Cadangan mewujudkan kementerian untuk lelaki dilihat sangat radikal kerana menggambarkan seolah-olah menjadi punca kepada masalah sosial dalam masyarakat. Kejadian pukul, gaduh, rogol dan bunuh telah dikaitkan dengan golongan lelaki bagi mengukuhkan persepsi bahawa lelaki adalah penyebab masalah.
Hakikatnya tidak begitu.
Apabila kes buang bayi menjadi perhatian sehingga akhbar menggerakkan kempen ‘Kami Prihatin’, timbul pertanyaan: siapa yang bertanggungjawab dalam kes buang bayi? Lalu golongan feminin menyalahkan ‘jantan-jantan yang telah rosak akhlak’ sebagai puncanya. Cadangan bagi menyelesaikan masalah ini ialah mengkasi pesalah yang terlibat dalam kes ini di bawah kategori rogol.
Cadangan ini dibantah oleh golongan maskulin termasuk para ustaz dan imam. Ada yang memberi cadangan yang ‘lebih baik sikit’ iaitu golongan wanita harus memakai cawat besi. Apa lagi, adalah yang panas punggung dan tidak senang duduk. Akhirnya kedua-dua cadangan tersebut hilang begitu saja. Dalam sehari dua ini cadangan mengkasi muncul kembali.
Apabila gadis remaja, Halimaton melarikan diri kerana mengikut teman lelaki berusia 19 tahun dan tinggal di rumah keluarga lelaki berkenaan, siapa yang patut disalahkan? Halimaton atau teman lelakinya? Keluarga Halimaton berkata anak mereka tidak bersalah kerana dilarikan, sebaliknya polis menangkap lelaki tersebut dan dikenakan dakwaan. Bagi sesetengah pendapat, Halimaton yang sepatutunya didakwa kerana melarikan diri dari keluarga, menyusahkan pihak polis dan ‘tergedik-gedik’ hendak berkahwin.
Mengambil pendekatan menyalahkan lelaki ke atas isu-isu sosial adalah tidak adil kerana ada faktor lain yang lebih besar. Adakah pasangan suami dan isteri boleh memilih jenis jantinaanak yang mereka hendak? Mereka hanya boleh berharap kerana jantina anak ditentukan tuhan.
Membuat spekulasi bahawa lelaki yang bersalah juga mirip perbuatan zaman jahiliyah keranan apabila diberitahu anak perempuan yang lahir, pasangan suami isteri akan bermuka masam dan timbul rasa malu. Lalu jalan penyelesaiannya ialah menimbus hidup-hidup anak perempuan. Sebenarnya anak perempuan bukannya penentu kepada mala petaka dalam keluarga.
Kisahnya sama juga dengan anak lelaki. Mereka bukannya pembawa petaka dalam keluarga.
Bagi melihat apa sebenarnya yang berlaku dalam masyarakat, kita wajar sekali melihat bagaimana rupanya unit asas dalam masyarakat iaitu keluarga. Jika sesebuah keluarga hendak bercerai kerana bergaduh untuk balik berhari raya di rumah keluarga suami atau isteri, boleh kita gambarkan betapa nilai-nilai kekeluargaan seperti tolak ansur, berbincang atau berunding sudah tidak lagi menjadi amalan. Begitu juga dengan kejadian polis menembak mati seorang remaja berumur 15 tahun. Siapa yang benarkan remaja ini memandu kereta tanpa lesen yang memudaratkan pengguna jalan raya yang lain? Selepas kena tembak dan mati, barulah keluarga si mati menyesal dan ia sudah menjadi ‘pena telah diangkat dan dakwat telah kering’.
Anak-anak muda lelaki atau perempuan tidak segan silu keluar rumah tanpa ditemani oleh orang dewasa atau muhrim. Anak-anak ini tidak ditegur jika mereka pulang lewat malam, membonceng motosikal sambil berpelukan atau menayang badan yang ‘sekeping papan’ kerana baju dan seluar yang terlalu ketat dan nipis. Apabila berlaku penzinaan, keluarga berasa malu dan bayi yang baru lahir ditinggalkan di pondok bas, tangga surau atau pintu pagar rumah tok imam.
Keluarga harus diberi suntikan nilai. Banyak caranya. Di pihak kerajaan, kempen dan seminar mesti disusuli dengan tindakan yang berani. Pencapaian yang hendak dilihat bukannya berapa banyak aktiviti yang dilaksanakan sebaliknya ialah berapa banyak keluarga kembali kepada memelihara keutuhan nilai-nilai kemanusiaan dan berupaya membiakkan kebaikan kepada keluarga-keluarga yang lain.
Nilai-nilai juga boleh diterapkan melalui program pendidikan agama supaya ibu dan ayah sentiasa diberi peringatan, nasihat dan panduan untuk mendidik anak-anak lelaki dan perempuan.
Tidak salah untuk mengeluarkan lesen kepada pengusaha kafe siber tetapi harus disusuli dengan pemantauan yang berterusan atas kesedaran untuk melihat masyarakat mendapat input yang berguna bagi kehidupan mereka.
Dalam kes rogol, zina dan khalwat, faktor penarik seperti klip filem lucah atau gambar lucah menjadi perangsang kepada perbuatan ini. Jika dilihat kepada hukuman yang dikenakan ke atas pesalah, mahkamah syariah tidak pun memberi hukuman yang selari dengan tuntutan di al-quran, malah hanya mendenda pesalah. Akhirnya masyarakat merasakan selepas berzina boleh bayar denda, itu pun kalau kena tangkap.
Di Acheh, undang-undang syariah sedang dilaksanakan. Insya Allah kita akan lihat bagaimana keadilan dan keberkatan dalam pelaksanaan undang-undang syariah tersebut dapat membentuk keadilan sosial dalam masyarakat, meningkatkan keyakinan penduduk Acheh terhadap kehidupan cara hidup Islam dan bebas daripada jenayah. Andai Acheh dapat melaksanakan peraturan syariah dengan teratur, kita juga wajar mencontohinya supaya kerisauan masyarakat terhadap keselamatan diri, keluarga dan harta akan terjamin.
Jadi, tidak perlulah Kementerian Lelaki ditubuhkan.
No comments:
Post a Comment