oleh Maulana Ariff
Tamadun dalam bahasa Melayu secara lumrah ditakrifkan sebagai kemajuan
sesuatu bangsa, negara atau masyarakat.
Berasal dari perkataan Arab, istilah tamadun menurut laman maya Pusat
Rujukan Persuratan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud ‘‘cara hidup yang
serba berkemajuan; peradaban. bertamadun sudah maju dalam cara hidup;
berkemajuan; beradab.”
Tamadun dalam bahasa Inggeris ialah civilisation. Jika dirujuk kepada
kamus-kamus bahasa Inggeris, huraian maksudnya adalah sama dengan huraian DBP.
Persoalannya, apakah bentuk peradaban dan cara hidup yang menjadi kayu
ukuran? Di kalangan masyarakat Islam di Malaysia, istilah tamadun juga diterima
pakai sebagaimana huraian DBP yang pasti turut dipengaruhi oleh kamus-kamus
bahasa Barat.
Maka ketamadunan lumrah diukur berdasarkan kemajuan dari segi
pembangunan fizikal, peradaban dan budaya manusia sejagat, bukan dari sudut
ketentuan Allah yang bersumberkan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.
Secara mudah, seseorang yang bertamadun akan dinilai dari segi kemampuan
ekonominya, pendidikan duniawinya, status sosial dan akhlak sejagat. Adakah
matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020 juga berasaskan
nilai tamadun sejagat ini, atau kita hanya bersandarkan kepada pencapaian
ekonomi?
Jika kita terus menerus menilai tamadun dengan acuan ini, maka kita
sebenarnya hanyalah pak turut kepada nilai-nilai sogokan Barat yang subur di
Eropah. Nilai-nilai ini mula diterapkan ke benua lain melalui penjajahan
bersenjata pada zaman Roman, diikuti kolonialisme Britain, Belanda, Sepanyol,
Perancis dan Itali.
Seorang pemikir dan penulis Islam yang masyhur, Muhammad Asad telah membuat
catatan menarik mengenai perkara ini dalam buku klasiknya The Road to Mecca
yang diterbitkan pada 1954. Petikan yang relevan itu hamba terjemahkan di sini:
‘‘Sejak zaman Greek dan Rom, para pemikir dan sejarawan Eropah lebih
cenderung untuk melihat sejarah dunia dari sudut pandangan dan kehendak sejarah
Eropah serta pengalaman budaya Barat semata-mata. Ketamadunan bukan Barat hanya
akan dijelmakan ke dalam perspektif mereka jika kewujudannya atau sebarang
pergerakan di kalangan penduduknya telah atau mungkin mempengaruhi secara
langsung nasib orang Barat; maka dari kaca mata Barat, sejarah dunia dan
kepelbagaian budayanya hanyalah titik terakhir dalam sejarah perkembangan
Barat.”
Akhbar
Muhammad
Asad berketurunan Yahudi dilahirkan di Austria dengan nama Leopold Weiss.
Beliau bertugas sebagai wartawan dengan beberapa akhbar terkemuka Eropah
sebelum memeluk Islam dan berhijrah ke Mekah kerana katanya berasa muak dengan
‘‘kekosongan hidup masyarakat Eropah yang terlampau mengejar kemewahan dunia
dengan penuh ketamakan.”
Betapa
pengamatan yang dicatatkan pada tahun 1954 itu masih relevan hingga sekarang.
Bahawa istilah tamadun, sama ada dari sudut ilmu atau amalinya, masih dalam
acuan Barat sekalipun di dunia Islam.
Lalu
kita pun mahu mengejar ketamadunan mengikut acuan Barat, iaitu kemajuan
lahiriah yang berpaksikan pembangunan ekonomi. Dalam proses ini, kita
berkemungkinan mengorbankan identiti budaya, politik dan sosial asal kita. Jika
tidak berwaspada, akhirnya institusi agama Islam yang kita dakap juga akan
runtuh.
Lihatlah
betapa gelombang demokrasi dan kebebasan acuan Barat yang dipacu oleh sistem
ekonomi kapitalisme telah meruntuhkan sistem pemerintahan yang sedia ada di
beberapa negara Islam. Sama ada ia berlaku kerana kesalahan atau kesilapan presiden-presiden
yang memerintah, perkara ini masih jadi bahan perbahasan.
Malah
golongan raja yang masih memerintah di beberapa negara Islam juga dalam keadaan
gelisah kerana dihambat rasa tidak selamat.
Yang
nyata gelombang demokrasi, kebebasan dan kapitalisme ini lebih hebat daripada
arus komunisme yang gagal dalam percubaan untuk berkembang ke negara-negara
Islam di Asia Timur dan Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan Indonesia.
Komunisme yang berpusat di Rusia hanya berjaya menakluki beberapa negara Islam
berhampiran Asia Tengah (Kazakhstan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan).
Sebaliknya
sistem demokrasi, kebebasan dan kapitalisme acuan Barat itu telah berjaya
menembusi tempat-tempat di mana komunisme menemui kegagalan. Komunisme gagal
kerana prinsip keadilan untuk semua yang dilaungkan hanyalah retorik yang tidak
menjadi kenyataan. Pada realitinya, ia menyekat perkembangan ekonomi dan
akhirnya menyempitkan rezeki rakyat.
Ledakan
kemajuan ICT turut memberikan dimensi baru kepada demokrasi dan kebebasan bersuara.
Dibawa bersamanya suara hak asasi manusia termasuk gelombang seksualiti sejenis
yang kuman-kumannya sudah pun merebak ke Malaysia. Inilah realiti yang kita
hadapi pada hari ini dan mungkin lebih tenat pada masa akan datang.
Umat
Islam di Malaysia wajar mencemburui segala anasir dan nilai acuan Barat yang
mudah dibawa masuk melalui lorong demokrasi, kebebasan, kapitalisme dan hak
asasi ini. Jika kita tidak berwaspada, institusi agama Islam juga boleh runtuh.
Kita masih boleh menimba ilmu untuk kehidupan dunia (sains dan teknologi, ilmu
perniagaan dan sebagainya) dengan syarat kita menapis segala nilai-nilai yang
bertentangan dengan syariat Islam.
Maka
dari sudut ilmiahnya, kita wajar menakrifkan semula istilah tamadun supaya
benar-benar menepati kehendak Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam Quran
dan dihuraikan melalui sunah Nabi Muhammad SAW.
Ketamadunan
acuan Barat sangat dipacu oleh ketamakan kepada kekayaan duniawi. Ia
berpaksikan prinsip ‘siapa yang kaya akan lebih berkuasa.’ Kekuasaan Ilahi
tidak wujud lagi dalam kerangka istilah ketamadunan Barat ini.
Pendokong-pendokong konsep tamadun Barat melalui media baru yang bebas tanpa
sempadan dengan rakus melaungkan slogan-slogan mudah memikat nafsu manusia yang
tidak beriman.
Sebab
itulah kita lihat sudah tampil orang Melayu yang mempunyai kedudukan dan
pengaruh turut menyuarakan sokongan kepada Program Seksualiti Merdeka. Mereka
termasuklah tokoh politik lelaki dan wanita ternama yang mempunyai kelibat
penglibatan dengan projek-projek golongan ‘Islam liberal.’
Kesenangan
Akhir
kalam, renungliah maksud ayat 26 surah Ar Ra‘d sebagai panduan kehidupan di
dunia ini.
‘‘Allah
meluaskan dan menyempitkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Mereka (yang
ingkar) bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu tidak
lain hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding kesenangan
akhirat .”
Jika
kita beriman kepada firman Allah ini, maka wajib ditulis semula takrif tamadun
supaya sejajar dengan bait doa dari al Quran (Al Baqarah 2: 201) yang lazim
dibaca selepas solat: Rabbana atina fidunya hasanah, wafil akhirati hasanatan
waqina azabannar (Ya Tuhan, berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat,
dan peliharalah kami kami dari azab neraka).
Tamadun
inilah yang junjungan kita Nabi Muhammad SAW telah gariskan ketika empayar Rom
sedang menuju ke kehancurannya. Kenapa kita mahu melupai sejarah ini?
(Utusan
Malaysia, 20 November 2011)