustahak dan perlu maklum balas. Apakah ciri-ciri surat rasmi sesebuah agensi kerajaan? 
 
Pertama, ia mengandungi logo agensi dan jabatan yang biasanya dicetak berwarna. Di bawah logo diletakkan alamat lengkap termasuk nombor telefon, faksmili dan emel. 
 
Kedua, ada rujukan fail. Ia menentukan di mana surat itu dikeluarkan dan menggunakan kod tertentu bagi rujukan segera. Biasanya kod ini melibatkan nombor seperti 100 hingga 500. 
 
Ketiga, tarikh surat dikeluarkan. Tarikh amat penting kerana ia menentukan pergerakan surat keluar dan masuk. Penyediaan buku log untuk mencatat pergerakan surat membantu pengurusan surat yang cekap. 
 
Keempat, tajuk surat adalah berkaitan arahan atau makluman tujuan surat dikeluarkan. Kadang-kadang tajuk surat berkaitan perkara yang sulit atau rahsia besar hanya diketahui oleh beberapa orang. 
 
Kelima, tandatangan penulis surat. Bahagian ini sangat penting kerana ia menentukan sejauh mana aktiviti surat dilakukan. Jika ketua pengarah, secara automatik surat itu menjadi penting dan maklumatnya mesti diberi perhatian. Jika sekadar penolong setiausaha, ia mengambil sedikit masa untuk memberi maklum balas. 
 
Keenam, bilik fail. Dalam kebanyakan agensi kerajaan, bilik fail disediakan beserta dengan penjaga fail. Tugas penjaga fail sangat penting kerana tanpa penjaga, urusan fail akan terganggu dan surat-surat dalam fail tertentu mungkin tidak lengkap. Beliau juga boleh memantau pergerakan fail-fail penting yang melibatkan individu dan organisasi. 
 
Peranan surat rasmi lebih penting daripada memo kerana surat rasmi memiliki autoriti yang lebih banyak, mencakupi pelbagai bidang kuasa dan tidak mengira pangkat dan jawatan. Jadi, dalam kes rasuah yang dilalui oleh bekas pengarah berkenaan, pengeluaran surat palsu memaklumkan kenaikan pangkat secara mendadak dalam tempoh tiga tahun sepatutnya dilihat mencurigakan. Sebagai ketua, beliau wajar merujuk kepada kementerian untuk pengesahan. 
 
Dari segi reputasi sebagai ketua, beliau dilihat kurang berpengalaman menguruskan pentadbiran organisasi yang besar dan bagi orang ramai yang mengikuti kes berkenaan tentu menganggap reputasinya sebagai ketua telah jatuh. Walaupun dibebaskaan daripada tuduhan rasuah, nama dan personalitinya telah pun terjejas. Namun hikmahnya sangat banyak iaitu beliau perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam adalah berdasarkan kekananan dan penilaian yang dibuat oleh ketua jabatan. 
 
Polisi perkhidmatan awam di Malaysia amat jelas dan sesekali tidak akan memberi peluang kepada keinginan peribadi melebihi keperluan negara. Hanya mereka yang layak dan berbakat wajar diberi perhatian untuk jawatan-jawatan utama dalam sektor awam.


No comments:

Post a Comment