Kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk menghalang pusat-pusat hiburan dibuka sepanjang bulan ramadhan yang akan datang, suatu langkah yang sangat baik untuk menjaga kesucian bulan berkenaan. Sebagai seorang Islam, keputusan tersebut menepati jiwa dan ruh bulan yang diberkati itu. Amalan dalam bulan ramadhan akan dilipatgandakan pahala bersesuaian dengan rahmat Allah swt kepada umat Islam yang beramal. Menghindari pusat hiburan yang melalaikan dan menjurus kepada amalan sia-sia adalah langkah bijak kepada penghayatan amalan yang soleh.
Ketegasan menteri besar negeri itu yang ditangannya ada kuasa, amat dipuji kerana mandat yang diberikan kepadanya telah ditunjukkan. Rakyat negeri Kedah wajar bersyukur dan berbangga. Diharap tindakan ini akan dituruti oleh negeri-negeri lain.
Di sebalik masyarakat Islam bersyukur di atas ketegasan menteri besar, di media pula heboh kerana ditentang oleh golongan yang bukan Islam yang menjalankan bisnes pusat hiburan ini. Suara mereka diangkat dan diberi ruang di media setiap hari tanpa ada segan atau hormat kepada umat Islam yang majoriti. Tanpa segan silu mereka mendesak kerajaan negeri Kedah menarik larangan berkenaan atas alasan mereka mencari wang dan berniaga.
Majoriti penduduk Malaysia beragama Islam dan Islam juga menjadi agama rasmi negara. Kenapa boleh terjadi masih ramai orang bukan Islam ini yang masih tidak faham agama Islam? Sedangkan parti pemerintah yang membentuk dan mengetuai kerajaan adalah orang Islam? Adakah dakwah tidak sampai atau tidak ada usaha untuk berdakwah?
Ada satu cerita mengenai seorang diplomat dari negara Italy yang memeluk agama Islam semasa berkhidmat di Arab Saudi. Tempoh perkhidmatnnya tidak panjang namun tempoh itu digunakan sebaik-baiknya untuk mengenal dan belajar tentang Islam. Oleh kerana Islam menepati kehendak jiwanya dan usaha dakwah yang dilakukan kerajaan Arab Saudi, diplomat tersebut mengambil keputusan untuk menjadi seorang Islam. Perkara ini tidak dihebohkan sangat namun agak memeranjatkan kerajaan Italy.
Barangkali kejahilan sebahagian besar masyarakat bukan Islam di Malaysia ialah kerana usaha dakwah tidak dilakukan bersungguh-sungguh oleh kerajaan. Rakan parti mereka boleh bersekongkol dengan parti lawan untuk menghentam cadangan demi kebaikan umat Islam sendiri. Jika perkara ini berterusan, Islam tidak dipandang mulia atau hebat, malah mungkin dijauhi.
Sepatutnya kerajaan sentiasa memberi penerangan dan dakwah secara berterusan untuk menyemarakkan pengetahuan dalam kalangan bukan Islam. Mereka boleh melakukannya kerana ada agensi dan orang ramai berminat hendak membantu. Cuma gerakkan harus dimulai sekarang dengan menentukan strategi dan matlamat yang jelas.
Sepatutnya kerajaan sentiasa memberi penerangan dan dakwah secara berterusan untuk menyemarakkan pengetahuan dalam kalangan bukan Islam. Mereka boleh melakukannya kerana ada agensi dan orang ramai berminat hendak membantu. Cuma gerakkan harus dimulai sekarang dengan menentukan strategi dan matlamat yang jelas.
No comments:
Post a Comment