Tuesday, November 15, 2011

Mencari penyelesaian masalah


Setiap minggu terdapat sekurang-kurangnya satu isu besar berkaitan masyarakat yang berunsur negatif. Baru-baru ini satu kelompok yang bergerak atas platform hak asasi manusia telah menghebohkan program mereka kepada umum. Ternyata penganjur Seksualiti Merdeka 2011 telah berani mendedahkan kegiatan yang dikatakan telah dimulakan sejak tahun 2008. Mereka berhasrat mengenengahkan isu-isu yang dihadapi oleh kelompok lesbian, biseksual, gay dan pondan untuk mendesak masyarakat menerima amalan songsang dalam kehidupan harian, tempat kerja dan aktiviti yang dianjurkan.

Ketegasan kerajaan menghalang penganjuran ini telah menyelamatkan masyarakat umum daripada dipaksa menerima amalan yang tidak bermoral dan sedang berkembang biak di sebelah barat. Begitu juga penegasan pertubuhan politik, pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin dan individu-individu yang memperjuangkan keharmonian masyarakat telah dapat melumpuhkan seketika minat masyarakat terasing terhadap akhlak yang menyebabkan masyarakat Nabi Nuh a.s dimusnahkan Allah swt.

Minggu ini pula heboh tentang kumpulan kongsi gelap yang bergelar ‘Genki Seven’ yang dikatakan diketuai seorang pemuda Melayu. Keberanian kelompok ini membuat program secara terbuka untuk mencari pengikut sangat menghairankan kerana kenapa begitu mudah orang ramai terjebak dalam kegiatan kongsi gelap ini. Sejauhmana parahnya masyarakat kita untuk hidup dalam suasana harmoni dan beragama? Adakah dengan menganggotai kongsi gelap semua masalah hidup akan selesai? Andai kata semakin ramai golongan muda-mudi memilih kongsi gelap dan kelompok songsang sebagai kelompok sandaran, sedikit demi sedikit masyarakat akan berkembang menjadi sebuah komuniti yang rosak dan senget sebelah. Tidak tahu ke mana hendak dituju dan mendedahkan negara kepada penjajahan bentuk baru khususnya pemikiran dan budaya.

Malaysia telah menjangkau 55 tahun merdeka negara tetapi belum tentu dapat mempertahankan kemerdekaan fikiran, jiwa dan jati diri. Kita masih lagi bergelut dengan bebagai-bagai masalah yang belum menunjukkan kehebatan kita sebagai sebuah bangsa yang merdeka. Jika rakyat Tunisia, Mesir dan Libya meraikan kebebasan daripada cengkaman pemimpin negara yang rakus dan sombong, rakyat Malaysia sedang berusaha membebaskan diri daripada memandang rendah bahasa sendiri.

Nasib bahasa Melayu belum tentu akan cemerlang pada masa depan biarpun orang luar mengakui bahasa ini pernah menjadi bahasa perdagangan suatu masa dulu. Bahasa ini jugalah yang menjadi penyatu dan penghubung perpaduan masyarakat pelbagai etnik di Indonesia.  Kelompok yang ingin meletakkan bahasa Melayu di samping dalam pendidikan negara tentu tidak bepuas hati apabila kerajaan tidak mewajibkan bahasa Inggeris untuk sains dan matematik di sekolah. Mereka terus mendesak kerajaan untuk melaksanakan dasar ini yang ternyata telah gagal di Indonesia. Apakah yang mereka mahu sebenarnya?

Isu-isu masyarakat akan terus muncul satu demi satu setiap masa. Pelbagai ragam dan cara supaya pemikir-pemikir dan bijak pandai akan teus memberi penyelesaian yang adakalanya sebagai ubat dan ada kalanya sebagai racun. Melihat kepada masalah dan mencari punca kepada masalah adalah mudah tetapi mencari penyelesaian hakiki adalah yang paling susah.

No comments:

Post a Comment