Thursday, August 04, 2011

Konsep pengasingan kuasa di Malaysia






Malaysia dibentuk berasaskan gabungan negeri. Pelaksanaan pentadbiran negara ini menggunakan konsep pengasingan kuasa (separation of power) sebagai tunjang kepada amalan demokrasi. Sejak merdeka sehingga kini, pengasingan kuasa telah membawa kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik yang berpanjangan. Agihan kuasa yang jelas memberi kesan positif kepada pembangunan negara khususnya ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020.

Kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi Malaysia terletak pada sistem pentadbiran yang memisahkan tiga badan utama iaitu Badan Perundangan (legislative), Badan Pemerintah (executive) dan Badan Kehakiman (judicial).  Ketiga-tiga badan ini memiliki bidang kuasa, fungsi dan tanggungjawab khusus dan tidak bertindih antara satu sama lain. Berikut diperincikan ketiga-tiga badan berkenaan.

Badan Perundangan

Badan ini hanya membuat undang-undang dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada mana-mana pihak dan tidak memiliki kuasa. Badan Perundangan juga disebut Parlimen Malaysia mengandungi tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong adalah komponen utama dalam badan ini. Baginda memiliki kuasa memanggil, membatal dan membubarkan parlimen. Bagi melaksanakan kuasa  yang ada kepadanya, baginda mendapatkan nasihat daripada Jemaah Menteri.

Dewan Negara adalah komponen kedua yang juga dianggap sebagai Majlis Tertinggi atau Senat. Fungsi Dewan Negara ialah membahaskan rang undang-undang dengan lebih teliti dan terperinci, membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan umum dan dianggotai seramai 70 orang. Tempoh seorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan boleh disambung sepenggal lagi dengan tempoh yang sama.

Dewan Rakyat adalah komponen ketiga. Ia merupakan majlis khas untuk rakyat Malaysia menyuarakan hasrat dan pandangan di samping mendapatkan pembelaan menerusi wakil-wakil yang dipilih melalui pilihan raya. Bilangan wakil rakyat yang menganggotai Dewan Rakyat ialah 222 dan angka ini boleh bertambah berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa. Tempoh mereka akan tamat dengan sendirinya apabila Parlimen dibubarkan.

Kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat sangat penting dalam proses perundangan. Undang-ndang ini pula dibuat beberapa peringkat. Contohnya, jika seseorang menteri bercadang hendak membentangkan rang undang-undang di parlimen, beliau perlu merangka dasar yang berkaitan rang undang-undang seterusnya mengadakan perundingan dengan Jabatan Peguam Negara, Perbendaharan dan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan. Jabatan Peguam Negara akan menyediakan draf rang undang-undang ini yang kemudiannya melalui beberapa proses sebelum dijadikan undang-undang.

Badan Pemerintah

Badan ini hanya melaksanakan kuasa eksekutif. Ia tidak boleh membuat undang-undang dan penghakiman. Badan ini bertanggungjawab melaksanakan kuasa eksekutif mengikut undang-undang dan perlembagaan. Komponen Badan Pemerintah ialah Jemaah Menteri dan Kementerian.

Jemaah Menteri ataupun dikenali sebagai kabinet adalah badan yang menjalankan kuasa eksekutif yang berada dalam tangan Yang di-Pertua Agong. Peranan Jemaah Menteri ialah menasihati baginda dalam hal ehwal menjalankan tugas-tugas baginda. Kabinet ini diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang mendapat persetujuan majoriti dewan itu.

Kementerian ditubuhkan untuk melaksanakan tugas pemerintahan negara. Setiap kementerian diketuai oleh seorang menteri dan dibantu oleh timbalan menteri. Di bawah kementerian, terdapat jabatan yang berfungsi sebagai pelaksana dasar dan arahan kementerian.

Badan Kehakiman

Badan ini hanya melaksanakan tugas penghakiman. Ia tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa eksekutif. Ia merupakan badan ketiga dalam sistem pemerintahan kerajaan Malaysia. Komponen Badan Kehakiman ialah mahkamah persekutuan, mahkamah rayuan, mahkamah tinggi dan rendah serta ketua hakim.

Fungsi Badan Kehakiman bergantung pada taraf mahkamah yang memiliki kuasa masing-masing. Pelantikan hakim juga dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah badan ini. Contohnya, Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menyatakan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah tinggi dan hakim-hakim yang lain bagi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Konsep pengasingan kuasa ini telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Malaysia sejak merdeka. Kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi serta keharmonian masyarakat adalah bukti yang sangat jelas betapa setiap badan ini melaksanakan fungsi masing-masing. Badan Kehakiman boleh melaksanakan peranannya tanpa diganggu atau merasa takut dengan Badan Eksekutif, manakala Badan Perundangan bebas merangka atau mencadangkan rang undang-undang yang bersesuaian untuk kepentingan masyarakat, bukannya kepentingan beberapa orang sahaja.

Contoh pelaksanaan konsep pengasingan kuasa ialah terdapat sebilangan ahli politik atau tokoh masyarakat yang ditangkap dan dibicarakan seterusnya dijatuhkan hukuman. Ada yang dipenjarakan, ada yang didenda dan ada yang didapati tidak bersalah selepas melalui proses kehakiman yang panjang tanpa dipengaruhi oleh Badan Perundangan atau Badan Eksekutif.

Rujukan
Malaysia Kita: Panduan dan Rujukan untuk Peperiksaan Am Kerajaan. Edisi 2008. Petaling Jaya, Selangor: International Law Book Services. 

1 comment:

  1. THANKYOU FOR YOUR SHARING IT IS DOES HELP ME A LOT IN MY FINAL ASSESTMENT <3 !!!

    ReplyDelete