Friday, November 11, 2011

Madrasah Ikhwan Muslimin






Yusuf Al Qardhawi menulis buku “Aku dan Al Ikhwan Al Muslimin’ menceritakan pengalamannya bersama pertubuhan itu. Buku ini tebal iaitu 364 muka surat tetapi sarat dengan pengalaman dan kisah-kisah cabaran menjadi anggota Ikhwan Muslimin. Topik yang memberi impak besar kepada saya ialah ‘Pendapatku tentang Ikhwan’ pada muka surat 39. Catatan menariknya berkaitan faedah yang beliau dapat selepas lima tahun menyertai dakwah dan aktiviti Ikhwan.

Terdapat lima faedah besar untuk dirinya yang kita boleh kongsi bersama. Pertama, Ikhwan meluaskan pemikiran tentang Islam sebagai sebuah syariat hidup, bukan bersifat simbolik seperti yang difahami oleh sebahagian besar umat Islam. Kedua, kewajipan amal jama’i (kerja secara kolektif) mengembalikan kemenangan Islam melalui kata-kata, perbuatan, dakwah dan pengorbanan. Seseorang akan lemah apabila bersendirian tetapi kuat apabila beramai-ramai. Allah juga bersama dengan jemaah.

Ketiga, berubah daripada hanya seorang penasihat dan penceramah agama kepada  seorang pendakwah Islam. Beza seorang penceramah dan pendakwah sangat jelas. Penceramah agama mampu melembutkan hati, mengingatkan orang kepada kematian, menggunakan kisah-kisah, hadis-hadis motivasi dan peringatan, sedangkan pendakwah Islam mempunyai misi untuk mencerdaskan fikiran, menyentuh perasaan, menguatkan tekad, meninggikan cita-cita, mengerah tenaga, menghimpun kekuatan, menguatkan ikatan dan mengumpulkan umat Islam untuk mengorbankan segala yang termampu untuk berjuang di jalan Islam.

Keempat, bergabung dengan Ikhwan menjadikan cita-citanya besar dan global. Kehidupan dan masalah tidak berlegar di sekelilingnya malah cita-cita hidupnya adalah berkaitan dengan umat. Impiannya ialah mengusir pemikiran dan sistem serta undang-undang konvensional yang menerapkan pemikiran, sistem hukum Islam yang menggantikan tempatnya. Kelima, membebaskan mahasiswa Al- Azhar daripada terus terasing dalam masyarakat kesan daripada sistem pembelajaran yang tidak menyeluruh. Justeru tidak ada perbezaan antara seorang yang memakai serban dan memakai topi, antara seorang sheikh dan seorang guru.

Madrasah Ikhwan Muslimin telah mengubah pemikiran, sikap dan kehidupan Yusuf Al Qardhawi. Pandangannya terhadap umat menjadikannya sentiasa ghairah dan menunggu-nunggu kemenangan Islam. Usahanya luar biasa dan tidak pernah letih dengan mengajak masyarakat Islam kembali kepada kefahaman Islam yang sahih dan jelas.

No comments:

Post a Comment