Wednesday, January 09, 2013

Bantu polis jejak penjenayah





Kisah banduan atau tahanan melarikan diri daripada pengawasan polis amat jarang kita dengar. Seorang dua tahanan yang berjaya melarikan diri ini biasanya dapat ditangkap semula dan dibicarakan dengan sempurna. Biasanya tahanan berjaya melarikan diri akibat kecuaian polis pengiring atau keadaan luar biasa seperti kenderaan yang membawa mereka terbabas dan peluang melarikan diri terbuka luas. Bagaimanapun Standard of Procedure (SOP) pihak polis sangat tinggi untuk mengawal sebarang kejadian melarikan diri daripada kerap berlaku.

Namun tujuh tahanan meloloskan diri dari kenderaan polis adalah luar biasa. Kejadian di Pulau Pinang itu menunjukkan SOP yang diguna pakai perlu dirombak apabila melibatkan pergerakan ramai tahanan kerana membawa ramai tahanan dengan kawalan yang minimum boleh mengundang padah.

Kehilangan tahanan-tahanan itu memberi kesan besar ke atas kredibiliti pasukan polis dalam mengurus penjenayah berbahaya. Ia juga turut menjejaskan keselamatan penduduk sekitar tempat kejadian kerana setiap orang tidak kira umur akan berasa terancam takut-takut rumah mereka menjadi sasaran penjenayah untuk bersembunyi. Penjenayah ini boleh melakukan apa sahaja bagi mengelak dari ditangkap. Mereka boleh menculik anak-anak sebagai tebusan, mengugut warga emas atau merompak wang untuk keluar dari kawasan tersebut. Andainya tuntutan tidak dipenuhi, mereka ini tidak teragak-agak mendatangkan kecederaan kerana ada antara mereka ini yang pernah memukul orang dan membunuh.

Menjejak seorang demi seorang penjenayah bukannya mudah. Mengerahkan lebih ramai anggota polis adalah langkah awal untuk menghalang penjenayah tersebut melepasi sempadan kawasan terlibat. Sekatan jalan raya dan mengedarkan poster suspek adalah langkah segera tetapi melibatkan kos yang perlu ditanggung oleh polis. Namun ada langkah lain yang boleh diminta oleh polis untuk mempercepat gerakan mencari dan memburu suspek.

Bantuan paling penting ialah keluarga dan saudara-mara tahanan yang melarikan diri. Mereka perlu dihubungi serta-merta bagi memaklumkan perkembangan terbaru operasi polis di samping bersedia dengan sebarang bentuk komunikasi daripada penjenayah. Jaminan polis untuk membantu keluarga  penjenayah tentu memberi keyakinan untuk mereka menyalurkan maklumat.

Orang ramai di sekitar kawasan kejadian wajar didekati dan diberi penerangan. Sebuah bilik gerakan yang melibatkan koordinasi polis-rela-Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) peru segera diaktifkan supaya rondaan dapat diselaraskan. JKKK boleh menjadi mata dan telinga pasukan polis untuk memberi maklumat baru bagi mengesan kehadiran orang asing di kampung masing-masing.

Bantuan media amat penting. Sebaik sahaja berita tahanan melarikan diri diketahui, perkembangan kejadian sentiasa dikemas kini melalui siaran dalam talian akhbar. Berita di televisyen dan radio turut memuatkan perkembangan kes berkenaan supaya orang ramai berwaspada.

Pelarian tahanan polis ini cukup menjadi iktibar khususnya pelaksanaan SOP yang berkesan. Hidup anggota polis yang terlibat dalam kes ini tentu tidak tenteram selepas dipukul dan mungkin juga dikenakan tindakan akibat kecuaian. Jika Mas Selamat boleh meloloskan diri dan hilang selama setahun, bagaimana pula dengan tujuh penjenayah berbahaya yang melarikan diri itu?

Kita tidak ada masa lagi untuk berdebat siapa yang betul dan siapa yang salah. Kerjasama semua pihak amat perlu ketika ini bagi menangkap tahanan yang melarikan diri itu.


 

No comments:

Post a Comment