Tuesday, December 25, 2012

Kumi Naidoo dan Greenpeace






oleh Karim Raslan

Memang tidak dapat dijangka bahawa kritikan terhebat ke atas Pengarah Eksekutif Greenpeace International, Kumi Naidoo, dilemparkan oleh penggerak alam sekitar itu sendiri.

Hal ini mencerminkan bahawa pembaharuan operasi dilaksanakan Greenpeace, biarpun kecil, adalah penting. Sedangkan sebelum ini, pergerakan tersebut bersikap anti-korporat dan anti-pembangunan.

Begitu pun, pendekatan yang lebih menjurus ke arah negara-negara maju kini dilihat kurang sesuai tatkala pasaran ekonomi global – khususnya China, India, Indonesia dan Brazil – semakin pesat membangun.

Apatah lagi, kesanggupan Greenpeace untuk mendekati bekas “musuh” mereka adalah suatu perkembangan menarik bagi sebuah negara seperti Malaysia yang kini rancak membangun dan masih menekankan aspek keseimbangan alam sekitar.

Namun demikian, Kumi Naidoo, warga Afrika Selatan dengan retorik anti-kemiskinan, telah dikritik hebat oleh sebilangan pemimpin Greenpeace sebelumnya seperti Paul Watson, bekas Pengarah dan Pengasas Greenpeace yang merasakan bahawa Kumi tidak cocok dengan Greenpeace.

Tentu sekali ia bukanlah suatu yang mudah untuk mengimbangi perbezaan realiti dunia. Sewaktu pertemuan kami di United Nations Environment Programme di Abu Dhabi awal Disember lalu, beliau berkongsi dengan saya tentang betapa pentingnya pelaksanaan game-plan beliau.

Sejak tiga tahun lepas, Kumi menjadi perwakilan tetap di pelbagai persidangan global, dari Copenhagen hinggalah ke Doha.

Dalam usia mencecah lewat 40-an, Kumi menerapkan segala pengalaman aktivis beliau selama lebih 30 tahun dalam usahanya menggiatkan Greenpeace.

Sesungguhnya, pendekatan Greenpeace yang bersifat aman dan harmoni – ditambah lagi dengan pengalaman beliau yang cukup luas dalam menyemarakkan semangat aktivisme masyarakat semasa era perjuangan anti-Apartheid serta pengalaman menjadi Setiausaha Agung CIVICUS (World Alliance for Citizen Participation) – menjadi unsur penting dalam mengubah persepsi terhadap Greenpeace di kalangan penduduk Dunia Ketiga.

Justeru, Greenpeace kini sekurang-kurangnya memperoleh “suara” di beberapa negara seperti Rusia, Brazil dan India.

Beliau menjelaskan: “Di Greenpeace, kami berpandangan kemusnahan dan kepupusan hutan menjejaskan masyarakat, terutama penduduk miskin. Kami telah bekerjasama dengan penduduk tempatan memperjuangkan aspirasi mereka dalam meningkatkan taraf kehidupan.”

Pengalaman formatif Kumi di Afrika Selatan (beliau dibuang dari sekolah pada usia 15 tahun kerana terlibat dengan demonstrasi) jelas membentuk pandangan beliau tentang dunia, sekali gus jadikan beliau seorang yang petah dan cekap dalam berkomunikasi.

Selain itu, keupayaan beliau menerapkan kemahiran aktivisme beliau di peringkat tempatan dan global telah membuatkan Greenpeace lebih dikenali masyarakat – tidak kira di Kenya, Greenland atau Ecuador.

Kumi, amat berbangga dengan pencapaian Greenpeace di negara tetangga kita iaitu Indonesia, namun akur masih ada kelemahan di sebalik pencapaian itu.

Apabila saya bertanya mengenai Malaysia kepada Kumi, beliau tampak kurang pasti. Namun menjawab melalui e-mel: “Kami mengalu-alukan komitmen Malaysia untuk mengurangkan paras pembebasan karbon kepada 40 peratus berbanding paras pada 2005; komitmen tambahan untuk mengisytiharkan 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai hutan simpan; enakmen undang-undang pemeliharaan tenaga pada 2011; dan pelaksanaan carbon disclosure project (CDP).”

Namun, beliau sedar akan batasan yang wujud apabila berkempen di negara-negara membangun: “Pada hakikatnya, sejak kejatuhan Tembok Berlin, kebanyakan negara mengamalkan demokrasi tanpa sebarang elemen kukuh serta adanya pelbagai cabaran yang harus ditempuh.”

Walau bagaimanapun, beliau masih yakin dan dapat melihat perubahan ketara di kalangan masyarakat - sama ada di Sao Paulo, Jakarta atau Amsterdam – dalam menangani isu-isu alam sekitar.

Jelas Kumi: “Anda harus sedar Greenpeace mendapat peningkatan sokongan daripada penduduk tempatan Indonesia. Hal ini menjadi suatu bukti yang menepis pandangan stereotaip masyarakat yang beranggapan bahawa hanya penduduk negara maju prihatin terhadap alam sekitar.”

Sebagai negara yang beraspirasi menjadi maju, Malaysia harus lebih peka terhadap alam sekitar, dan pasti satu hari nanti akan muncul tokoh-tokoh 'hijau' yang menjadi penggerak politik arus perdana.


(Sinar Harian, 25 Disember 2012)

 

No comments:

Post a Comment