Monday, July 25, 2011

Standard global





Kita tidak akan mampu mencapai matlamat bertaraf global jika tidak ada keupayaan dan kemampuan bergerak selari dengan standard antarabangsa. Cara kerja, corak berfikir dan strategi bertindak mestilah menunjukkan tahap keupayaan luar biasa supaya dapat bersaing dengan kelompok bangsa-bangsa yang maju.

Taraf global hanya dapat dicapai oleh peribadi-peribadi yang memiliki kualiti diri. Peribadi yang memiliki kualiti diri umpama akar pokok yang menyokong dan menunjangi julangan pucuk. Teguh berdiri sebatang pokok selama bertahun-tahun adalah kerana akarnya kuat, mantap dan mencengkam ke bumi. Di hujung akar-akar ini terdapat alat pengesan yang sangat sensitif untuk mencari makanan dan keperluan bagi batang, daun dan sistem pertumbuhan pokok yang kuat.

Contoh yang lain ialah memasang cerucuk untuk membina bangunan. Semakin tinggi dan gah sesebuah binaan, semakin dalam cerucuk ditanam supaya asas binaan tersebut menjadi kuat dan stabil.

Usaha membina sebuah bangunan yang menjulang tinggi ke langit perlukan tapak yang kuat supaya dapat menahan sebarang ancaman yang dapat meruntuhkan atau merosakkan binaan itu.

Dalam diri kita, sebagai manusia yang memiliki sifat dan ciri-ciri makhluk yang sempurna, kualiti diri yang ada di dalam diri kita boleh diperkukuhkan. Kita perlu ada nilai-nilai yang mendokong jati diri supaya menjadi yang hebat dan cemerlang.

Jika tidak ada sistem nilai yang menyokong keutuhan jati diri, organisasi dan masyarakat tidak dapat menghampiri standard global dan pasti kalah dalam persaingan.

 

No comments:

Post a Comment