oleh Karim Raslam
Arus sejarah kontemporari Malaysia sudah terencat. Dari mara ke hadapan, ia telah kembali ke belakang, mengulangi masa silam: Kes Sodomi 1, Kes Sodomi 2, Bersih 1 dan Bersih 2.
Ada yang mengatakan bahawa masalah politik ini tidak memberi kesan kepada ekonomi negara. Saya tidak bersetuju dengan hujah ini. Jika ekonomi Malaysia mahu berkembang ke tahap yang lebih tinggi, kita memerlukan transformasi politik- kita memerlukan suntikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan dinamisme dalam suasana masyarakat yang terbuka. Malangnya, kuasa “kegelapan” terlalu kuat dan mendalam. Justeru, modal pelaburan yang keluar dan modal insan yang berduyun-duyun meninggalkan Malaysia merupakan kesan langsung dari kecekalan kerajaan untuk menolak agenda transformasi yang menyeluruh.
Apabila cerita mengenai Bersih 2.0 menjadi berita hangat beberapa minggu kelmarin, saya menyangka ia hanya membazir masa. Pada pendapat saya, agenda pergerakan sivil telah diketepikan dan masalah inflasi yang meningkat dan kenaikan harga barang telah menjadi masalah utama rakyat.
Sangkaan saya ternyata meleset, Bersih 2.0 ternyata kembali lebih “panas.” Namun, ini bukan disebabkan oleh kepintaran pihak penganjur mempromosikan Bersih, tetapi kelemahan pihak kerajaan dalam mengatasi masalah ini.
Kenyaringan laungan di media yang mengkritik dan mengecam Bersih dan penganjurnya serta kecekalan pihak kerajaan untuk berdepan dengan Bersih telah membawa kita ke jalan buntu. Sejak beberapa minggu lepas, Bersih 2.0 telah menjadi obor untuk perubahan politik- membakar semangat perubahan yang memecahbelahkan perpaduan masyarakat.
Saya merasakan ini tidak masuk akal- objektif awal pergerakan ini mudah untuk diterima umum. Bagaimana kita boleh menolak panggilan untuk pilihan raya yang bersih dan adil?
Walaupun ramai yang tidak bersetuju dengan Bersih, kita seharusnya diingatkan tentang hak kebebasan berhimpun yang dijamin oleh Artikel 10 dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, sejak rusuhan kaum 1969, kerajaan Malaysia telah mengambil pandangan bahawa kebebasan seharusnya disekat kerana “takut” akan kekacauan.
Hakikat bahawa kita masih lagi takut akan bayang-bayang peristiwa 13 Mei membuktikan kegagalan kita dalam membangunkan hubungan antara kaum yang baik sejak 1969. Bukankah kita telah lebih matang kuat dan cekal sebagai satu bangsa?
Terdapat tiga lagi hujah yang ingin saya coretkan di sini:
Pertamanya- seperti yang telah saya perkatakan sebelum ini, internet, laman media sosial seperti Facebook and Twitter telah meratakan hierarki tradisional dan struktur pemerintahan lama.
Media arus perdana bukan lagi sumber tunggal untuk informasi dan pendapat. Peredaran zaman dan perubahan teknologi memerlukan perubahan pemikiran dari segi strategi parti politik, dan tentunya kerajaan yang memerintah.
Sememangnya, perubahan ini tidak ketara dalam pemimpin BN dan UMNO, yang majoritinya lebih gemar menyorok di belakang undang-undang daripada berdebat secara terbuka dan rasional.
Kedua, dalam berurusan dengan Bersih 2.0, kerajaan seharusnya sedar, bahawa pemain utama gerakan ini adalah Pas. Anwar Ibrahim tidak lagi begitu berkuasa. Ambiga Sreenevasan yang menolak keras tawaran Anwar bahawa beliau berkuasa untuk membatalkan perhimpunan itu, telah melemahkan kedudukan politik Anwar.
Tambahan lagi, ulama PAS bukan ahli politik biasa. Memukul atau menangkap Tuan Guru Hadi Awang akan menjadikan beliau bintang politik bersinar. Kekerasan terhadap ulama akan meningkatkan sentimen anti-kerajaan dan membawa Pas maju ke depan.
Ketiga dan terakhir, mungkin kita harus menghayati pesanan Winston Churchill, yang pernah berkata“ mereka yang tidak belajar dari sejarah akan mengulanginya.”
Banyak faktor-faktor yang telah membolehkan kemenangan besar Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 2008 telah kembali - inflasi, keputusan pilihan raya negeri Sarawak, rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat Cina dan Kristian serta rasa tidak puas hati masyarakat bandar dengan kos sara hidup yang tinggi.
Kini, Barisan Nasional dan UMNO tidak lagi menetapkan agenda. Sebaliknya, sengaja atau tidak, mereka kelihatan seperti mengikut telunjuk permainan politik pembangkang. Dalam konteks ini, adakah sejarah akan berulang? Apakah mungkin, Tsunami 1 akan disusuli oleh Tsunami 2?
|
(Sinar Harian, 5 Julai 2011)
|
No comments:
Post a Comment