Wednesday, November 09, 2011

Hebat dengan ibadah korban




Tahun ini saya menyambut Hari Raya Haji di Surau Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor kerana kemeriahan sambutannya yang berbeza. Jika tahun lepas 20 ekor lembu telah dikorbankan, tahun ini berkurangan. Dua belas ekor sudah memadai kerana kawasan sembelihan semakin kecil disebabkan pembinaan surau tambahan sedang diusahakan. Masyarakat setempat memilih hari kedua untuk majlis korban.

Dua belas ekor bermakna 12 kumpulan. Setiap bahagian berharga RM400 dan lembu-lembunya pun sihat dan segar. Kali ini jawatankuasa korban mendatangkan lembu dari kawasan felda berdekatan supaya urusan pengangkutan dan upah kepada petugas dapat diminimumkam. Sesetengah kawasan, urusan korban perlu mengambil kira upah sembelih dan bayaran kepada petugas menyebabkan harga lembu korban meningkat kepada RM430 untuk satu bahagian.

Majlis korban adalah sebahagian daripada akidah umat Islam yang disambut sejak zaman Rasulullah SAW. Keimanan dan ketaqwaan umat Isalam seluruh dunia dizahirkan melalui sembelihan binatang korban yang terbaik, tidak ada cacat atau sakit. Ketika sembelihan, takbir akan dikumandangkan dengan harapan sembelihan berkenaan akan diganjarkan di akhirat kelak. Setiap tahun umat Islam berlumba-lumba mengadakan majlis ini supaya dapat dijadikan bukti keimanan dan ketaqwaan mereka kelak. Justeru umat Islam akan mencari kawasan lapang, padang sekolah, kawasan surau atau masjid untuk melaksanakan suruhan agama ini.

Dari China hingga benua Afrika, darah daging korban tumpah ke bumi dan menjadi saksi bahawa agama ini akan terus diamalkan dan semakin kuat mengetuk hati-hati manusia yang keras dan jahil dengan falsafah pengorbanan. Di negara kita, kedapatan seorang dua yang begitu lantang memperlekeh dan mengutuk amalan korban ini. Katanya perbuatan ini tidak bertamadun dan suatu kezaliman ke atas binatang. Kepada mereka kita katakan ‘Apakah perasaan anda apabila ada manusia yang sanggup menyembelih manusia lain, apakah yang disembelih itu seperti binatang?’ Itulah yang berlaku ke atas umat Palestin yang saban hari disembelih oleh Yahudi di Israel. Peristiwa paling dahsyat ialah pembunuhan dan penyembelihan di Sabra dan Shatila yang diabadikan oleh Zubir Ali dalam lagunya.

Mayarakat yang bencikan hari raya korban menggunakan internet melalui blog-blog tertentu yang diketahui anti kepada Islam dan masyarakatnya. Penulis-penulis yang terlibat dan pemberi ulasan terhadap artikel-artikel yang disiarkan pada hakikatnya adalah gambaran terhadap keresahan mereka dengan kebangkitan kesedaran beragama Islam. Biar pun sejuta kali mereka menyumpah majlis korban, ia tidak sedikit pun mematah semangat umat Islam untuk terus mencari lembu dan kambing bagi dikorbankan pada tahun depan.

Kerajaan wajar lebih tegas bertindak jika masih ada masyarakat yang mempertikaikan majlis korban ini kerana sesungguhnya Islam adalah tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam. Ketegasan inilah yang kita nantikan supaya Islam dihormati dan masyarakatnya lebih maju ke hadapan.

No comments:

Post a Comment