Saturday, November 05, 2011

Banjir, PPSMI, warga Iran





Dalam tempoh dua tiga hari ini, banyak isu yang melibatkan masyarakat Malaysia menjadikan kita resah dan gelisah. Pertama, amaran banjir oleh Majlis Keselamatan Negara. Hujan dijangka turun lebih banyak di Perlis dan Kedah, suatu tanda yang jelas harga beras akan naik. Selepas Bangkok menjadi lautan daratan yang memusnahkan bandar, kampung, industri dan hiburan, persediaan kerajaan untuk menghadapi banjir besar tahun ini telah bermula.


Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan telah dipanggil untuk diberi penerangan tentang keadaan banjir kali ini. Seterusnya jentera bantuan sedang digerakkan khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti di kawasan pinggir sungai. Sebenarnya lebih banyak persediaan yang perlu dilakukan untuk berhadapan dengan keadaan banjir ini dan berhadapan dengan mangsa banjir kelak. 


Petugas akan letih dengan operasi bantuan banjir kerana tidak cukup tidur dan makan tidak menentu. Di sebelah siang akan membantu pemindahan, sebelah malam akan berhadapan dengan rungutan mangsa banjir yang tidak selesa di pusat pemindahan banjir. Bukan itu saja, lebih banyak masalah yang muncul sehari demi sehari jika petugas tidak ada kemahiran mengurus konflik. 


Kita biarkan hal banjir ini kerana semua orang sedang mengambil langkah-langkah wajar untuk menghadapinya. 


Kedua, isu sains dan matematik. Ada dua golongan yang sedang bertarung untuk menegakkan pendirian. Satu yang sokong dan satu lagi menentang. Ketegasan Timbalan Perdana Menteri dalam isu ini memihak kepada kelompok yang menentang. Sama ada penyokong dan penentang, kedua-dua kelompok ini tidak pernah menyalahkan orang yang memperkenalkan dasar tersebut. Selepas keyakinan yang singkat terhadap PPSMI, ia menjadi polemik yang tidak sudah selepas dimansuhkan. Ia tidak dimansuhkan serta-merta sebaliknya dibenarkan sehingga 2016 untuk sekolah rendah dan 2021 untuk sekolah menengah.


Kejayaan dalam pendidikan bergantung kepada kepintaran, persekitaran, baka dan sikap pelajar. Pelajar yang lemah boleh berjaya jika dapat dididik dalam bahasa yang mereka fahami.


Ketiga, pengedaran dadah dalam kalangan warganegara Iran semakin meningkat. Kenapa ia berlaku? Jawapan paling senang ialah ada permintaan, jika tidak, masakan begitu ramai yang kena tangkap? Pelajar dan komuniti Iran semakin ramai di Malaysia. Apakah kelompok ini yang menjadi sasaran pengedar dadah? Wallahu a'lam. Apakah kita mahu Malaysia menjadi tersohor kerana ramai yang mengedar dadah? Walaupun hukuman mati untuk pengedar dadah, kenapa masih ramai yang mahu mengedarnya?

 

No comments:

Post a Comment