Tuesday, July 26, 2011

Internet bunuh industri media cetak



oleh Karim Raslam

Satu laporan khas - majalah The Economist siaran minggu lepas, mengupas dunia media baru dengan mendalam, terutamanya selepas kejadian protes di Tahrir Square.

Artikel ditulis sebelum lanjutan perkembangan kes News of the World (melibatkan kes merakam secara haram perbualan telefon ahli politik, selebriti, keluarga mangsa pembunuhan) yang memalukan hartawan media global Rupert Murdoch ini menggariskan perkembangan luar biasa dan pendemokrasian radikal industri berita, di mana teknologi atasi model perniagaan tradisional.

The Economist menyatakan, industri berita global sedang alami perubahan dramatik - sesuatu yang kita di Malaysia juga alami.

Ternyata, dalam era sebelum kedatangan surat khabar, orang ramai bertukar-tukar berita secara muka ke muka: di kedai kopi, warung dan pasar.

Berita yang disampaikan selalunya bercampur-aduk dengan gosip dan sering tidak tepat, maka terpulang kepada individu untuk menentukan kebenaran berita yang didengari secara sendiri. Jelas sekali ini adalah dunia tukang cerita - satu keadaan di mana berlakunya kekurangan dalam kebenaran dan penipuan berada di setiap sudut.

Akan tetapi, menurut The Economist, industri berita sedang berhadapan kepulangan masa lampau yang mengejutkan. Perbualan secara rawak di pasar kini digantikan oleh celotehan media sosial - dari Twitter, Facebook dan YouTube.

Ironinya, kita akan saksikan keretakan dalam perdebatan awam, kerana kini suara yang berbeza mula membanjiri persada media perdana.

Ini juga disertai penurunan jualan dan penetrasi media tradisional (seperti akhbar dan majalah). Pada masa sama anda juga harus bertanya kepada diri: ‘bilakah kali terakhir membaca akhbar fizikal?’ 

Bukankah menyelak halaman akhbar di Ipad atau Blackberry itu lebih mudah dan percuma?

Sudah tentu keadaan industri media cetak berbeza dari negara ke negara. Sememangnya, sebaran berita di internet punya kesan paling dramatik pada industri akhbar di Britain dan Amerika, di mana semuanya mengalami penurunan yang besar dalam pengedaran dan keuntungan, terutama hasil dari pengiklanan.

Menariknya, di sebalik kesuraman industri media Barat, masih terdapat pertumbuhan dalam edaran akhbar di India, Brazil dan Indonesia.

Dari perspektif politik, penguasaan industri media oleh individu dan firma swasta menyebabkan pemusatan pengaruh di luar batasan politik.

Mereka yang miliki akhbar boleh menjadi sangat berkuasa dengan cepat, contohnya William Hearst, Beaverbrook dan semestinya Rupert Murdoch. Mereka ini sering kelihatan berdampingan dengan orang-orang yang berkuasa.

Lumrah ahli-ahli politik tidak suka persaingan kuasa. Justeru, mereka akan berusaha untuk membendung pengaruh pemilik media. Lihat sahajalah, ahli-ahli politik Britain pantas meninggalkan Murdoch yang dilanda masalah.

Walau bagaimanapun, di negara-negara seperti Malaysia, dengan peraturan-peraturan pelesenan akhbar yang ketat, penguasaan terhadap media perdana dengan jelasnya memihak kepada kerajaan dan parti politik.

Kepemilikan akhbar oleh parti-parti politik dan sekutu mereka adalah kunci utama Barisan Nasional kekal berkuasa selama lebih lima dekad.

Tetapi masa berubah. Revolusi internet menggegarkan surat khabar Malaysia yang kebanyakannya juga mengalami penurunan besar dalam edaran.

Kita kini berhadapan dengan senario yang unik di Malaysia. Kita ada media terbahagi di tengah-tengah - dengan media perdana (konvensional) yang menyokong BN dan media berasaskan web yang kebanyakannya menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Walau bagaimanapun, strategi komunikasi politik BN seakan-akan berpuas hati dengan penguasaan terus media perdana. Mereka selesa mengekori perkembangan PR - mendepani persaingan perang siber. Walaupun ada perubahan dalam strategi komunikasi siber BN sejak 2008, tetapi perubahan ini terlalu minimum. Contohnya, tatkala PR sibuk berperang psikologi di laman Twitter, penyokong BN masih bertempur di medan blog.

Sesungguhnya, penerusan kongkongan terhadap media perdana dan kelemahan kuasai perang siber menyebabkan BN ketinggalan selangkah di belakang.

Saya perlu menambah, walaupun banyak akhbar alami kerugian, tetapi dua akhbar kegemaran saya, Sinchew Daily dan Sinar Harian - masih kukuh kerana komitmen mereka terhadap berita tempatan. Asas kukuh dan rasa kemasyarakatan yang kuat, akhbar-akhbar ini mengatasi kerugian dalam pengedaran yang menjadi penyebab mengapa tukang cerita menyokong mereka dengan sepenuh hati!

(Sinar Harian, 19 Julai 2011)
 

No comments:

Post a Comment