Friday, November 04, 2011

Strategi dalam dasar membasmi kemiskinan di Malaysia, perspektif sosioekonomi






Selepas beberapa tahun mendapat kemerdekaan dari Britain dalam tahun 1957, Bank Dunia menempatkan Malaysia sebagai negara berpendapatan menengah. Semenjak itu, negara ini terus menikmati kemakmuran ekonomi. Bermula sebagai negara pengeksport komoditi seperti getah, timah, minyak sawit dan petroleum, kini Malaysia meningkatkan jumlah pendapatan sehingga tujuh peratus sejak tahun 1970 hingga 2000.

Dari 2001 hingga 2010, pembangunan turun dan naik di antara empat hingga lima peratus setahun kerana iklim ekonomi yang kurang memberangsangkan. Kesan besar peningkatan pendapatan ini ialah pengurangan kadar kemiskinan berbanding dengan separuh penduduk negara yang miskin pada 1970.

Peningkatan per kapita penduduk yang meningkat kepada US$14,700 dalam 2010, menokok daripada US$13,900 pada 2009. Pencapaian ini menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan menengah atas, suatu keadaan yang menggambarkan pertumbuhan ekonomi yang pesat telah dialami sejak kerajaan memperkenalkan beberapa dasar yang menyokong usaha ke arah pembasmian kemiskinan dan penyusuan semula masyarakat.

Malaysia adalah sebuah negara yang meraikan masyarakat majmuk dengan penduduk Melayu dan bumiputera membentuk 61.4 peratus, Cina (23.7 peratus) dan India (7.1 peratus). Bagaimanapun, rusuhan kaum yang paling buruk dalam sejarah negara ini telah mengubah strategi dan pendekatan kerajaan untuk memakmurkan ekonomi. Dalam tindakan pantas dan tegas, kerajaan telah merumuskan bahawa dasar ekonomi dan sosial harus mengambil kira pendapatan setiap kaum dan mengagihkan kekayaan yang sama rata kepada semua rakyat.

Usaha-usaha yang berterusan selepas itu telah berjaya membendung jurang perbezaan pendapatan yang ketara dan peningkatan ekuiti Melayu dan bumiputera dapat digandakan. Ketika merdeka, Malaysia mempunyai jumlah penduduk sebanyak 7.4 juta namun pertambahan penduduk semakin pesat sehingga mencecah 27.6 juta orang pada 2010. Peningkatan penduduk bumiputera lebih besar kerana kadar kesuburan kelompok itu lebih tinggi.

Sebelum 1957, kegiatan utama ekonomi rakyat ialah penanaman getah dan pengeluaran timah. Perusahaan lain ialah industri berskala kecil dan sebahagian besarnya berasaskan keluarga. Kerajaan menggalakkan kepelbagaian ekonomi dengan memberi perhatian kepada sektor industri dan perkhidmatan yang memberi pendapatan lebih besar dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk.

Perbandaran yang pesat telah menggalakkan pembukaan kawasan perumahan dan bandar-bandar baru. Pada 2005, dianggarkan sebanyak 63 peratus penduduk negara ini tinggal di kawasan bandar berbanding hanya satu perempat  dalam 1957. Walaupun penghijrahan ke bandar lebih pesat pada hari ini, dari segi sejarahnya, masyarakat Melayu dan bumiputera masih dianggap sebagai penduduk luar bandar, manakala kaum Cina lebih ramai di bandar.

Sejak 1970, Malaysia telah merangka strategi pembangunan ekonomi kepada tiga fasa pembangunan jangka panjang iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970–90, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) 1990–2000 dan Dasar Wawasan Negara (DWN) 200110. Walaupun penekanan dalam dasar pembangunan jangka panjang  ini mempunyai impak ke atas pertumbuhan ekonomi, pembangunan yang dirancang itu telah memberi manfaat kepada semua kaum dan dilihat adil dalam agihan kekayaan ekonomi. Objektif DEB terus dibawa dalam dua dasar seterusnya dengan usaha pembasmian kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Selepas merdeka, pertumbuhan ekonomi Malaysia dapat dibahagikan kepada empat fasa. Pertama, dari 1957 hingga 1970, iaitu meneruskan tradisi sebagai pengeluar getah dan timah. Kedua, dari 1971 hingga 1990 iaitu langkah menstrukturkan semula ekonomi dan diangap sebagai permulaan pembangunan dalam sejarah malaysia moden.

Ketika ini diperkenalkan Rancangan Malaysia Kedua. Ketiga, dari tahun 1991 hingga 2000 iaitu fasa pertumbuhan yang sukar kerana berlakunya krisis kewangan Asia pengenalan kawalan pertukaran mata wang. Keempat, dari 2001 hingga 2010 dianggap sebagai tempoh persediaan untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Iklim ekonomi global dilihat mengganggu rentak Malaysia ke arah status negara maju tersebut.

Dalam jangka masa panjang, kepelbagaian ekonomi menjadi teras utama dalam memacu pembangunan negara bagi mengatasi kebimbangan ekonomi global yang tidak menentu seperti yang sedang berlaku Eropah. Elemen paling penting sebagai pengajaran kepada Malaysia sejak 50 tahun lalu ialah menggubal dasar yang dapat mempelbagaikan sumber pendapatan untuk ekonomi berkembang dan mengambil kira sosio politik masyarakat berbagai-bagai kaum.

Justeru kerajaan memperkenalkan Dasar Penswastaan pada 1983 yang menjadikan negara sebagai perbadanan tunggal bagi menyediakan persekitaran untuk pihak swasta dan korporat memajukan negara. Kesan segera dasar ini ialah hasil cukai kerajaan semakin bertambah dan dapat digunakan untuk menyediakan keperluan asas kapeda penduduk khususnya di luar bandar. Ternyata, perubahan kepimpinan dari Tun Hussein Onn kepada Dr Mahathir menjadi detik penting pembangunan ekonomi Malaysia.


No comments:

Post a Comment