Tuesday, August 16, 2011

Manado: ‘Aman tetap aman’




oleh Karim Raslan

Setelah beberapa minggu di jalanan menjelajah Indonesia, fikiran saya sudah mula bermain helah. Pada mulanya, saya menyangka ini mungkin kerana rasa rindu pada Malaysia. Saya tiba di kota-kota ini, kadangkala buat pertama kalinya - tetapi saya merasakan seolah-olah imej-imej yang bermain di mata, telah kelihatan sebelumnya, jauh di sudut minda. Mungkin wajah itu pernah saya temui, deretan kedai itu pernah saya kunjungi, gunung-ganang dan pepohon yang membarisi jalan itu pernah saya lihat - di mana sahaja saya menoleh, saya dihantui masa silam, nostalgia yang kadangkala menimbulkan rasa sayu di hati.

Sememangnya, sebagai seorang rakyat Malaysia di Indonesia, saya kadangkala keliru, dan rasa tersepit di antara dua realiti. Antara keakraban dan rasa jauh, antara rasa ingin diterima sebagai anak tempatan, dan berasa asing di perantauan.

Perasaan sayu ini ditambah rasa marah dan kecewa membaca berita yang melaporkan akhbar dibakar, gereja diserbu, dan perjanjian “bawah-meja” dimeterai- apakah yang akan berlaku kepada tanah air tercinta ini? Isu-isu ini bermain di fikiran saya, bertukar-tukar dengan imbauan memori silam menjelajah negara jiran yang luas ini.

Walaupun begitu, setibanya saya di Lapangan Terbang Manado Sam Ratulangi, saya berasa gembira - maraton siri jelajah saya di Indonesia yang dipenuhi baju kotor menimbun, emel berselerak, jadual tidur tidak menentu dan sakit tekak - sudah hampir berakhir.

Saya tidak menjangkakan apa-apa yang istimewa tentang Utara Sulawesi. Seperti ramai rakyat Malaysia lain, saya tahu bintang filem masyhur zaman 60-an yang menjadi kegilaan kerabat diraja Melayu ketika itu, Maria Manado, berasal dari kepulauan ini. Saya juga tahu majoriti dari 2.5 juta penduduk wilayah ini beragama Kristian (Protestan, bukan Katolik) dan ia lebih hampir dengan Pulau Davao di Filipina berbanding ibu negara Indonesia, Jakarta, yang hanya tiga jam dari Manado.

Namun, setibanya di sana, saya berasakan seperti dibawa ke masa silam dan kembali ke Kota Kinabalu (KK) pada awal 1990an, meningkatkan rasa “déjà vu” saya kerana fikiran tertumpu kepada Malaysia dan isu-isu semasa.

Waktu itu, KK terasa seperti satu projek yang belum selesai, atau baru bermula. Terdapat projek penambakan besar-besaran di sekitar pantai, pelan-pelan bercita-cita tinggi untuk menarik pelancong, ratusan kenderaan pacuan empat roda (yang dipanggil Ninja), wanita kaum Dusun dengan raga besar diikat di belakang sambil mendaki bukit dan jalan baru yang menghubungkan kawasan pedalaman. Ia kotor, berdebu, liar dan penuh dengan cabaran. Pada masa sama, KK waktu itu dan juga hari ini, kota yang aman damai, di mana hubungan antara kaum berkembang sihat - mereka saling mempercayai, bukan seperti di Semenanjung.

Saya menghabiskan masa di Manado, melihat kota aman ini daripada kaca mata seorang pengembara, tertarik untuk membandingkan dua kota persisiran pantai-KK dan Manado yang kedua-duanya dipagari gunung-ganang yang teguh lagi memukau. Akan tetapi, di Manado gunungnya - berapi dan aktif.

Sememangnya, Gunung Seputan sudah kembali aktif sejak beberapa bulan kebelakangan ini- memuntahkan lava dan debu yang sudah beberapa kali menghalang pesawat untuk mendarat di Manado. Apa yang lebih memukau (seperti di KK di mana bandar raya itu berlatar-belakangkan Gunung Kinabalu yang indah), di Manado, anda boleh duduk di tepi pantai dan menghayati pemandangan indah Gunung Manado Tua dekat dengan pelabuhan kota itu.

Seperti kebiasaan, saya berbual-bual dengan pemimpin tempatan, dan salah seorang daripada mereka ialah seorang paderi, Father Nico Gara, seorang ahli majlis hubungan antara kaum di wilayah Sulawesi Utara. Perbualan dengan beliau mengingatkan saya lagi kepada Koya Kinabalu.

“Kami mempunyai rangkaian yang mantap dan boleh campur tangan untuk menenangkan provokasi di mana-mana. Kita bertindak dengan cepat dan bertanggungjawab,” ujar Father Nico menerangkan peranan majlis hubungan antara kaum.

Malah, sepanjang dekad lalu sebahagian besar Timur Indonesia menderita akibat persengketaan antara agama - dari Poso, Maluku dan Ambon. Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Manado telah kekal aman. Ia merupakan rekod yang dicemburui seluruh negara dan sememangnya penduduk tempatan amat berbangga dengan pencapaian ini.

Sesungguhnya ‘aman, tetap aman’ berulang kali menitip bibir penduduk tempatan yang sudah sekian lama mengidamkan ketenangan, damai dan harmoni yang berkekalan...

(Sinar Harian, 16 Ogos 2011)


No comments:

Post a Comment