Friday, January 04, 2013

Remaja kahwin awal galas tanggungjawab besar





Kebanyakan ibu bapa di malaysia akan berasa cemas apabila mengetahui anak-anak remaja yang masih muda dan sedang belajar menyatakan hasrat hendak berkahwin. Biarpun kebanyakan daripada datuk dan nenek kita telah biasa dengan perkahwinan pada awal usia, cerita seperti ini semakin jarang dan janggal didengar. 
 
Sekali-sekala sahaja ada berita perkahwinan awal di akhbar melibatkan pasangan muda yang berusia 14 hingga 17 tahun. Bagi kita, usia 13 hingga 17 tahun adalah tempoh untuk belajar di sekolah, meneroka dunia remaja dan merancang strategi  masa depan.
 
Bagaimana remaja boleh bersedia untuk sebuah perkahwinan? Adakah mereka boleh dibenarkan untuk berkahwin pada usia muda?
 
Ada golongan yang berpendapat remaja tidak patut berkahwin kerana belum matang dari segi emosi dan masih mengharapkan orang lain untuk menguruskan keperluan hidup mereka. Mungkin hasrat hendak berkahwin ini disebabkan pendedahan kepada filem dan cerita fantasi melalui novel yang dibaca.
 
Pengalaman hidup yang dilalui melalui pendedahan tersebut berbeza bagi setiap remaja. Pada umur 13 tahun, remaja sudah bersedia keluar dari alam kanak-kanak untuk meniti usia matang dan dapat mengenal pasti kecenderungan jantina masing-masing.
 
Secara fizikal, remaja ini menyesuaikan diri dan mula mempelajari untuk menerima perubahan fizikal dan pengalaman tubuh badan. Sesetengahnya boleh menerima dengan cepat dan sesetengahnya tidak. 
 
Secara fizikal, kesan daripada umur baligh ialah kecenderungan remaja menunjukkan minat pada jantina berlawanan. Kehidupan kanak-kanak ditinggalkan sedikit demi sedikit dan mula meneroka kehidupan rakan-rakan yang sebaya.
 
Remaja juga lebih suka berinteraksi dengan rakan-rakan mereka berbanding ibu bapa tetapi masih menghormati kedua-duanya sebagai pemutus dalam sesetengah perkara. Adik-beradik yang lebih tua turut dilihat sebagai model kehidupan. Peringkat ini turut menjadi tempoh genting untuk perkembangan pemikiran mereka. Contohnya, mereka mula mempelajari pemikiran abstrak untuk berfikir secara rasional. Kebanyakan remaja mencapai perkembangan pemikiran rasional ketika berusia 24 tahun.
 
Umur 11 hingga 13 tahun adalah kurang sesuai untuk sebuah perkahwinan kerana kebanyakan aspek hidup belum bersedia. Keadaan fizikal, emosi dan pemikiran belum berkembang sepenuhnya, justeru mengambil tanggungjawab sebagai ibu atau bapa hanya menyumbang kepada kesusahan hidup yang bakal dihadapi.
 
International Center for Research on Women menyatakan terdapat tekanan ke atas remaja perempuan yang berkahwin pada usia muda kerana keadaan fizikal mereka belum bersedia. Mereka yang berumur 15 tahun berhadapan dengan kematian ketika kelahiran yang lebih tinggi berbanding wanita berusia 20 tahun. Anak yang lahir juga berisiko belum matang dan kurang berat badan. 
 
Selain kesihatan, terdapat kesan sosial yang berterusan. Pertama ialah minat terhadap persekolahan mulai pudar dan tidak berminat dengan pendidikan. Masa depan mereka akan terjejas dan peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik semakin tipis.
 
Risiko kehilangan rakan-rakan sebaya turut tinggi kerana topik perbualan orang bujang dan pasangan berkahwin adalah berbeza. Remaja yang bersekolah sedang meneroka ilmu baru, mengadakan perbincangan dan mencari penyelesaian terhadap sesuatu isu tanpa memikirkan hal-hal rumah tangga.
 
Ikatan kekeluargaan pada fasa ini lebih mencabar kerana ibu bapa tidak lagi bertanggungjawab menguruskan kehidupan anak-anak yang telah berkahwin. Malah risiko yang sedang menanti akibat pengurusan keluarga yang lemah ialah perceraian. Pasangan muda yang sering kali gagal memenuhi tanggungjawab dan menggunakan kematangan fikiran untuk berhadapan dengan cabaran hidup mudah mengambil keputusan bercerai.
 
Kualiti hidup juga merosot apabila mendapat anak yang ramai khususnya bayi pramatang yang memerlukan kos rawatan dan perhatian. Dari sini, kitaran ganas kemiskinan akan bermula dan memberi beban kepada masyarakat.
 
Biasanya pasangan suami isteri remaja tidak melengkapkan alam persekolahan. Mereka teruja dengan perkahwinan namun merasai pengalaman sebenar hidup apabila berhadapan dengan kehamilan dan kos hidup yang meningkat. Komitmen besar sedang menanti sebaik sahaja berlaku kelahiran.
 
Pendidikan merupakan kunci kepada keberkesanan pemerkasaan remaja khususnya remaja perempuan untuk mengakses ruang hidup yang lebih baik. Kesedaran terhadap tanggungjawab bergerak seiring dengan tahap pendidikan yang diterima. Mendidik kanak-kanak hingga ke peringkat universiti dan bersedia dengan cabaran adalah lebih memudahkan hidup ibu bapa.

 

No comments:

Post a Comment