Wednesday, July 13, 2011

Bijaksana dan pengalaman







Ramai orang yang berkata, ‘Aku tidak dilahirkan untuk menjadi seorang yang bijak.’ Namun adakah kita sedar bahawa Allah swt yang maha sempurna lagi maha bijaksana telah memberikan kita satu otak yang sama. Perbezaannya ialah bagaimana kita mencari pengalaman sejak kecil.

Bagi seorang kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga Melayu, sudah tentu dia boleh bercakap dan fasih berbahasa Melayu. Keadaannya berbeza bagi seorang kanak-kanak India kerana dia hanya tahu berbahasa Tamil. Jika diminta kanak-kanak India tadi bercakap bahasa Melayu, sudah tentu dia tidak tahu.

Nah... persoalannya ialah, adakah kanak-kanak India tadi bodoh kerana tidak bercakap bahasa Melayu?

Kita ambil pula contoh ini. Seorang kanak-kanak yang pernah belajar di sekolah tadika lalu masuk ke sekolah rendah dan duduk bersama kenak-kanak yang tidak ke sekolah tadika. Siapakah yang lebih cepat belajar dan barangkali lancar ketika membaca? Sudah tentu kanak-kanak yang ada pengalaman belajar di tadika. Adakah kanak-kanak yang mempunyai pengalaman belajar adalah bijak ataupun kanak-kanak tidak punyai pengalaman yang bodoh?

Dalam kedua-dua contoh di atas, bijak atau pintar tidak bergantung pada pengalaman yang dilalui sebaliknya persekitaran dan pendedahan yang diterima.

Jika seorang pelajar yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia kali pertama, lalu mengulang lagi hingga lulus, adakah kegagalan pertama kerana dia tidak bijak? Barangkali ya namun kejayaan yang dikecapi selepas itu lebih disumbangkan oleh pengalaman yang pernah dialami sebelumnya.

Kebijaksanaan dan pengalaman ada kaitan yang rapat. Kebijaksanaan akan lebih terserlah andainya pengalaman yang dilalui penuh dengan kegagalan dan cabaran. 

 

No comments:

Post a Comment