Penyakit boleh menyerang sesiapa sahaja meski dengan amaran atau tanpa sebarang tanda. Seperti kanser yang menyerang isteri tercinta, tidak pernah kami menduga, tidak pernah kami meminta, penyakit datang sekelip mata.
Namun saya galas semuanya,
menjaga isteri sedaya upaya, agar dia kembali seperti sediakala.
Kami mendirikan rumah
tangga pada 1999 dan dikurniakan seorang anak lelaki. Isteri saya guru sekolah
dan saya pula pegawai di sebuah syarikat petroleum.
Episod kanser isteri saya
bermula pada 2008. Ketika itu, dia mengalami kencing berdarah.
Saya membawanya menjalani
pemeriksaan dan doktor mendapati buah pinggang sebelah kiri isteri saya agak
besar (hampir 13 sentimeter) berbanding sebelah kanan. Isteri saya disahkan
menghidap kanser buah pinggang.
Pada 2010, isteri
menjalani pembedahan membuang buah pinggang sebelah kirinya. Pasca pembedahan,
isteri nampak sembuh namun beberapa bulan selepas itu, dia mula hilang selera
makan dan demam. Tubuhnya jadi teramat letih dan seluruh badannya kekuningan.
Saya sedaya-upaya membawa
isteri berubat, berulang-alik ke hospital mendapatkan rawatan.
Semakin lama, keadaan
isteri bertambah tenat. Saya ambil keputusan berhenti kerja demi memberi 100
peratus perhatian kepadanya.
Pemeriksaan doktor
mendapati pankreas isteri saya telah rosak. Diabetesnya menunjukkan kandungan
tahap gula 17 hingga 19 dan tidak pernah turun akibat kerosakan pankreas.
Saya bawa isteri bertemu
pelbagai pakar untuk membantunya kembali pulih.
Pada 2011, doktor
menjalankan rawatan ke atas isteri saya berikutan buah pinggang dan pankreas
gagal berfungsi. Ketika itu, isteri saya koma selama seminggu.
Doktor panggil saya dan
memberitahu bahawa tahap penyakit isteri saya sudah kronik. Doktor mengesan
kanser sudah merebak ke seluruh anggota tubuhnya.
Saya tidak mampu berkata
apa-apa melainkan reda dan berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk
menghadapi dugaan getir ini.
Di samping menjaga isteri
yang sakit, saya perlu melakukan tugas harian, memasak, menghantar anak ke
sekolah dan segalanya. Saya tidak pernah berehat kerana perjuangan menyembuhkan
isteri tercinta, tidak perlukan rehat. Melihatnya kembali senyum, sudah cukup
menghilangkan segala lelah saya.
Pada masa isteri melalui
saat-saat kritikal, doktor mengesan satu lagi penyakit iaitu ketumbuhan dalam
bahagian kiri otaknya.
Ketika itu, hanya Allah
yang tahu perasaan saya. Namun, saya tabahkan hati dan kuatkan semangat. Bagi
saya, tiada yang mustahil dengan izin-Nya.
Setelah itu, isteri
menjalani rawatan radioterapi di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur.
Setiap hari, Isnin hingga Jumaat, lima kali seminggu. Ketika itulah isteri mula
mengalami kesan-kesan sampingan.
Dia tidak boleh mengunyah
makanan, percakapannya makin perlahan dan berat badannya susut mendadak.
Doktor memberitahu keadaan
isteri teramat tenat. Sel kanser telah merebak ke seluruh tubuh dan berada pada
tahap empat. Isteri saya koma bermula Februari sehingga Jun 2011.
Lebih perit, doktor yang
merawatnya memberitahu bahawa ilmu perubatan beliau hanya setakat itu sahaja.
Tiada lagi kaedah rawatan lain yang boleh digunakan kerana kanser yang dihidapi
isteri saya ketika itu telah merebak ke seluruh anggota badan.
Rawatan kemoterapi tidak
boleh diberi memandangkan keadaan tubuhnya yang sangat lemah.
Kanser tersebut merosakkan
organ utama tubuhnya. Bermula saat itu, saya bawa isteri pulang dan menjaganya
sendiri di rumah. Bermacam-macam ikhtiar saya lakukan.
Ketika itu juga ujian
berat datang menimpa keluarga kami. Kami hadapi kesulitan wang. Saya terpaksa
berniaga kecil-kecilan untuk menampung kos perubatan isteri.
Pada masa sama, kami
terima surat tuntutan hutang kad kredit isteri bernilai hampir RM20,000. Baki
hutang meningkat, dicampur faedah tahun ke tahun. Allah sahaja tahu penderitaan
kami ketika itu.
Pada April 2011, saya
kunjungi Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah. Mulanya, saya hanya bawa gambar isteri
berserta sebotol air kerana isteri saya sedang koma. Kemudian saya dukung dia
ke klinik untuk mendapatkan rawatan susulan.
Setiap kali rawatan, saya
terima beberapa ayat al-Quran untuk dibaca kepada isteri serta doa mohon
keberkatan dan rahmat Allah menyembuhkan penyakit isteri yang saya cintai.
Saya juga amalkan solat
malam, solat hajat dan segala zikir yang disarankan. Ketika itu, hati saya
terasa amat dekat dengan Allah. Saya serahkan urusan ini kepada-Nya. Saya
berdoa dengan penuh pengharapan agar Allah sembuhkan penyakit isteri saya.
Ketika itu jugalah saya
amalkan solat sunat taubat, menangisi kiranya ada dosa silam kami terdahulu
yang tidak disedari.
Setelah mengamalkan bacaan
ayat-ayat al-Quran ini, saya dapat lihat perubahan isteri. Dia mula sedar dan
mampu duduk. Ingatannya makin pulih, memori lama dia boleh ingat. Tangan dan
kakinya boleh bergerak. Isteri makin pulih dan boleh bertindak balas bila saya
bertanya.
Tidak lama kemudian dia
boleh bercakap. Derianya makin bertambah. Makan tidak lagi pakai tiub. Hanya
mata masih kabur. Perubahan itu beransur-ansur baik hari demi hari.
Saya tidak tinggalkan
amalan membaca al-Quran ini kerana saya yakin, inilah ubat yang saya cari
selama ini.
Ketika itu juga, pihak
bank menghantar surat melupuskan hutang kad kredit isteri. Saya menangis dan
bersyukur. Betapa Allah mendengar doa para hamba-Nya.
Memasuki 2013, meskipun
isteri sudah beransur baik, mampu mengunyah makanan sendiri, duduk di atas
kerusi roda, bercakap semula biarpun tersekat-sekat, saya masih tetap
meneruskan amalan bacaan al-Quran ini.
Itulah hikmah dugaan ini.
Kini, saya berasa lebih dekat dengan Allah dan kasih kepada isteri semakin hari
semakin bertambah.
Pada 21 Disember lalu,
saya bawa isteri menjalani ujian darah kanser antigen dan hasilnya:
Alpha-Fetoprotein pada tahap 1.8 (normal bawah 15), ujian CA 19.9 pada tahap
22.9 (normal bawah 37), ujian CA 15.3 pada tahap 14 (normal bawah 28) dan CA
125 pada tahap 21.8 (normal bawah 35).
Nasihat saya buat para
suami yang senasib dengan saya, jagalah isteri kita sebaik mungkin. Ini adalah
amanah Allah kepada kita.
(Utusan Malaysia, 13 Januari 2013)
nice story..jagalah keluarga
ReplyDelete