Wednesday, July 06, 2011

Bila kerajaan hendak berubah?






Penerimaan wakil perhimpunan BERSIH2.0 untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong amat menarik untuk dinilai dari pelbagai sudut. Jarang sekali kita dapat melihat peranan baginda dalam membuat apa yang patut dan apa yang tidak kerana peranan tersebut banyak dibuat oleh kerajaan yang memerintah sehingga rakyat tidak nampak peranan insitusi raja berpelembagaan dalam menyelesaikan masalah negara. Titah khas sempena rancangan perhimpunan pada 9 Julai nanti menjadi pemisah di antara kerajaan yang marah dengan pembangkang yang ghairah.

Media massa yang mempromosi perhimpunan tersebut menjadikan Datuk Ambiga orang yang popular dan baju kuning digilai. Seorang pelajar yang tidak sedar tentang BERSIH2.0, kini teruja untuk melihat acara tersebut dilangsungkan.

Begitu juga dengan seorang penjual makanan di simpang tiga pekan Kodiang, Kedah yang ingin membiayai pemergian rakan-rakannya ke Kuala Lumpur. Seorang pensyarah pula ingin benar BERSIH2.0 menjadi pencetus kepada demokrasi media yang lebih berjaya dan tidak terikat dengan beberapa akhbar dan media elektronik yang mengongkong pemikiran.

Rakan di sebelah ketawa dan tersengih kerana melihat kelucuan pihak berkuasa yag mengaitkan elemen komunis dengan BERSIH2.0. Katanya, ‘Apalah cerita... polis jumpa baju gambar komunis! Ini zaman moden. Dia ingat kita boleh percaya?’ Saya juga berfikir, adakah polis Malaysia semakin tinggi aras kecerdikan atau sebaliknya dalam usaha mencegah perhimpunan itu.

Dalam kalangan generasi muda atau Generasi Y hari ini, tindakan polis dan kerajaan untuk menghalang perhimpunan bagi menuntut pilihan raya yang lebih adil adalah sangat ketinggalan zaman. Generasi ini terdedah dengan pendidikan, maklumat dan perkembangan dunia yang menyebabkan fikiran dan nilai mereka terhadap kerajaan berubah sama sekali.

Barisan Nasional dilihat berada di pihak yang kalah sebaik sahaja melancarkan kempen memburukkan BERSIH2.0 kerana memiliki sifat ‘takut berubah’ sedangkan negara-negara yang membuat perubahan dalam sistem pilihan raya  semakin berkembang dalam aspek ekonomi, politik dan sosial. Kita tidak mahu kerajaan yang menaikkan harga minyak dengan mengutamakan keuntungan diri, kenaikan harga barang yang membebankan orang kampung dan bandar, gaji kakitangan awam yang tidak naik-naik kerana pengurusan ekonomi yang lemah dan rasuah yang menjadi-jadi di sebalik usaha yang murni.

Rakyat tidak lagi memberi keutamaan kepada kaum mana yang memerintah dan menjadi kerajaan kerana keperluan mereka lebih penting. Mencari pekerjaan, mendapat kehidupan yang selesa dan tahap pendapatan yang bergaya adalah ciri-ciri orang hari ini, bukannya menyokong berasaskan kaum atau agama. Cabaran kerajaan dan parti-parti yang lain ialah memenuhi keperluan seperti ini.

Dalam pilihan raya akan datang, Barisan Nasional akan dikafankan jika masih berdegil untuk membuat perubahan, masih degil dengan elemen ancaman perkauman dan menggunakan polis untuk mengekang kebangkitan rakyat yang mahukan hak mereka dipenuhkan.

Pengundi muda semakin ramai dan mereka ini terdedah dengan sifat agresif dan mahukan sesuatu yang memenuhi keperluan hidup dengan segera. Mereka tidak mahu didendangkan dengan pembangunan kerana baik kerajaan atau pembangkang, pembangunan akan terus berlaku.

Selangor masih membangun, Kelantan masih kekal seperti sediakala dan Pulau Pinang juga semakin berkembang. Sekiranya bentuk pemikiran rasional seperti ini digunakan untuk menjelaskan konsep dan erti pembangunan kepada rakyat di luar bandar, Sabah dan Sarawak, wakil rakyat Barisan Nasional wajar berfikir ke mana mereka akan pergi selepas pilihan raya akan datang.  

 

No comments:

Post a Comment