Monday, August 29, 2011

Jangan sia-siakan peluang





Bermula 3 September ini, seramai 41,267 pelajar menjadi kumpulan pertama memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan mengikuti kalendar akademik baru bagi sesi pengajian 2011/2012 setelah 14 tahun sesi pengajian sistem semester Julai diguna pakai.

Wartawan Utusan Malaysia, SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM menemu bual Menteri Pengajian Tinggi, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN mengenai kemasukan pelajar baru ke IPTA dan isu-isu berkaitan dunia pengajian tinggi di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh Datuk Seri jelaskan apa sebenarnya objektif di sebalik perubahan kalendar akademik baru dan harapan kementerian mengenai hal ini?

MOHAMED KHALED: Fasa Kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bermula dari 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2015. Dalam Fasa Pengukuhan PSPTN ini, kementerian akan melaksanakan transformasi pengajian tinggi negara bagi memacu dan melonjakkan pengantarabangsaan industri pengajian tinggi di persada dunia.

Justeru, penyelarasan kalendar akademik IPTA merupakan satu strategi bagi merangsang kecemerlangan pengajian tinggi. Di samping itu juga, ia dapat mempertingkatkan lagi proses pengembangan ilmu di kalangan pelajar dan pensyarah melalui program pengantarabangsaan serta mempertingkatkan lagi daya saing dan pengkongsian ilmu dalam memperkasa Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), Pembangunan dan Penyelidikan (R&D), inovasi dan kecemerlangan IPT tempatan.

Dalam proses globalisasi dan liberalisasi pengajian tinggi pula, proses mobiliti pelajar di peringkat domestik dan antarabangsa dapat dipertingkatkan sejajar dengan amalan terbaik kalendar akademik IPT di dunia.

Keputusan kementerian untuk melakukan perubahan kalendar akademik ini mendapat reaksi pelbagai pihak sehingga timbul kontroversi. Boleh Datuk Seri ulas?

Kontroversi ini timbul kerana proses perubahan kalendar baru tidak dibuat secara berperingkat. Tahun lepas kemasukan adalah pada Julai. Maknanya daripada Julai terus lompat ke September. Jadi, pelajar yang tamat pengajian lebih awal terpaksa tunggu lagi dua bulan untuk kemasukan ke universiti.

Bagaimanapun, perkara itu tidak dapat dielakkan memandangkan pada tahun ini Ramadan jatuh pada Ogos. Kita tidak mahu pelajar akan kepenatan untuk menghadapi program orientasi semasa Ramadan. Program orientasi ini sangat penting untuk menyesuaikan pelajar dengan rumah kedua mereka kerana sistem belajar di universiti jauh lebih berbeza dengan sekolah.

Penyelarasan kalendar akademik ini memudahkan program mobiliti di kalangan pelajar dan pensyarah serta program pertukaran kredit dengan pelajar universiti antarabangsa yang mana hanya boleh dilaksanakan jika waktu pembelajaran dan cuti yang sama berlaku.
Selain itu, ia turut menyelesaikan masalah sampingan lain termasuk memberi lebih banyak masa persediaan kepada pelajar sebelum memasuki universiti selain mengelak berlaku kekosongan tempat sekiranya pelajar menerima tawaran universiti lain di negara luar.

Jika sebelum ini kemasukan pada Julai, pelajar hanya ada beberapa minggu membuat persediaan dan pilihan kemasukan ke universiti kerana tempoh pengumuman keputusan peperiksaan adalah sangat singkat untuk kemasukan Julai. Di samping itu, oleh kerana sistem kalendar akademik berbeza dengan universiti luar negara iaitu kemasukan lebih awal dua bulan, maka kita berhadapan dengan keadaan di mana kekosongan tempat berlaku apabila pelajar menerima tawaran universiti luar dan meninggalkan universiti kita.

Untuk kemasukan sesi akademik 2011/ 2012, berapa jumlah lepasan STPM dan setarafnya yang diterima untuk menyambung pengajian di IPTA?

Bagi sesi pengajian 2011/2012, sejumlah 64,703 calon lepasan STPM/Matrikulasi/ Asasi telah memohon untuk Program Ijazah Pertama. Daripada bilangan tersebut, seramai 53,216 calon telah mencapai kelayakan minimum bagi mengisi sebanyak 41,267 tempat yang ditawarkan. Jumlah tawaran tempat sebanyak 41,267 ini menunjukkan peningkatan 1.9 peratus (%) berbanding tahun sebelumnya. Sesi lalu hanya 40,506 sahaja tempat ditawarkan.

Pada sesi kali ini, seramai 29,838 daripada 39,998 pemohon bumiputera atau 74.6% peratus berjaya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama, manakala 9,457 (daripada 10,677) atau 88.6% adalah pelajar berketurunan Cina dan 1,972 (daripada 2,541) atau 77.6% bagi pelajar kaum India dan lain-lain.

Setiap tahun, menjelang kemasukan pelajar baru ke IPTA, pasti timbul pelajar yang tidak ditawarkan kursus yang dipohon seperti kursus kritikal, sebaliknya diberikan kursus yang lain. Disebabkan itu, ada pelajar tidak mahu mendaftar. Apa penjelasan Datuk Seri?

Proses pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira komponen akademik 90% dan kokurikulum 10%. Kejayaan seseorang calon memperolehi tempat pengajian di IPTA bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian yang dipohon.

Sekiranya merit mereka tidak begitu tinggi dan memohon lapan pilihan dalam program pengajian kompetitif, kebarangkalian mereka tidak mendapat tawaran program pengajian sebagaimana yang dipohon adalah tinggi. Calon-calon ini akan ditawarkan program pengajian di luar pilihan tetapi mirip dengan pilihan mereka di IPTA yang terdapat kekosongan.

Bagaimanapun sekiranya terdapat kes di mana seseorang calon ditawarkan program pengajian yang sangat berlainan daripada bidang pengajian yang dipohon, rayuan pelajar akan diteliti dan ditimbang tertakluk kepada kekosongan tempat di IPTA.

Prestasi kemasukan bagi tahun ini pula menyaksikan sejumlah 25.6% pelajar mendapat tawaran Pilihan Pertama mereka dan 81% pelajar pula mendapat tawaran dalam pilihan iaitu Pilihan 1 hingga Pilihan 8. Sementera itu, hanya 19% sahaja yang mendapat tawaran di luar pilihan calon.

Bagi calon yang mendapat tawaran di luar pilihan mereka, proses pemilihan mengguna pakai indikator persetujuan terima calon mendapat tawaran selain 8 pilihan mereka. Namun begitu, Unit Pusat Universiti (UPU) akan menawarkan program pengajian yang ada kekosongan serta bidang yang mirip dengan 8 pilihan calon.

Sebenarnya kejayaan mendapat tempat di universiti bergantung apa yang dipohon dan universiti mana yang dia pohon.

(Utusan Malaysia, 29 Ogos 2011)

 

Saturday, August 27, 2011

Huffaz Palestin di Melaka


 
 
 
 
Haluan Palestin, sebuah sekretariat di bawah Haluan Malaysia telah berjaya membawa dimensi baru kepada usaha-usaha membantu masyarakat Islam Palestin sepanjang bulan Ramadhan tahun ini. Dimensi baru yang dimaksudkan ialah membawa sepuluh orang huffaz al-quran dari Palestin untuk mengimami solat tarawih di masjid dan surau terpilih seluruh Malaysia.

Program ini menjadi realiti apabila Haluan bergabung dengan Rabitah Ulama’ Palestin dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan para huffaz tersebut memulakan tugas mereka seawal minggu pertama Ramadhan. Sambutan daripada masyarakat Islam sangat menggalakkan sehingga terpaksa melepaskan beberapa undangan kerana pertindihan tempat.

Negeri Melaka turut mendapat khidmat salah seorang huffaz iatu Suhaib Said Bakr Hassan yang berusia 20 tahun. Beliau mula belajar menghafal al-quran sejak umur lima tahun.

Ketika ini menuntut di University of Balqa, Jordan dalam bidang kejuteraan elektrik. Berasal dari Ramallah, Tebing Barat, Suhaib adalah anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik. Ketika ditanya bagaimana perasaannya dapat menjejakkan kaki ke Malaysia, beliau menyifatkan Malaysia adalah sebuah negara yang aman, masyarakat yang harmoni dan pelbagai budaya hidup dalam suasana toleransi yang tinggi.

Saya ingin sekali tahu bagaimana Suhaib boleh menghafal al-quran, tentu dia memiliki tip untuk cepat menghafal ini. Jawabnya mudah. Pertama, tentukan masa yang paling sesuai untuk baca dan hafal. Beliau memilih tempoh selepas subuh hingga zohor untuk ulangkaji, mentelaah dan menghafal ayat-ayat al-quran. Kesannya jauh berbeza jika seseorang cuba menghafal ketika waktu petang atau malam kerana kedua-dua masa ini sangat tidak produktif untuk ingatan.

Sepanjang pemerhatian saya ketika membawa Suhaib ke masjid dan surau seluruh Melaka, dia mencuba semua jenis makanan dan minuman yang dihidangkan. Dua tiga hari pertama, nampak sedikit kekoknya semasa makan nasi, nasi beriyani dan nasi uduk. Saya dan rakan-rakan benar-benar memahami keperluan makanannya dan kami berusaha membawanya ke kedai makanan Arab di Bukit Beruang supaya rasa rindu kepada roti dan nasi Arab dapat dipenuhi.

Masuk minggu kedua, Suhaib sudah dapat menyesuaikan diri dengan makanan berempah dan rasa pedas cili padi. Sikapnya yang tidak memilih jenis makanan menjadikan program sepanjang bulan Ramadhan kali ini lebih lancar, jika tidak kami perlu berusaha lebih untuk menyediakan keperluan makan dan minum yang sesuai.

Selain mendapatkan surat kebenaran dari Jakim, Haluan Palestin turut mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk memudahkan pergerakan imam Palestin khususnya menjadi imam solat isya’ dan tarawih. Alhamdulillah, setiap tempat yang dihadiri mendapat sambutan yang menggalakkan daripada jemaah malah ada yang berharap program seperti ini akan dilaksanakan lagi pada tahun depan.

Di samping menjadi imam, program ini juga bertujuan mengutip sumbangan daripada jemaah untuk disalurkan kepada masyarakat Palestin. Bulan Ramadhan adalah bulan berkat, sempena dengan keberkatan bulan ini, jemaah dan masjid mengambil kesempatan mengumpul sumbangan masing-masing dan diserahkan kepada Haluan Palestin.

Penganjuran program ini disambut baik oleh masyarakat Islam termasuk pemimpin kerajaan dan ahli politik. Salah sebuah masjid yang mengambil bahagian, Masjid Al Muhajirin, Penjara Sungai Udang, Melaka telah menganjurkan majlis berbuka bersama kakitangan penjara Zon Selatan. Seiring dengan majlis itu, sumbangan kepada ibu-ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan anak-anak yatim Paya Sum Sungai Udang, Melaka disekalikan dengan serahan kutipan bagi tabung Haluan Palestin oleh YB Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datu Wira Abu Seman.

Di surau Taman Merbok, Bukit Katil, majlis serahan sumbangan kepada Tabung Haluan Palestin telah disempurnakan oleh YB Datuk Mat Sirat Abu, ahli parlimen Bukitl Katil. Kehadiran beliau untuk bersama-sama menunaikan solat tarawih sangat dihargai khususya dalam membantu masyarakat Islam Palestin yang sedang diuji Allah swt.

Selain itu, sumbangan untuk tabung Haluan Palestin dilancarkan di surau dan masjid yang dihadiri oleh Suhaib. Antaranya ialah surau Taman Bukit Terendak, Pusat Islam Politeknik Merlimau, surau Taman Merbok, Bukit Katil dan surau Taman Tasik Utama, Ayer Keroh. Keprihatinan dan kepedulian msyarakat Islam di Melaka amat mengharukan dan kita berharap Allah swt akan memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada semua penyumbang dan penderma.

Sebelum meninggalkan Suhaib, saya sempat membisik kepadanya dengan memaklumkan, Insya Allah, kita akan berjumpa lagi pada tahun hadapan. Program Imam Palestin pada Ramadhan tahun ini sangat memberi pendedahan kepada Haluan Melaka dalam pengurusan dan pelaksanaan program yang bersifat jamai’ kerana dapat memberi sumbangan yang besar kepada kesedaran masyarakat Islam terhadap isu Palestin. 



Tuesday, August 23, 2011

Program Pemimpin Muda AKEPT







Inisiatif Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) melancarkan program Pemimpin Muda dari kalangan pensyarah-pensyarah muda seluruh universiti awam di Malaysia merupakan langkah awal ke arah melahirkan barisan pelapis kepemimpinan baru dalam sejarah pendidikan negara.

Pembentukan pemimpin yang berwibawa ini menjadi kayu ukur kepada keupayaan Kementerian Pengajian Tinggi untuk merealisasikan hasrat negara sebagai hab kepada pendidikan antarabangsa kerana pemikiran pemimpin muda lebih dinamik dan terbuka dalam pelbagai aspek. Program ini juga menjadi asas kepada pembentukan data modal insan dari kalangan pensyarah muda untuk bersama-sama membangunkan negara.

Pemimpin Muda adalah kesinambungan daripada program akademia muda kementerian untuk menyuburkan budaya akademia melalui penerapan nilai-nilai tinggi. Suntikan nilai-nilai yang lebih segar tentu membolehkan 25,000 pensyarah mudah di institusi pengajian tinggi awam menjadi lebih baik daripada pensyarah senior yang sedia ada.

Beberapa perkara yang menjadi perhatian AKEPT sendiri ketika ini ialah ciri-ciri yang perlu diketahui oleh golongan pensyarah muda sendiri iaitu proses pembelajaran dan pengajaran sudah beralih daripada berfokuskan pensyarah kepada berfokuskan pelajar (student centred), suatu yang jarang diberi perhatian oleh pensyarah lama. Perkembangan teknologi maklumat, penerimaan pembelajaran dalam talian dan dunia gajet yang berkembang pantas, pelajar lebih cepat mendapat maklumat daripada pensyarah.

Proses penilaian juga menunjukkan perubahan yang ketara. Jika sebelum ini peperiksaan, kuiz, laporan projek yang diberi keutamaan, kini kaedah penilaian tidak lagi melihat peperiksaan sebagai elemen pengukur keupayaan pelajar.

Sebaliknya proses menilai semakin dinamik dan keutamaan diletakkan ke atas kebolehan pelajar membuat analisis kritikal terhadap sesuatu isu bagi memecahkan masalah dan memberikan pilihan penyelesaian mereka. Sebenarnya kaedah ini lebih mencabar namun memberi banyak manfaat kepada pelajar untuk masa depan mereka sendiri.

Jurang di antara pensyarah dan pelajar wajar dikecilkan. Persepsi bahawa pensyarah berada pada status tertentu mungkin tidak lagi televan kerana dalam kalangan pelajar hari ini ada yang bertaraf warga emas, pekerja profesional dan ahli perniagaan yang dahagakan ilmu.

Konsep universiti hanya untuk golongan remaja sudah tertinggal, justeru pensyarah perlu mengubah cara dan pendekatan mereka ketika berhadapan dengan pelajar dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang. Mereka perlu menjadi kawan dan rakan kepada pelajar tanpa memberi kompromi kepada kualiti pengajaran dan graduan yang dilahirkan.

Perkara yang menjadi perhatian dan sering disuruh oleh universiti ketika ini ialah melakukan seberapa banyak penyelidikan dan menerbitkannya dalam jurnal berimpak tinggi. Kategori penyelidikan ini juga diskopkan kepada kesesuaiannya kepada negara, mampu dimiliki dan boleh dilaksanakan. Tumpuan menerbitkan artikel dalam jurnal yang berkualiti menjadi cabaran besar kepada pensyarah muda yang masih terkial-kial dan mula mencari rentak dalam dunia akademik.

Program Pemimpin Muda menepati kehendak negara dalam dunia akademik. Pensyarah muda ini suatu hari nanti akan menjadi pemimpin pelapis kepada institusi pendidikan sedia dan bakal menyumbang kepada pembangunan negara. Mereka juga yang akan menjadi naib canselor, timbalan naib canselor, profesor, penulis buku ilmiah dan tokoh masyarakat.

Secara tidak langsung, pensyarah muda ini bakal menjadi pemimpin dalam bidang yang mereka kuasai. Kepemimpinan ini dipecahkan lagi dalam bidang yang lebih khusus iaitu pemimpin akademik, pemimpin penyelidikan, pemimpin masyarakat dan pemimpin penulisan.

Pelaksanaan Pemimpin Muda ini harus mengenengahkan watak dan sosok yang menjuarai bidang kepakaran masing-masing kerana ada pemimpin akademik yang tidak dikenali tetapi menghasilkan sejumlah penulisan dan penyelidikan dalam dunia akademik. Masyarakat lebih mengenali pemimpin yang banyak bercakap dan muncul di media tetapi yang lainnya langsung tidak dihiraukan. Cabaran inilah yang perlu diberi perhatian supaya gabungan kepemimpinan ini mengahsilkan sinergi yang utuh kepada pembangunan negara dan mewujudkan pelapis yang kuat.  

 

Sunday, August 21, 2011

Mentaliti tidak menyerah kalah




Orang-orang muda yang baru menamatkan alam persekolahan dan mula mencari kerja sentiasa berhadapan dengan persaingan yang sengit. Bahkan kita yakin, dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, mereka perlu bersaing dengan graduan yang jauh lebih baik dalam pelbagai bidang. Andai lulusan universiti belum dapat dijamin kerjaya mereka, apatah lagi lulusan SPM.

Kepada orang muda yang kecewa kerana gagal mencari pekerjaan, anda sebenarnya jauh lebih baik daripada mereka yang tidak pernah mencuba. Ramai orang yang telah berjaya beberapa kali menemui kegagalan dalam usaha mereka.

Contohnya, dua orang penulis buku motivasi telah bepusing-pusing mencari penerbit yang sudi menerbitkan buku mereka. Bukan sekali malah 33 kali mereka berdua mencari penerbit, namun semuanya gagal. Semangat tidak mahu kalah menyebabkan mereka berusaha lagi.

Kali ke-34 baharulah seorang penerbit mahu mendengar dan menerima manuskrip buku Chicken Soup for the Soul. Hari ini, buku tersebut dijual lebih 80 juta naskah di seluruh dunia. Ia terjadi kerana kegagalan tidak pernah wujud di minda penulis buku berkenaan.

Friday, August 19, 2011

Tangani segera isu murtad




Pendedahan media tentang aktiviti sebuah pusat tuisyen yang mengajar kanak-kanak Islam mengenai agama kristian sangat mengejutkan masyarakat. Pada umur tujuh tahun, kanak-kanak itu menjadi sasaran kelompok pengembang agama kristian yang berselindung di sebalik institusi pendidikan. Ia tidak berlaku di ceruk kampung sebaliknya di bandaraya Kuala Lumpur, tempat tumpuan masyarakat Malaysia.

Dalam masa dua tiga hari lagi maklumat pelajar yang dipengaruhi pasti akan mudah diperoleh dalam Internet. Manakala pusat tuisyen tersebut akan dipantau oleh orang ramai yang mula marah dengan gerakan kristianisasi ini.

Minggu lepas kita didedahkan dengan aktiviti sebuah gereja yang menarik sebilangan kecil orang Islam untuk menjadi pengikut agama mereka melalui nyanyian, kuiz dan soal jawab. Hari ini pelajar sekolah cuba diajar agama kristian di pusat tuisyen. Apa pula yang akan berlaku esok? Barangkali akan ada orang Melayu yang muncul untuk mengaku dia seorang penganut kristian di Malaysia.

Murtad bukannya isu kecil dan tidak boleh disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat. Rata-ratanya kita membaca pendedahan di media sebab musabab orang Melayu yang mudah ke gereja atau terpengaruh dengan ajakan mubaligh ini adalah kerana keadaan ekonomi yang sangat teruk. Dalam menangani permasalahan umat ini, di mana wang zakat yang didakwa berjumlah ratusan juta ringgit setiap tahun? Adakah kerana terlalu banyak sehingga tidak dapat mengenal pasti keutamaan memberi zakat kepada asnaf yang layak? Apabila timbul isu cuba memurtadkan orang Islam, barulah agensi zakat dan lebih-lebih Baitulmal bersuara, itupun hanya sekejap.

Tanggungjawab institusi dalam masyarakat Islam amat signifikan kerana tidak semua orang Islam berkemampuan untuk meneruskan hidup. Ada yang merempat di kaki lima, menumpang di rumah jiran dan mendapat ehsan orang ramai untuk makan dan minum.

Dalam keadaan begini, di mana perginya pegawai institusi yang lebih suka memakai baju dengan bertali leher untuk berjumpa kumpulan sasar. Mereka harus sedar bahawa bantuan kebajikan tidak hanya menjadi hak eksklusif institusi agama sebaliknya diambil juga peranannya oleh pertubuhan bukan kerajaan sama ada Islam ataupun bukan Islam yang kebanyakannya dipelopori oleh pertubuhan yang cenderung dengan agama.

Bailtulmal dan institusi agama Islam perlu bekerja mencari golongan yang susah ini ke merata tempat. Mereka wajar menggunakan saluran media yang lebih terbuka hari ini untuk meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat supaya orang miskin, susah dan terlantar mendapat hak mereka.

Masa untuk menunggu di dalam pejabat berhawa dingin dan bersidang sudah tidak sesuai kerana ancaman memurtadkan umat Islam semakin meningkat. Kes yang didedahkan hanya berlaku di Kuala Lumpur, bagaimana pula di bandar-bandar besar lain, tentu kes serupa ada di mana-mana kerana kemiskinan dan kemelaratan hidup belum dapat dihapuskan di negara ini.

Walaupun ada enakmen yang memperuntukkan hukuman kepada mana-mana pihak yang cuba memurtadkan orang Islam, ia masih lagi bersifat akademik kerana kebanyakan kes diselesaikan secara kaunseling. Saranan Timbalan Perdana Menteri  isu ini diberi perhatian amat wajar supaya masyarakat tidak memandang serong agama masing-masing yang kelak boleh memecah-belahkan masyarakat yang berbilang agama ini.
 


Marah membawa padah




Jika seorang rakan kita marah-marah dan tidak dapat dikawal, dia dikatakan tidak sabar dan beremosi. Kalau keadaan tersebut tidak dapat ditenteramkan, marah jenis ini hanya memburukkan keadaan malah mengundang rasa tidak senang kepada orang lain.

Apakah erti marah? Pertama, marah menandakan harga diri yang rendah. Sukar bagi orang lain, rakan-rakan dan saudara mara hendak memberi hormat kepada orang memiliki harga diri yang rendah.

Kedua, lebih banyak kecewa daripada bahagia. Orang lain memandang orang yang mudah marah sebagai mudah sensitif dan 'cepat merah telinga' kerana sukar hendak diajak bergurau. Setiap perkara yang remeh dan lawak dianggap serius. Jadi, siapa yang hendak berkawan dengan orang jenis ini?

Ketiga, apa yang dilakukan oleh orang yang marah- tumbuk dinding? Menghempas barang? Menjerit? Semuanya ada. Risiko kerosakan dan kecederaan lebih besar kalau berkawan dengan orang yang mudah marah.

Dalam kalangan kita, ada yang dihimpit masalah kewangan, hutang kad kredit, hutang sewa kereta, sewa rumah dan banyak lagi. Andainya masalah ini dilayan dengan emosi marah, semua masalah tidak akan selesai kerana kaedah terbaik menyelesaikan kekusutan jiwa dan fikiran ialah dengan sabar.


 

Thursday, August 18, 2011

Bekas kotak tisu dalam kereta




Suatu hari saya ke pasar raya untuk membeli sebuah bekas kotak tisu. Memang agak lama saya tidak menggunakan bekas untuk kotak tisu dalam kereta saya kerana tidak melihat kotak tisu sebagai satu alat yang penting. Harga bekas kotak tisu ini tidaklah mahal tetapi coraknya sangat cantik.

Sebelum ini saya membiarkan saja kotak tisu dalam kereta tidak berbungkus kerana tidak menilai kepentingan kotak tisu itu dibungkus lawa-lawa. Saya tidak fikir orang yang menumpang kereta saya berfikir yang bukan-bukan tentang pemilik kereta. Namun, persepsi saya terhadap kotak tisu dalam kereta saya tiba-tiba berubah apabila memikirkan tentang 'apa orang fikir tentang peribadi kita'.

Kerap kali saya memandang bekas kotak tisu dalam kereta saya kerana merasakan ada satu perubahan yang agak ketara dalam penampilan kotak tisu kali ini. Sesekali rasa bangga dan bahagia.

Kotak tisu memberi satu pengajaran dalam prinsip hidup saya. Kadang kala saya kurang memberi tumpuan kepada perkara-perkara kecil yang boleh membentuk persepsi orang lain terhadap diri saya. Persepsi ini membuatkan kita dipandang rendah, personaliti yang tidak mesra dan cara fikir yang ganas.

Kotak tisu mengajar saya tentang memberi perhatian kepada nilai-nilai estetika walaupun kecil. Barulah saya faham, dalam hidup kita, semua perkara mesti diberi perhatian, insya Allah barulah akan datang kesempurnaan dalam hidup.

 

Wednesday, August 17, 2011

Sains dan matematik, tidak ada prinsip




Isu mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris belum lagi selesai rupanya apabila Kementerian Pelajaran kembali membangkitkan hasrat untuk melihat semula keputusan yang dibuat sebelum ini. Alasan yang diberikan ialah terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mengharapkan kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris menggunakan kaedah dua bahasa.

Apakah yang sebenarnya hendak dibangkitkan dalam isu ini? Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dimulakan lebih separuh abad lalu telah mantap dan hanya perlu penambahbaikan dalam beberapa perkara sampingan dan tidak perlu membuat rombakan kepada perkara teras.

Pelaksanaan dasar pendidikan di negara ini telah berjaya melahirkan generasi baru Malaysia yang boleh berbahasa Melayu dengan baik dan membentuk pemikiran yang menjadikan perpaduan sebagai asas pembentukan sebuah bangsa yang merdeka. Anak-anak muda bukan Melayu hari ini tidak mengalami masalah untuk berkomunikasi sesama mereka dan rakan-rakan yang lain dalam bahasa Melayu.

Pelaksanaan dasar yang sering kali berubah menyebabkan ramai pihak yang tidak senang duduk. Isu sains dan matematik ini telah menghimpunkan tokoh-tokoh bahasa dan pembangkang untuk mendesak kerajaan mengembalikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu.

Sistem pendidikan di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya telah berjaya melahirkan ramai graduan yang memiliki tahap ilmu yang tinggi. Para pelajar sekolah turut bercita-cita meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi tempatan walaupun kos pendidikan semakin meningkat kerana pelbagai faktor.

Idea mengembalikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris hanya mengundang rasa tidak senang dalam masyarakat kerana isu ini telah pun dianggap selesai sebelum ini.

 

Tuesday, August 16, 2011

Manado: ‘Aman tetap aman’




oleh Karim Raslan

Setelah beberapa minggu di jalanan menjelajah Indonesia, fikiran saya sudah mula bermain helah. Pada mulanya, saya menyangka ini mungkin kerana rasa rindu pada Malaysia. Saya tiba di kota-kota ini, kadangkala buat pertama kalinya - tetapi saya merasakan seolah-olah imej-imej yang bermain di mata, telah kelihatan sebelumnya, jauh di sudut minda. Mungkin wajah itu pernah saya temui, deretan kedai itu pernah saya kunjungi, gunung-ganang dan pepohon yang membarisi jalan itu pernah saya lihat - di mana sahaja saya menoleh, saya dihantui masa silam, nostalgia yang kadangkala menimbulkan rasa sayu di hati.

Sememangnya, sebagai seorang rakyat Malaysia di Indonesia, saya kadangkala keliru, dan rasa tersepit di antara dua realiti. Antara keakraban dan rasa jauh, antara rasa ingin diterima sebagai anak tempatan, dan berasa asing di perantauan.

Perasaan sayu ini ditambah rasa marah dan kecewa membaca berita yang melaporkan akhbar dibakar, gereja diserbu, dan perjanjian “bawah-meja” dimeterai- apakah yang akan berlaku kepada tanah air tercinta ini? Isu-isu ini bermain di fikiran saya, bertukar-tukar dengan imbauan memori silam menjelajah negara jiran yang luas ini.

Walaupun begitu, setibanya saya di Lapangan Terbang Manado Sam Ratulangi, saya berasa gembira - maraton siri jelajah saya di Indonesia yang dipenuhi baju kotor menimbun, emel berselerak, jadual tidur tidak menentu dan sakit tekak - sudah hampir berakhir.

Saya tidak menjangkakan apa-apa yang istimewa tentang Utara Sulawesi. Seperti ramai rakyat Malaysia lain, saya tahu bintang filem masyhur zaman 60-an yang menjadi kegilaan kerabat diraja Melayu ketika itu, Maria Manado, berasal dari kepulauan ini. Saya juga tahu majoriti dari 2.5 juta penduduk wilayah ini beragama Kristian (Protestan, bukan Katolik) dan ia lebih hampir dengan Pulau Davao di Filipina berbanding ibu negara Indonesia, Jakarta, yang hanya tiga jam dari Manado.

Namun, setibanya di sana, saya berasakan seperti dibawa ke masa silam dan kembali ke Kota Kinabalu (KK) pada awal 1990an, meningkatkan rasa “déjà vu” saya kerana fikiran tertumpu kepada Malaysia dan isu-isu semasa.

Waktu itu, KK terasa seperti satu projek yang belum selesai, atau baru bermula. Terdapat projek penambakan besar-besaran di sekitar pantai, pelan-pelan bercita-cita tinggi untuk menarik pelancong, ratusan kenderaan pacuan empat roda (yang dipanggil Ninja), wanita kaum Dusun dengan raga besar diikat di belakang sambil mendaki bukit dan jalan baru yang menghubungkan kawasan pedalaman. Ia kotor, berdebu, liar dan penuh dengan cabaran. Pada masa sama, KK waktu itu dan juga hari ini, kota yang aman damai, di mana hubungan antara kaum berkembang sihat - mereka saling mempercayai, bukan seperti di Semenanjung.

Saya menghabiskan masa di Manado, melihat kota aman ini daripada kaca mata seorang pengembara, tertarik untuk membandingkan dua kota persisiran pantai-KK dan Manado yang kedua-duanya dipagari gunung-ganang yang teguh lagi memukau. Akan tetapi, di Manado gunungnya - berapi dan aktif.

Sememangnya, Gunung Seputan sudah kembali aktif sejak beberapa bulan kebelakangan ini- memuntahkan lava dan debu yang sudah beberapa kali menghalang pesawat untuk mendarat di Manado. Apa yang lebih memukau (seperti di KK di mana bandar raya itu berlatar-belakangkan Gunung Kinabalu yang indah), di Manado, anda boleh duduk di tepi pantai dan menghayati pemandangan indah Gunung Manado Tua dekat dengan pelabuhan kota itu.

Seperti kebiasaan, saya berbual-bual dengan pemimpin tempatan, dan salah seorang daripada mereka ialah seorang paderi, Father Nico Gara, seorang ahli majlis hubungan antara kaum di wilayah Sulawesi Utara. Perbualan dengan beliau mengingatkan saya lagi kepada Koya Kinabalu.

“Kami mempunyai rangkaian yang mantap dan boleh campur tangan untuk menenangkan provokasi di mana-mana. Kita bertindak dengan cepat dan bertanggungjawab,” ujar Father Nico menerangkan peranan majlis hubungan antara kaum.

Malah, sepanjang dekad lalu sebahagian besar Timur Indonesia menderita akibat persengketaan antara agama - dari Poso, Maluku dan Ambon. Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Manado telah kekal aman. Ia merupakan rekod yang dicemburui seluruh negara dan sememangnya penduduk tempatan amat berbangga dengan pencapaian ini.

Sesungguhnya ‘aman, tetap aman’ berulang kali menitip bibir penduduk tempatan yang sudah sekian lama mengidamkan ketenangan, damai dan harmoni yang berkekalan...

(Sinar Harian, 16 Ogos 2011)


Saturday, August 13, 2011

Gandakan nilai harta dengan melabur emas




oleh Salleh Majid 

Pertama kali dalam sejarah harga emas melepasi AS$1,800 seauns. Ini berikutan kebimbangan pelabur di Amerika Syarikat selepas had hutang negara tersebut dinaikkan buat kali ke 75 dan kemungkinan kelegaan kuantitatif dilakukan lagi. Emas dilihat sebagai pelaburan yang selamat memandangkan ketidakupayaan kerajaan tersebut mengatasi masalah ekonominya.

Tindakan pelabur ini telah membuatkan Certified Gold Exchange dan J.P.Morgan Chase & Co mengemaskinikan ramalan kenaikan harga emas kepada AS$2,500 seauns.

Sejak 10 tahun lalu harga emas telah meningkat sebanyak 700 peratus (%). Kebimbangan pelabur bukan saja tertumpu kepada apa yang sedang berlaku di Amerika tetapi merebak kepada krisis hutang euro.

Setakat ini Portugal, Ireland, Greece, Sepanyol dan Itali telah mengalami masalah defisit dan kemasukkan Itali, ekonomi ketiga terbesar di Eropah telah menambahkan kebimbangan para pelabur.

Minggu lepas kita telah dikejutkan dengan keruntuhan pasaran saham dunia, seluruh dunia, bukan di Amerika sahaja, malahan Eropah dan Asia hilang nilai modal pasaran bernilai hampir AS$4.4 trilion.

Walaupun keputusan Federal Reserve di Amerika tidak menaikkan kadar faedah melegakan pasaran sementara tetapi dari segi asas, Amerika dan Eropah masih lemah.

Walaupun kejatuhan di Malaysia dari segi peratusan lebih rendah daripada lain-lain bursa, tetapi dianggarkan RM91 bilion telah lenyap daripada nilai modal pasaran saham kita.

Apabila pasaran saham runtuh, pelabur lari mencari tempat yang selamat dan salah satu yang paling selamat ialah emas.

Beralih kepada pelaburan emas di Malaysia, pelaburan emas belum begitu menyerlah terutama sekali di kalangan orang Melayu.

Kebanyakan orang Melayu gemar membeli barang kemas yang dicampurkan dengan logam lain dan bukan seperti emas ketul yang ketulenannya di paras 999.99.

Apabila barang kemas dijual balik potongan sebanyak 30 sehingga 40 peratus dikenakan daripada harga semasa. Oleh itu ada baiknya melabur dengan emas yang ketulenannya 999.99.

Pada sesiapa yang berminat boleh memiliki syiling emas melalui Maybank dan buku simpanan melalui Public Bank.

Saya ingin menyarankan koperasi-koperasi melabur dalam emas. Kita lihat lima tahun dulu harga emas seauns ialah AS$520 dan hari ini sudah mencecah AS$1,800.

Pelaburan inilah yang bukan saja boleh menguntungkan koperasi sendiri tetapi juga ahli-ahlinya.

Keahlian keseluruhan koperasi di negara kita tidak kurang daripada 8 juta orang. Bayangkan kita dapat meningkatkan kekayaan orang Melayu berlipat kali ganda apabila melabur dengan emas.

Memang benar sistem ArRahnu sudah lama diwujudkan selaku pajak gadai Islam dan penggadai memperoleh setakat 65% daripada nilai emas yang dipajakkan. Pada waktu yang sama upah simpan antara 0.5 sehingga 1% dikenakan untuk kadar maksimum selama 6 bulan.

Bagi pihak koperasi, ia boleh memberikan pinjaman untuk membeli emas yang disimpan selaku cagaran oleh koperasi dan ahli diberikan 65% daripada nilai emas yang disimpan dan boleh mengenakan sedikit faedah yang jauh lebih rendah daripada upah simpan melalui ArRahnu.

Kita mempunyai satu-satunya badan koperasi yang memiliki kaitan dengan beberapa koperasi yang lain dan diurus dengan betul serta berhati-hati dalam porfolio pelaburannya iaitu Angkasa.

Angkasa boleh mengambil langkah awal ini yang bakal menguntungkan sejumlah besar keahlian koperasi negara ini. Sekian lama orang Melayu tidak begitu mengambil berat tentang pelaburan emas tulen ini dan banyak pengaruh seperti FOREX yang mengalih perhatian orang Melayu kepada satu-satu pelaburan yang berisiko tinggi.

Satu-satu syarikat bumiputera yang terbabit dengan urusan jual beli emas ini ialah syarikat Serambi Emas yang mempunyai akses kepada London Gold Bullion Market dan pasaran emas di Switzerland, Jepun, Australia dan Dubai.

Sekarang majlis penerangan tentang pelaburan emas sedang giat dikendalikan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang pelaburan emas.

Inilah satu-satunya peluang bagi masyarakat Melayu melipatkan gandakan nilai harta mereka. Usaha-usaha yang lepas telah menunjukkan yang kita masih lagi jauh ketinggalan dari segi memiliki kekayaan.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur
(kini Bursa Malaysia)

(Utusan Malaysia 13 Ogos 2011)

 

Wednesday, August 10, 2011

Ambil iktibar kes gadis terlanjur, buang bayi




oleh Amirullah Andi Nur
Ketua Biro Berita Harian Melaka

Pada 5 Ogos lalu, penduduk Melaka dikejutkan dengan laporan media membabitkan seorang wanita berusia 24 tahun melahirkan bayi lelaki pramatang tanpa kepala di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Seri Lanang, Pengkalan Rama, Melaka Tengah.

Bayi malang berusia enam bulan dalam kandungan ibunya itu dilahirkan di bilik air tanpa sebarang bantuan. Difahamkan ketika kejadian, wanita terbabit bersendirian di rumah dan tidak menyangka sama sekali akan melahirkan zuriatnya itu.

Sebelum kejadian, ikut laporan dia dikatakan tiba-tiba sakit perut lalu ke tandas. Namun, tanpa semena-mena dia melahirkan bayi pramatang itu dan nasibnya tidak baik sebab ia berada dalam keadaan songsang. Entah macam mana, apabila dilahirkan kepala pula hilang.

Difahamkan oleh kerana panik melihat keadaan bayi itu, wanita berkenaan dilaporkan bertindak membuangnya terus ke dalam tong sampah. Khabarnya, kepala bayi tidak berdosa itu mungkin tidak akan ditemui lagi sebab terjatuh ke dalam mangkuk tandas pada hari itu.

Kejadian menyayat hati ini sebenarnya berlaku kira-kira jam 6 petang pada hari kedua umat Islam di negara ini berpuasa. Tak payahlah disebut keturunan wanita ini. Namun, polis hanya mendedahkan cerita berkenaan kepada media pada Khamis lalu sebelum disiarkan keesokannya.

Tembelang wanita yang belum berkahwin ini pecah selepas dia mendapat rawatan di Hospital Melaka tiga jam selepas bersalin. Polis mengesahkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Kita harap kes ini tidak berulang lagi dan sekali gus dapat diselesaikan segera. Diharap juga pihak berkuasa dapat menghebahkannya bagi membolehkan orang ramai tahu kejadian sebenar.

Saya sengaja bangkitkan kisah ini dalam bulan mulia ini kerana banyak pengajaran yang boleh diambil oleh masyarakat. Kita semua tahu kejadian atau gejala buang bayi, gadis bawah umur hamil tanpa berkahwin atau menyembunyikan kelahiran dan kematian anak tanpa nikah, bukan perkara baru.

Majoriti pun juga tahu penyakit sosial ini sudah lama berlaku dan ia juga tidak membabitkan satu atau dua suku kaum semata-mata. Banyak juga sudah usul, cadangan atau perancangan dilaksanakan kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) dibuat bagi menangani gejala ini.

Yang pasti, jika tiada kawalan dan tindakan susulan menanganinya, masalah ini akan terus menghantui masyarakat negara ini. Kita percaya sehingga kini masalah ini sudah ditangani sebaiknya pihak berkuasa terbabit.

Di Melaka, gejala seperti pembuangan bayi dan berzina sangat diberikan perhatian oleh pihak berkuasa. Pelbagai usaha diambil dan diperkenalkan kerajaan bagi menanganinya termasuk memperkenalkan insentif bagi menggalakkan perkahwinan.

Misalnya, bagi pasangan Islam berusia 18 tahun ke bawah yang hendak berkahwin, kerajaan negeri memberikan bantuan RM500. Selain itu, lelaki mengahwini janda atau ibu tunggal akan turut menerima bantuan sebanyak RM1,000

Bagaimanapun, bantuan yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) ini hanya untuk penduduk kelahiran Melaka. Difahamkan inisiatif ini yang pertama di Malaysia dan diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu, mendapat sambutan baik.

Selain insentif itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan pusat penjagaan untuk perempuan bawah umur atau masih bersekolah yang hamil akibat ketelanjuran dengan pasangan masing-masing. Pusat ini yang diwujudkan di daerah Jasin dikenali sebagai Rumah Harapan Sekolah Harapan.

Di pusat ini, penghuninya dijaga bak ‘menatang minyak yang penuh’ sehingga bersalin, selain diberikan pendidikan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dari segi pelajaran. Sesi kaunseling turut disediakan bagi mengurangkan tekanan selain persediaan berdepan ‘dunia baru’ untuk mereka.

Soalnya, adakah kita sebagai rakyat Malaysia sedia mengambil iktibar kejadian di atas termasuk menyokong usaha dilakukan kerajaan Melaka itu, atau terus berpeluk tubuh dan sekadar melihat, mendengar dan membaca kisah tragis seperti itu terus berulang. Tepuk dada tanyalah selera.

(Berita Harian, 10 Ogos 2011)
 


Tuesday, August 09, 2011

Gerakan berani Kristian, salah siapa?

 


Agama lain khususnya Kristian, dengan secara terancang, mahu umat Islam menganut kepercayaan mereka, bukan perkara baru. Malah sejarah membuktikan usaha sedemikian dilakukan terhadap umat Islam di seluruh dunia bermula sejak sebelum Perang Salib lagi. Justeru, laporan mengenai satu jamuan amal tahunan dan ‘berbuka puasa’ di Gereja Methodist Damansara Utama cuba menyebarkan dakyah Kristian kepada sekumpulan orang Islam, sehingga diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Hakikatnya, memang semakin ramai orang Melayu Islam memeluk Kristian hasil dakwah dan pujukan halus pertubuhan agama itu seperti yang dilaporkan oleh akhbar ini sejak kelmarin. Memanglah pemimpin Kristian tempatan tidak akan dan tidak mungkin mengaku perkara itu, apa lagi Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, jelas melarang perbuatan itu. Jika orang Melayu/Islam bukan menjadi sasaran pertubuhan dan gereja Kristian ini, kenapa mereka beriya-iya benar membawa masuk Bible berbahasa Melayu dan mahu menggunakan istilah ‘Allah’ tidak lama dulu.

Bagaimanapun, pertubuhan atau gereja Kristian saja tidak harus disalahkan apabila semakin ramai orang Melayu/Islam termakan dengan dakwah dan dakyah mereka. Kita juga akan berbuat demikian jika mempunyai ruang dan peluang untuk mengajak penganut agama lain, memeluk Islam. Kejadian di Gereja Methodist Damansara Utama itu seharusnya membuka mata kita kenapa gejala ini semakin membimbangkan sekarang.

Difahamkan, sebahagian besar daripada 50 orang Islam yang hadir dalam majlis di Gereja Methodist Damansara Utama pada Rabu lalu itu ialah untuk mendapatkan bantuan. Akhbar ini semalam menyiarkan pengakuan seorang ibu tunggal bagaimana dia terpaksa menerima bantuan gereja untuk menyara hidup bersama empat anaknya selepas gagal menerima bantuan berterusan daripada Baitulmal.

Kes ini, mungkin terpencil tetapi selain membuktikan memang wujud usaha mengkristiankan orang Melayu secara halus, ia juga mendedahkan kelemahan agensi yang diamanah untuk mengendalikan zakat dan sumbangan umat Islam bagi membantu golongan seperti itu. Tidak ada gunanya saban tahun mereka mengumumkan kutipan berjuta ringgit tetapi realitinya ada umat Islam meninggalkan agama kerana kemiskinan dan kesukaran hidup.

Berbeza dengan pemimpin gereja dan pendakwah Kristian yang menggunakan pendekatan pujukan, kebanyakan pemimpin agama atau ulama kita lebih cenderung untuk menghukum daripada membetulkan. Malah sesama yang bergelar ulama pun saling bersaing dan menuduh mengenai Islam siapa yang betul. Apabila ada kes murtad dalam kalangan umat Islam, mereka menyalahkan ibu bapa, budaya Barat, sekolah, kerajaan dan pelbagai pihak lagi kecuali diri sendiri.

Serbuan JAIS itu juga menunjukkan betapa kepentingan politik kini mengatasi kepentingan mempertahankan kesucian agama. Memang tindakan JAIS atau majlis agama Islam lain sering dilanda kontroversi terutama apabila membabitkan premis, sama ada rumah ibadat atau pusat hiburan yang turut dikunjungi bukan Islam. Serbuan JAIS malam Rabu lalu tidak terkecuali. 

Seperti kes seumpamanya sebelum ini, tindakan itu dikecam oleh pemimpin politik bukan Islam, pertubuhan bukan kerajaan dan tokoh Islam liberal. Malangnya, JAIS kali ini turut dikecam oleh beberapa pemimpin kanan PAS. Malah, EXCO Agama kerajaan negeri, Datuk Dr Hassan Ali, yang mempertahankan serbuan JAIS itu, bukan saja dikecam secara terbuka oleh rakan-rakan dalam parti sendiri tetapi mungkin berdepan tindakan disiplin daripada Jawatankuasa Pusat PAS.

Kalau dulu, PAS lah yang pertama mempertahankan tindakan sedemikian, ia kini menjadi sebaliknya. Ini kerana perjuangan menegakkan negara Islam parti itu telah bertukar kepada mewujudkan negara kebajikan. Lagipun sebahagian besar barisan kepemimpinan PAS sekarang memang lebih berfikiran liberal. UMNO pula tidak mungkin campur tangan kerana kes ini berlaku dalam negeri yang ditadbir kerajaan pakatan Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS.

Barangkali kerana melihat senario seperti ini, ada pihak semakin berani melakukan sesuatu yang dulu dianggap sensitif terhadap keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Sejak akhir-akhir ini, bukan Melayu/Islam bagaikan boleh bercakap dan menuntut apa saja atas nama kebebasan bersuara. Malangnya, orang Melayu/Islam terus dituduh rasis, kolot, malah mungkin pengganas apabila cuba mempertahankan agama dan hak mereka, walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan. 

(Berita Harian, 8 Ogos 2011)

 

Saturday, August 06, 2011

Sabar dalam dakwah




Bulan Ramadhan menjadi bulan penantian yang penuh bermakna bagi umat Islam. Bulan ini diyakini membawa rahmat kerana ganjarannya yang sangat banyak. Bayangkan satu pahala digandakan, satu huruf al-quran yang dibaca turut diberi ganjaran, mengucap bahasa dan perkataan yang elok-elok juga diganjarkan.

Pendek kata, apa-apa perbuatan yang baik diberi pahala berganda-ganda. Beruntunglah orang yang berpuasa dan melaksanakan seberapa banyak kebajikan yang dia mampu.

Bulan Ramadhan juga adalah bulan yang mencabar bagi umat Islam. Cabarannya bukan sebagai individu muslim sahaja malah cabaran sebagai satu umat yang bersatu. Jika kita membaca berita dan menganalisis isu-isu semasa, negara umat Islam yang majoriti sering menjadi tajuk besar.

Kebuluran di Somalia, pertelagahan kuasa di Libya, perbicaraan pemimpin yang zalim dan Mesir dan terbaru, serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza di Palestin. Semuanya berkait dengan kehidupan umat Islam pada bulan puasa. Andai kata Allah swt menguji kesabaran umat Islam, ia menjadi satu rahmat yang besar kepada mereka yang sabar.

Dalam kalangan masyarakat global, ramai juga yang tidak suka dan mengambil keputusan memusuhi umat Islam, melemparkan fitnah dan mencari jalan untuk menekan mana-mana negara Islam yang cuba menjadi jaguh. Orang kafir seperti ini tidak pernah berputus asa dan kepada mereka Allah  berikan peringatan yang sangat bermakna. Allah swt sifatkan mereka sebagai makhluk bergerak yang bernyawa dan paling buruk.

Ayat 55 surah Al-Anfal menyebut, ‘Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah orang-orang kafir kerana mereka tidak beriman.’ Dalam bahasa yang mudah difahami, selagi mereka tidak beriman, gelaran yang paling buruk tetap kekal selama-lamanya. Biar pun mereka berjaya dalam bisnes, menjadi contoh dalam pelbagai bidang atau dapat menjuarai semua jenis pertandingan, kejayaan tersebut hanya sia-sia kerana tidak memberi sebarang faedah di sisi Allah swt.

Ada sifat lain yang Allah swt nyatakan dalam al-quran iaitu orang-orang kafir melindungi rakan mereka yang lain, malah tidak boleh dipercayai dalam sesetengah keadaan.

Umpamanya, jika mereka berjanji, amat mudah untuk memungkiri janji berkenaan tanpa ada rasa bersalah. Apabila mereka berhadapan dengan tindak balas umat Islam, mereka akan bersatu dengan apa sahaja cara supaya umat Islam dikalahkan. Tindakan mempengaruhi umat Islam supaya menjadi penganut agama mereka melalui majlis makan di rumah ibadat adalah siri terbaru kegiatan golongan itu yang tidak pernah jemu berusaha menyebarkan fikrah mereka.

Serbuan pihak berkuasa agama negeri digambarkan seolah-olah mereka yang betul sedangkan fungsi pihak berkenaan adalah memastikan tidak ada umat Islam yang dipengaruhi kelompok kafir ini yang menjadikan rahib dan Al-Masih, putera Maryam sebagai tuhan selain Allah swt. ‘Mereka menjadikan orang alim (Yahudi) dan rahib-rahib (Nasrani) sebagai tuhan selain Allah dan (juga) Al-Masih putera Maryam.’ [At-Taubah ayar 31].

Uat Isam adalah umat yang istimewa, menjadi umat pilihan kerana kesabaran mereka menjadikan Allah swt sebagai Rabb yang disembah. Kekuatan sabar ini sangat hebat sehinggakan sifat sabar ini diberi perumpamaan yang sangat banyak.

Orang yang sabar tidak akan rugi, orang yang sabar juga akan merasai kejayaan walaupun jarak masanya panjang. ‘Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, niscaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh, dan jika ada 100 orang (yang sabar) di antara kamu, niscaya mereka dapat mengalahkan 1,000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti.’ [Al-Anfal ayat 65].

Thursday, August 04, 2011

Konsep pengasingan kuasa di Malaysia






Malaysia dibentuk berasaskan gabungan negeri. Pelaksanaan pentadbiran negara ini menggunakan konsep pengasingan kuasa (separation of power) sebagai tunjang kepada amalan demokrasi. Sejak merdeka sehingga kini, pengasingan kuasa telah membawa kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik yang berpanjangan. Agihan kuasa yang jelas memberi kesan positif kepada pembangunan negara khususnya ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020.

Kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi Malaysia terletak pada sistem pentadbiran yang memisahkan tiga badan utama iaitu Badan Perundangan (legislative), Badan Pemerintah (executive) dan Badan Kehakiman (judicial).  Ketiga-tiga badan ini memiliki bidang kuasa, fungsi dan tanggungjawab khusus dan tidak bertindih antara satu sama lain. Berikut diperincikan ketiga-tiga badan berkenaan.

Badan Perundangan

Badan ini hanya membuat undang-undang dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada mana-mana pihak dan tidak memiliki kuasa. Badan Perundangan juga disebut Parlimen Malaysia mengandungi tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong adalah komponen utama dalam badan ini. Baginda memiliki kuasa memanggil, membatal dan membubarkan parlimen. Bagi melaksanakan kuasa  yang ada kepadanya, baginda mendapatkan nasihat daripada Jemaah Menteri.

Dewan Negara adalah komponen kedua yang juga dianggap sebagai Majlis Tertinggi atau Senat. Fungsi Dewan Negara ialah membahaskan rang undang-undang dengan lebih teliti dan terperinci, membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan umum dan dianggotai seramai 70 orang. Tempoh seorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan boleh disambung sepenggal lagi dengan tempoh yang sama.

Dewan Rakyat adalah komponen ketiga. Ia merupakan majlis khas untuk rakyat Malaysia menyuarakan hasrat dan pandangan di samping mendapatkan pembelaan menerusi wakil-wakil yang dipilih melalui pilihan raya. Bilangan wakil rakyat yang menganggotai Dewan Rakyat ialah 222 dan angka ini boleh bertambah berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa. Tempoh mereka akan tamat dengan sendirinya apabila Parlimen dibubarkan.

Kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat sangat penting dalam proses perundangan. Undang-ndang ini pula dibuat beberapa peringkat. Contohnya, jika seseorang menteri bercadang hendak membentangkan rang undang-undang di parlimen, beliau perlu merangka dasar yang berkaitan rang undang-undang seterusnya mengadakan perundingan dengan Jabatan Peguam Negara, Perbendaharan dan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan. Jabatan Peguam Negara akan menyediakan draf rang undang-undang ini yang kemudiannya melalui beberapa proses sebelum dijadikan undang-undang.

Badan Pemerintah

Badan ini hanya melaksanakan kuasa eksekutif. Ia tidak boleh membuat undang-undang dan penghakiman. Badan ini bertanggungjawab melaksanakan kuasa eksekutif mengikut undang-undang dan perlembagaan. Komponen Badan Pemerintah ialah Jemaah Menteri dan Kementerian.

Jemaah Menteri ataupun dikenali sebagai kabinet adalah badan yang menjalankan kuasa eksekutif yang berada dalam tangan Yang di-Pertua Agong. Peranan Jemaah Menteri ialah menasihati baginda dalam hal ehwal menjalankan tugas-tugas baginda. Kabinet ini diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang mendapat persetujuan majoriti dewan itu.

Kementerian ditubuhkan untuk melaksanakan tugas pemerintahan negara. Setiap kementerian diketuai oleh seorang menteri dan dibantu oleh timbalan menteri. Di bawah kementerian, terdapat jabatan yang berfungsi sebagai pelaksana dasar dan arahan kementerian.

Badan Kehakiman

Badan ini hanya melaksanakan tugas penghakiman. Ia tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa eksekutif. Ia merupakan badan ketiga dalam sistem pemerintahan kerajaan Malaysia. Komponen Badan Kehakiman ialah mahkamah persekutuan, mahkamah rayuan, mahkamah tinggi dan rendah serta ketua hakim.

Fungsi Badan Kehakiman bergantung pada taraf mahkamah yang memiliki kuasa masing-masing. Pelantikan hakim juga dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah badan ini. Contohnya, Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menyatakan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah tinggi dan hakim-hakim yang lain bagi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Konsep pengasingan kuasa ini telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Malaysia sejak merdeka. Kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi serta keharmonian masyarakat adalah bukti yang sangat jelas betapa setiap badan ini melaksanakan fungsi masing-masing. Badan Kehakiman boleh melaksanakan peranannya tanpa diganggu atau merasa takut dengan Badan Eksekutif, manakala Badan Perundangan bebas merangka atau mencadangkan rang undang-undang yang bersesuaian untuk kepentingan masyarakat, bukannya kepentingan beberapa orang sahaja.

Contoh pelaksanaan konsep pengasingan kuasa ialah terdapat sebilangan ahli politik atau tokoh masyarakat yang ditangkap dan dibicarakan seterusnya dijatuhkan hukuman. Ada yang dipenjarakan, ada yang didenda dan ada yang didapati tidak bersalah selepas melalui proses kehakiman yang panjang tanpa dipengaruhi oleh Badan Perundangan atau Badan Eksekutif.

Rujukan
Malaysia Kita: Panduan dan Rujukan untuk Peperiksaan Am Kerajaan. Edisi 2008. Petaling Jaya, Selangor: International Law Book Services. 

Wednesday, August 03, 2011

Kursus induksi, rumah kerajaan



Semua pegawai dan kakitangan kerajaan yang mendiami Rumah Kerajaan dikenakan membayar sewa tetapi terdapat beberapa golongan pegawai dikecualikan daripada membayar sewa. Apakah kategori pegawai yang dikecualikan daripada membayar sewa itu?

Pegawai-pegawai yang dikecualikan daripada membayar sewa rumah bagi rumah kerajaan yang diperuntukkan kepadanya ialah pegawai-pegawai Tingkatan Kelas “A” ke atas seperti Ketua Setiausaha Negara, Naib Canselor, pegawai-pegawai dalam perkhidmatan-perkhidmatan bomba (yang berpangkat Ahli Bomba sehingga Pegawai Bomba Tingkatan 1) dan Perkhidmatan Penjara (yang berpangkat daripada Warden/Pegawai Penjara sehingga Pegawai Besar) dan pegawai yang dikehendaki menduduki rumah Jabatan.

Jelaskan tanggungjawab-tanggungjawab dan larangan-larangan bagi seseorang Pegawai Awam yang menyewa rumah kerajaan.

A. Tanggungjawab

1. Membersihkan kawasan dengan sebaik-baiknya termasuk kerja-kerja potong rumput dan buang sampah sarap seperti tin-tin kosong, botol, kotak dan sebagainya.

2. Melaporkan kerosakan kepada Jabatan Kerja Raya tempatan tentang kerosakan atau kekurangan yang terdapat dalam rumah sebaik sahaja kerosakan diketahui.

3. Melaporkan kepada Jabatan Kerja Raya tempatan yang yang dirinya telah diperuntukkan rumah dengan menyatakan tarikh cadangan masuk rumah. Seterusnya menandatangani sijil akuan masuk rumah mengambil alih tanggungjawab.

4. Melaporkan tarikh masuk rumah kepada Pegawai Perumahan untuk tindakan memotong sewa daripada gaji setiap bulan.

5. Melaporkan kekosongan rumah kepada Pegawai Perumahan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh bercadang mengosongkan rumah.

6. Menyerahkan kunci dan menandatangani satu sijil akuan keluar rumah.

B. Larangan

1. Meminda rumah
Pegawai dilarang membuat tambahan atau pindaan kepada mana-mana bahagian dalam atau luar rumah tanpa kebenaran daripada pihak Jabatan Kerja Raya tempatan. Pegawai yang bertanggungjawab atas apa-apa kerosakan atau kekurangan kepada mana-mana bahagian atau perabot yang bukan disebabkan oleh penggunaan yang sepatutnya.

2. Menyewa rumah
Pegawai dilarang daripada menyewakan mana-mana bahagian rumah yang telah diperuntukkan kepadanya. Selain daripada keluarga dan orang gaji serta tetamu-tetamu sementara, tidak ada orang lain yang boleh dibenarkan tinggal dalam rumah berkenaan. Sesebuah rumah tidak boleh digunakan untuk kegunaan lain kecuali sebagai tempat kediaman pegawai.

3. Menternak binatang
Pegawai dilarang daripada memelihara binatang-binatang ternakan termasuk ayam dan itik di mana-mana bahagian rumah, di bawah atau di dalamnya.