Persamaan di antara Bersih1.0 dan Bersih2.0 ialah kedua-duanya berhadapan dengan gas pemedih mata. Oleh kerana baju t-shirt berwarna kuning diharamkan kali ini, peserta perhimpunan Bersih2.0 bebas memakai pakaian kegemaran masing-masing, satu keadaan yang membingungkan pihak polis Malaysia untuk menangkap orang yang disyaki. Angka yang ditangkap berbeza-beza. Ada yang kata 1500, ada kata 1401 dan ada yang kata 1400 saja. Faham yang mudah, ramai yang kena tangkap termasuk kanak-kanak.
Tangkapan ini umpama pukat tunda yang mengaut semua spesis ikan di laut. Laki-laki, perempuan, tua dan muda menjadi mangsa dan paling malang, seorang daripada peserta ini telah meninggal dunia. Bagi mengelak rasa malu dan bersalah, polis Kuala Lumpur mengharapkan orang ramai memberi maklumat kepada mereka supaya kematian berkenaan dapat disiasat. Walau bagaimanapun parti pembangkang mahu lebih daripada itu.
Bersih2.0 adalah gabungan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang mahu melihat pilihan raya Malaysia diadakan dalam keadaan adil dan aman. Kerajaan Barisan Nasional menegaskan pilihan raya sudah diadakan dalam keadaan adil dan saksama, tidak ada apa-apa yang hendak dirisaukan lagi. Namun tidak bagi Bersih2.0, mereka ada bukti dan kenyataan bahawa pilihan raya masih korup dan wujud kelemahan yang ketara.
Perjalanan Bersih2.0 penuh dengan ugutan dan tekanan untuk menghalang orang ramai daripada menyertai perhimpunan di Kuala Lumpur. Surat khabar perdana seperti Utusan Malaysia begitu bersemangat memberi maklumat dan menjaja kempen supaya perhimpunan Bersih2.0 dijauhi. Khutbah Jumaat pada 8 Julai pula menyeru mimbar untuk membenci perhimpunan berkenaan dengan memetik beberapa ayat al-quran dan hadis.
Menganalisis perhimpunan Bersih2.0 perlukan beberapa pendekatan yang berhati-hati. Umpamanya, apakah tujuan perhimpunan ini diadakan, kenapa warna kuning dan nama BERSIH yang dipilih? Siapa yang menggerakkan gelombang ini dan apakah hala tuju atau matlamatnya? Bagaimana gerakan ini disusun dan diatur? Siapa yang membiayainya? Bagaimana penggerak Bersih2.0 mampu menarik perhatian anak-anak muda untuk menyertai mereka? Pertanyaan paling penting ialah apakah impak ke atas kesedaran berpolitik dalam kalangan generasi muda hari ini?
Selepas era 1998, golongan muda telah menjadi sasaran parti politik sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat untuk kepentingan politik masing-masing. Mereka dibelai dan didedahkan dengan pelbagai maklumat yang mudah diperoleh. Fikiran dan nilai mereka turut diasuh supaya menjadi setia. Hari ini, anak-anak muda yang penuh inspirasi memenuhi jalan raya dari Jalan Hang Jebat hingga ke KLCC.
Orang tua tanpa idealisme tidak berminat dengan perarakan yang menyentap kudrat mereka. Golongan ini yang menjadi nadi kepada kejayaan Barisan Nasional ketika ini lebih percaya dengan berita di akhbar berbanding maklumat kilat di blog, facebook atau twitter. Mereka ini paling mudah dipengaruh. Kepercayaan mereka terhadap akhbar dan televisyen milik kerajaan sukar digugat.
Orang muda berbeza. Mereka punya idealisme dan inspirasi masa depan untuk negara mereka. Mereka tidak mudah terpengaruh dengan rayuan dan rintihan lidah pengarang, sebaliknya leka dengan mencari maklumat di internet, bertukar-tukar pesanan ringkas dan sekali-sekala bersembang-sembang dengan rakan di ruang maya facebook dengan iPhone dan iPad masing-masing.
Anak-anak muda Melayu yang paling menonjol ketika ini sehingga memeningkan kepala pemimpin. Seorang menteri berkata beliau sangat hairan kenapa anak-anak muda Melayu ini begitu ghairah menentang kerajaan, sanggup dibelasah dan ditangkap pihak polis Malaysia. Mereka bangkit, berjalan di tengah-tengah konflik tanpa menunjukkan raut wajah yang takut. Mereka berlari dan merempuh sekatan polis Malaysia dengan bangga dan sesekali jatuh, bingkas bangkit dan kembali menyusun langkah.
Apakah yang menggerakkan kebangkitan kesedaran anak-anak muda Melayu ini? Adakah Patriot Pemuda UMNO? Adakah Putera Umno? Adakah ada ejen asing yang menyusup masuk dan menggerakkan mereka? Adakah parti politik pembangkang telah berjaya menawan hati anak-anak muda ini melalui aktiviti anti establishment yang digilap sepuluh tahun lalu? Atau ada faktor-faktor lain yang mungkin berbeza?
Penganjur Bersih2.0 menyifatkan perhimpunan kali ini sangat berjaya dan mencapai matlamat, ia juga bakal menjadi permulaan kepada aktiviti yang seumpamanya. Namun, perdana menteri Najib Tun Razak menolak dakwaan itu sambil menyeru majoriti senyap rakyat Malaysia menunjukkan sikap mereka terhadap Bersih2.0. Di Malaysia, yang senyap akan terus senyap dan yang lantang akan terus bersuara. Yang senyap berlalu pergi, yang lantang dijulang tinggi. Sama ada generasi muda pro arau kontra dengan Bersih2.0, pilihan raya ke-13 menjadi medan persabungan yang hebat.
No comments:
Post a Comment