Friday, November 18, 2011

UPSR, Terengganu ada 3 resepi


Terengganu unggul sekali lagi dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010. Sudah sebelas tahun berturut-turut pelajar-pelajar tahun enam yang berjaya menunjukkan pencapaian cemerlang ini, suatu rekod yang mesti dicemburui oleh negeri-negeri lain. Kegembiraan jelas terbayang di wajah para pelajar dan turut dirai oleh guru dan ibu bapa. Sambil memegang kertas keputusan peperiksaan, ada pelajar yang menitiskan air mata gembira, mengucapkan tahniah sesama sendiri dan memeluk erat rakan-rakan di sekitar mereka.

Terengganu diletakkkan sebagai negeri kedua paling miskin selepas Sabah. Namun kemiskinan ini tidak menghalang para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh, merealisasikan harapan ibu bapa dan guru serta menyemarakkan cita-cita tinggi untuk mengubah masa depan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin turut teruja dengan kejayaan dan pencapaian pelajar dalam UPSR kali ini merumuskan bahawa terdapat nilai-nilai kecemerlangan yang boleh dicontohi oleh negeri-negeri lain. Umumnya, meraih kecemerlangan perlukan kerja kuat, masa yang lebih banyak untuk mengulangkaji dan tumpuan khusus kepada teknik menjawab soalan. Dalam kes Terengganu, kita boleh meletakkan kejayaan pelajar kepada tiga faktor utama. Pertama, membangunkan sepenuhnya modal insan. Kedua, meningkatkan sokongan melalui modal sosial dan ketiga, menggerakkan fungsi struktural sebagai pelengkap kepada pencapaian yang cemerlang.

Pelajar adalah modal insan yang diberi perhatian. Mereka didedahkan dengan ciri-ciri kecemerlangan, teknik menjawab soalan dan jati diri yang kental. Pemikiran mereka ditanam dengan jiwa perjuangan supaya tidak mudah kalah untuk bersaing merebut kejayaan. Individu yang menjadi tumpuan ini ditatang sebaik-baiknya supaya tidak mudah alah kepada serangan minda yang melemahkan daya juang.

Ibu bapa dan guru adalah modal sosial yang banyak mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku pelajar. Sokongan lisan dan dorongan jiwa sentiasa memberikan perangsang kepada pelajar untuk mengekalkan usaha mereka. Mungkin ada ibu bapa yang menemani anak ketika belajar sehingga dua tiga jam supaya anak tidak berasa keseorangan. Ada ibu bapa yang tidak berkira dengan wang ringgit apabila menghantar anak-anak ke kelas tuisyen setiap malam. Ada pula yang menghantar anak-anak ke kursus kemahiran belajar supaya dapat menjawab peperiksaan mengikut teknik yang betul. Pendek kata, ibu bapa sanggup bersama-sama dengan anak-anak seolah-olah mereka pula yang akan menduduki peperiksaan. Kesedaran beginilah yang patut ada dalam diri ibu bapa supaya masa depan anak-anak akan terjamin dengan mendapat keputusan yang cemerlang.

Peranan guru sangat penting. Didikan guru membentuk karektor dan cara fikir pelajar. Tentulah kecemerlangan pelajar di Terengganu dipelopori oleh guru-guru yang memiliki cara fikir juara. Guru juga bertungkus lumus memberi pengajaran dan kefahaman supaya pelajar dapat berfikir ketika menjawab peperiksaan, bukannya meminta pelajar menghafal kandungan buku teks. Keupayaan guru mengenal pasti masalah dan keperluan menjadi nadi kepada tindakan ibu bapa untuk mengambil tindakan seterusnya.

Jabatan pelajaran negeri dan kerajaan negeri berfungsi sebagai fungsi struktural iaitu memberi bantuan secukupnya kepada pelajar untuk selesa dengan proses pembelajaran. Bantuan dan sokongan kewangan, tenaga pengajar dan program peneguhan jati diri menjadi ramuan kepada kejayaan pelajar UPSR seluruh Terengganu.

Gabungan modal insan, modal sosial dan fungsi struktural dilihat menjadi faktor kepada kejayaan mengekalkan keputusan yang cemerlang pada tahun ini. Apa yang penting ketika ini ialah mengekalkan usaha yang telah disediakan supaya momentum kejayaan akan terus disambar pada tahun depan. 

No comments:

Post a Comment