Saturday, November 12, 2011

Kelebihan Sayyidina Abu Bakar






Sayyidina Abu Bakar As Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW yang paling rapat. Semasa baginda SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah SAW. Tidak lama selepas penghijrahan berlaku, Rasulullah SAW mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aisyah. Pernah menjadi kaya, beliau juga dikenang kerana jasanya membebaskan beberapa orang hamba yang beragama Islam daripada tuan yang kafir termasuk Bilal bin Rabah. Abu Bakar juga merupakan salah seorang yang pertama memeluk agama Islam. Ciri-ciri yang ada padanya ialah sifat jujur, berbudi pekerti, adil dan tegas.

Abu Bakar dilahirkan dua tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW. Mendapat gelaran ‘as siddiq’ kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah SAW. Peristiwa yang menyebabkannya mendapat gelaran ini ialah ketika berlaku Israk dan Mi’raj kepada Rasulullah SAW iaitu apabila ramai yang menganggap cerita berkenaan adalah dusta, Sayyidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.

Menjadi khalifah pertama

Semasa Rasulullah SAW sedang sakit tenat, baginda mengarahkan Sayyidina Abu Bakar mengimamkan solat jemaah. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Sayyidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah yang pertama. Perlantikan in mendapat tentangan daripada kelompok yang mahu melantik Sayyidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Sayyidina Ali merupakan menantu dan sepupu Rasulullah SAW. Golongan Syiah dari keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Abu Bakar. Namun tentangan ini berakhir apabila Sayyidina Ali membai’ah atau memberikan ikrar taat setia kepada Abu Bakar.

Peperangan Islam-Riddah

Masalah mulai timbul apabila Sayyidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Keadaan seperti ini menggugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak Arab yang memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat dan ada pula yang kembali menyembah berhala dan mengikut tradisi lama masing-masing. Golongan ini mendakwa mereka hanya menurut perintah Rasulullah SAW dan memandangkan baginda telah wafat, maka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan menganggap telah bebas. Sayyidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja perlu menyatakan taat setia kepada seorang pemimpin malah menjadi sebahagian daripada umat muslimin. Ada antara mereka yang menghina agama Islam dengan mengangkat diri sebagai nabi dan rasul. Salah seorang yang mendakwa diri sebagai nabi ialah Musailamah Al Kazzab yang telah berjaya ditumpaskan oleh Khalid Al Walid dalam satu pertempuran.
Bagi menumpaskan penghinaan ini, Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar Riddah. Inilah permulaan peperangan antara Islam dan Riddah.

Ekspedisi ke utara

Selepas berjaya mengurangkan golongan Riddah, Sayyidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi kerajaan Byzantine (Rom Timur) dan empayar Parsi. Khalid Al Walid berjaya berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen yang digerakkan oleh Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada perang Riddah. Namun hal ini sangat mengelirukan kerana kebanyakan golongan Riddah tinggal di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.
Pengumpulan al quran

Ahli sejarah berpendapat, selepas siri peperangan Islam-Riddah, ramai yang mahir menghafal al quran telah terbunuh. Umar Al Khattab meminta Sayyidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktiviti pengumpulan semula ayat-ayat al quran. Sayyidina Othman kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan berkenaan sebaik sahaja menjadi khalifah.

Kewafatan Sayyidina Abu Bakar

Sayyidina Abu Bakar wafat pada Isnin, Jamadil Awwal tahun 13 Hujrah di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai punca kematian. Pertama, dikatakan kerana keracunan dan kedua, meninggal dunia kerana sebab-sebab yang biasa. Sebelum wafat, beliau menggesa masyarakat Islam menerima Sayyidina Umar Al Khattab sebagai khalifah yang baru. Selepas wafat, beliau disemadikan di sebelah makam Nabi Muhammad di Masjid An Nabawi, Madinah.

Sumbangan Sayyidina Abu Bakar

Walaupun hanya sempat menjadi khalifah selama dua tahun (632-634 Masihi), beliau berperanan besar mengembangkan agama Islam. Antara kejayaannya yang penting ialah menumpaskan golongan Riddah yang murtad dan mengaku sebagai nabi. Beliau juga memulakan usaha pengumpulan al quran dan berjaya meluaskan pengaruh agama Islam.

Hadis-hadis berkaitan kelebihan Sayyidina Abu Bakar

Terdapat beberapa hadis yang menceritakan Sayyidina Abu Bakar sebagai orang penting dalam permulaan Islam. Antaranya ialah berkaitan Rasulullah SAW memilih Abu Bakar sebagai kekasihnya, menjadi lelaki pertama yang dicintai Rasulullah SAW dan Abu Bakar sebagai tempat rujukan selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Pertama, hadis tentang Abu Bakar sebagai kekasih Rasulullah SAW. Daripada Abu Said, katanya, ketika Rasulullah SAW berada di atas mimbar, baginda bersabda, ‘Terdapat seorang hamba, di mana Allah memberi pilihan kepadanya sama ada beliau ingin memilih kemewahan dunia atau diberi sesuatu yang ada di sisi Allah. Ternyata beliau memilih apa yang ada di sisi Allah.’ Selepas itu Abu Bakar menangis dan berkata, ‘Aku menebus kamu dengan bapa dan ibuku.’ Abu Said berkata, ‘Rasulullah SAW yang dipilihnya dan Abu Bakar sendiri yang memberitahu perkara itu kepadaku.’ Rasulullah SAW bersabda, ‘ Orang yang sanggup berkorban dengan harta dan dirinya kerana aku ialah Abu Bakar. Sekiranya aku ingin mengambil seorang kekasih, aku mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku, akan tetapi beliau merupakan saudaraku dalam Islam. Sesungguhnya di masjid ini terdapat jendela besar antara dua buah rumah untuk Abu Bakar.’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua, kisah Abu Bakar yang menjadi lelaki paling dicintai Rasulullah SAW. Daripada Amru bin Al As katanya, ‘Rasulullah SAW mengutus beliau iaitu Abu Bakar untuk menghadapi tentera Zatu As Salasil. Aku bertanya baginda, siapakah orang yang paling dicintai. Rasulullah SAW menjawab , ‘Aisyah.’ Aku bertanya, ‘Siapakah pula dari orang lelaki?’ Baginda menjawab, ‘Ayahnya iaitu Abu Bakar.’ Aku bertanya lagi. Baginda menjawab, ‘Umar.’ Selepas itu Rasulullah SAW membilang nama beberapa orang sahabat yang lain. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketiga, pengakuan Rasulullah SAW tentang Abu Bakar sebagai tempat rujukan selepas kewafatannya. Daripada Muhammad bin Jubair bin Mut’im daripada ayahnya, bahawa seorang perempuan telah bertanya Rasulullah SAW mengenai sesuatu perkara tetapi Rasulullah SAW menyuruhnya datang pada lain kali. Lalu perempuan itu bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah sekiranya aku datang tetapi kamu tiada?’ Ayahku berkata, ‘Perempuan tersebut seolah-olah bermaksud jika baginda wafat.’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Sekiranya aku tiada maka temuilah Abu Bakar.’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan

Sayyidina Abu Bakar diumpamakan seorang yang sangat penting dalam hidup Nabi Muhammad SAW. Beliau memiliki ciri-ciri amanah, setia dan sanggup berjihad, mengorbankan nyawa dan harta demi redha Allah.

Pengaruh Islam semakin luas  apabila Sayyidina Abu Bakar berjaya memerangi golongan murtad dan nabi-nabi palsu dalam kalangan kabilah-kabilah. Kebijaksanaan politik Sayyidina Abu Bakar telah membawa perkembangan masyarakat Arab ke arah kesatuan politik dan menjadikan mereka melihat Madinah sebagai ibu kota dan sumber segala kebajikan. Disebabkan itu, harapan mereka tertumpu di situ, berlindung di bawah kekuasaan dan panji-panji tauhid.

Sayyidina Abu Bakar telah banyak menyumbang jasa dalam dakwah Islamiah. Pelbagai perkara yang telah dilakukannya. Biar pun memiliki sifat lemah-lembut, imannya tetap kuat dan kental. Dengan kekuatan iman ini, beliau telah mendorong dunia sehingga panji kebenaran mampu berkibar dan kata-katanya diakui. Sikap dan jasa baiknya itu harus diteladani dan dipraktikkan untuk kemajuan diri sendiri, masyarakat dan negara.

 

3 comments:

  1. minta izin untuk copy artikelnya ya............
    buku islami

    ReplyDelete
  2. Kita umat islam telah Dirosakan oleh pengaruh orentalis barat dgn mendatang satu fahaman. Menolak para sahabat yg sangat dicintai oleh Rasulullah para sahabat adalah kekasih rasulullah terutamanya saidina Abu Bakar merekalah yg berjuang bersama Rasulullah membela Rasulullah dengan nyawa dan harta mereka sangat taat kpd Allah dan rasul hingga mendapat gelaran rodhiallahu anhum.tapi kejahatn yahudi mendatangkan ajaran yg mengkafirkan sahabt terutama khlifah rasulullah yg sangat dicintai oleh Allah dan rasul...itulah ajaran Syiah yg sebenarnya bukan dari ajaran islam.

    ReplyDelete